Wednesday, January 12, 2011

"Sungai" - Bah 1

Hari itu mama pulang dengan seorang budak lelaki . Rambutnya hampir botak. Keadaan dirinya amat menyedihkan. Saya masih ingat, ketika itu saya mungkin berusia diantara 9 tahun...mungkin juga 10 tahun. Saya tidak berapa ingat..tetapi wajah itu tidak pernah luput dari minda ini.

“Kau siapa?” tanya saya tersipu-sipu malu sedikit.

Dia tidak menjawab pertanyaan saya tetapi hanya memberikan senyuman yang menampakkan giginya yang kuning dan jongang itu.

“Ni tuala...pergi mandi..” kata mama kepadanya.

Bagaikan lembu yang dicucuk hidung, dia mengikuti arahan mama tanpa sebarang bantahan. Selepas itu dia makan pula bersama-sama kami. Kami hanya memandangnya dengan berbagai-bagai persoalan yang timbul dalam minda. Kami takut pula bertanyakan mama perihal dia kerana mama adalah seorang yang cukup tegas.

Persoalan itu terjawab akhirnya apabila pada suatu hari itu, saya terdengar mama menceritakan kisahnya pada sahabat baiknya, Makcik Jah yang tinggal disebelah rumah.

Kata mama “..kesian betul budak tu..”

“Mana keluarganya?” tanya Mak Jah sambil memerhatikan budak yang berusia sebaya saya itu.

“Adakah patut, sebab dia nakal sangat, ditinggalkan budak tu..?” kata mama lagi.

Menurut cerita orang, keluarga budak itu dikatakan telah berpindah ke tempat lain tanpa membawanya bersama. Tidak tahu pula apa sebabnya , dia ditinggalkan begitu sahaja.
Demi hidup, maka terpaksalah budak itu menyelongkar makanan di tong-tong sampah dan tidur di tepi-tepi rumah orang atau didalam tempat-tempat pemujaan merah kecil di tepi pokok angsana yang besar.

Ada kalanya, untuk mengisi perut yang kosong, dia mengambil upah dengan membeli makanan atau minuman untuk kaki judi yang bermain terup di kedai kopi. Setiap kali itulah, dia sering dipermain-mainkan, diperbodoh-bodohkan dan dihina.

“..Nak duit...?? Kau panggil aku bapak dulu...” kata mereka yang mengusiknya.

“Ho Sui” atau “Sungai” hanya tinggal seminggu sahaja di tempat kami kerana mama melaporkan tentangnya di pusat kebajikan.

“Kau tidak takut ka bawa lari anak orang..” kata salah seorang penduduk apabila mengetahui mama membawanya pulang kerumah kami yang agak jauh.

Mama berkata kepada mereka...

BERSAMBUNG.........

No comments: