Wednesday, May 15, 2013

AIRMATA SEORANG CIKGU



                                          ( Credit to google )

Dulu, saya pernah menulis akan kisah seorang guru besar yang begitu tabah menghadapi cabaran sebagai seorang pendidik dan malam ini saya akan membawakan sebuah kisah yang berbeza untuk tatapan semua. Kisah ini baru sahaja disampaikan oleh rakan baik saya yang juga bekerja sebagai seorang pendidik.

“Saya masih ingat akan pelajar lelaki yang berusia 15 tahun itu” cerita rakan saya yang berwajah lembut itu. Masa itu saya tidak begitu mengenalinya. Dani (bukan nama sebenar) adalah rakan anak saya yang giat dalam sukan olahraga. Pada suatu hari itu, anak saya terdengar perbualan Dani dan rakannya sewaktu dia berjalan bersama-sama menuju ke kantin sekolah. Dani begitu teruja dan berkata dengan rakannya itu"....

“Eh..ada perlawanan bola keranjangla.. kamu mau kerjakah, kalau mau, dapat RM5 sehari. Waa...marilah kita jadi penjaga masa..tidakpun penjaga markah..”

Petang itu anak saya pulang dari sekolah dan secara spontan menceritakan kepada saya perihal Dani. 

“Mengapa mau bekerja hanya untuk RM5 sahaja, sepatutnya dia pentingkan pelajaran dahulu” kata anak saya. Pada waktu itu saya mula tertanya-tanya “Mengapa budak ini begitu teruja untuk bekerja walaupun gaji sambilannya cuma RM5?” 

Saya banyak berfikir tentangnya dan hati saya terasa sebak. “Iyalah, anak saya kira amat bertuah..mungkin wang RM5 tidak seberapa buatnya dan dalam usia yang begitu, dia hanya memberikan pandangan mengikut keadaan hidupnya yang tidak pernah susah” tambah rakan saya yang tinggi lampai itu.

“Selepas itu sayapun merisik latar belakang Dani. Apa yang saya ketahui kemudian mengenai Dani amat merobek hati saya. Rupa-rupanya Dani datang dari keluarga yang miskin. Ibubapanya telah lama bercerai. Bapanya langsung tidak mempedulikannya. Bayangkanlah, bila diminta pembayaran kos-kos buku nota, bapanya langsung tidak datang. Bayaran buku tulis dan lain-lain langsung tidak dihiraukan. Patutlah RM5 sungguh bermakna untuknya. Hati saya sebak. Anak miskin ini mungkin pergi sekolah tanpa wang saku dan makan minumnya mungkin juga tidak pernah terjaga” tambahnya panjang lebar dan sekali sekala kelihatan rakan saya itu mengelap airmatanya.

“Masih disekolah sekarang?” tanya saya.


“Dani sudah dibuang sekolah...prestasi kedatangannya amat rendah”... keluh rakan saya itu.
“Hati saya menangis setiap kali saya mengenangkannya dan setiap hari itu juga saya berdoa untuknya.”

Sewaktu saya menulis akan cerita ini, saya juga berasa agak sebak. Saya ingin bertanyakan kepada para pendidik, perlukah seorang pelajar yang bermasalah itu diberhentikan sekolah? Tidak ada jalan lainkah untuk menandatangani masalah sebegini? Apakah rekod kecemerlangan sebuah sekolah itu lebih penting dari memberi peluang kedua, ketiga dan seterusnya untuk anak-anak yang bermasalah ini? Adakah nama sekolah begitu penting nilainya dari masa depan seorang pelajar yang sangat memerlukan sokongan moral dan perlindungan? Tidak ada cara lainkah selain dibuang sekolah? Mengapa kita perlu berputus asa? (Pertanyaan ini saya khususkan kepada masalah pelajar seperti Dani) 

Apa masalah kita sebenarnya? Saya benar-benar ingin tahu!