Tuesday, January 31, 2012

Misteri disebalik bunyi itu...

Kalau anda bertanyakan kepada saya bagaimana bunyi itu? Saya tidak dapat memberitahu...aneh dan begitu menakutkan! Sepanjang beberapa bulan tahun lalu, itulah kali ketiga saya mendengarnya. Bunyinya amat kuat, 'sesuatu' yang 'besar' bertenggek di atap zink pejabat tahun lalu. Sehingga ke hari ini, suara itu masih lagi terngiang-ngiang di telinga saya. Saya masih ingat dengan jelas, ketiga-tiga kali itu juga ia datang bertenggek di waktu senja. Saya cukup yakin kerana saya memandang kearah jam dikala ia tiba. Keadaan diluar sudahpun gelap.

Saya memberitahu rakan sekerja beberapa hari kemudian mengenai perkara ini. Agak sukar bagi saya untuk memberitahunya kerana saya tidak mahu ditertawakannya.

"Hari Khamis.. saya telah mendengar sesuatu yang amat nyaring, membingitkan telinga..dan suaranya amat menakutkan, bos pula di dalam bilik kala itu..dan saya dapat mendengarnya dengan begitu jelas"..bunyi itu cukup menakutkan...membingitkan."

"Mungkin bunyi eksos motor.. tidakpun televisyen...mungkin juga bunyi burung..maklumlah, tempat kita inikan berdekatan dengan tasik dan tempat penghijrahan burung-burung.." katanya cuba untuk menenangkan saya.

"BURUNG" perkataan ini terjah masuk kedalam minda saya, dan selepas hari itu, saya telah membuat sedikit penyelidikan 'online' di youtube dan mencari bunyi burung yang menyamai bunyi/suara yang saya dengar tetapi gagal. Saya juga mengetahui terdapat hampir 500 spesies burung di tempat kita dan....saya bingung! Apakah jenis burung yang berbunyi sekuat trumpet..ataupun senyaring hilaian..dan dapat didengari pula arah terbangannya yang begitu gagah!

Yang peliknya...sekiranya terdapat burung yang begitu besar...mustahil tiada seorang pun yang nampak akannya..kemanakah ia pergi dan bersembunyi? Mana mungkin kita tidak ketahui akan kehadirannya...kecuali ia bersembunyi di gua....dan saya masih terus mencari misteri ini sehingga ke hari ini.

Burungkah yang saya cari atau 'makhluk' lain?

Saya tidak berani bertanyakan bos perihal bunyi yang menakutkan ini..mungkin juga dia pernah mendengarnya dan tidak mahu bercerita akannya. Saya berasa gerun setiap kali mengingatkannya. Pernahkah anda mendengar bunyi sepelik yang saya dengar ini? Pernahkah anda mengalami sesuatu yang seperti itu?

Saya benar-benar ingin tahu....

Sunday, January 22, 2012

Salun di pekan itu...

Saya ingin berkongsi sebuah cerita lagi hari ini. Sebenarnya saya tidak berapa ingat akan cerita ini sehinggalah saya blog buzzing di tempat blogger APPLE a.k.a Ryuzaki L Kid di BWERKhttp://bwerking.blogspot.com/

Tulisnya di entri "Aku NAK buka Cyber Cafe 2"....."daerah kecil pun ada salun"...AHA! ayat ini yang menjana terus minda saya untuk membuka entri baru.

Begini ceritanya. Semasa saya berada di sebuah tempat(bukan di Sabah) adik lelaki saya telah menghantar saya ke salun kecantikan di sebuah pekan kecil berhampiran dengan rumahnya. "Kak..salun Ai-Ling buka hari ni..tapi di tingkat atas la" kata adik saya yang gempal itu. "kalau akak dah siap 'torture' rambut, call adik nanti" tambahnya lagi.

Saya menganggukkan kepala tanda faham dan terus naik ke tingkat satu bangunan rumah kedai lama itu. Sesampainya saya disana, saya telah disambut ramah oleh seorang wanita muda lingkungan awal 40an.

Sebaik sahaja saya melangkah masuk ke salun itu, saya merasakan seolah-olah telah memasuki ke era zaman yang lama. Salun lama yang sederhana itu menempatkan beberapa sofa lama, peti sejuk dan juga gas dapur untuk memasak. Pelik saya rasa tetapi kerana ini salun di pekan, maka saya pun mendiamkan diri. Kata orang "masuk kandang kambing, mengembek.." "masuk kandang harimau....." .

Cermin-cermin lama juga kelihatan disangkut berbaris. Ada beberapa poster lama artis-artis cina menghiasi dinding salun itu. Saya benar-benar kurang selesa dan terus terang saya katakan disini, saya berasa agak takut hari itu. Dan ketakutan itu bertambah-tambah apabila hanya saya sahaja pelanggannya.

Sepanjang saya disana, mulut saya tidak berhenti berbual-bual dengannya mungkin kerana saya ingin melupakan perasaan takut itu. Saya bertanya kepadanya 'lama sudah ka ini salun?"

"lama.. 25 tahun pun ada.."
katanya dengan senyuman yang menunjukkan giginya.

"ALAMAKKK..." perempuan ini bertaring dua...kiri dan kanan pula tu...alala..bisik saya dalam hati. "Matilah saya kali ini....mungkin ini drakula perempuan..cuma tunggu masa ja menjamah sama...mati di tempat ini pun tiada yang tahu! Saya benar-benar takut! Serius! Selama ini saya pernah nampak orang memiliki gigi yang bertaring, cuma satu sahaja. Tetapi perempuan ini mempunyai dua taring....aduiiiiiiii....

"cuba kau teka, brapa umur saya" katanya lagi. Dengan mukanya yang masih lawa, rambut hitam yang tidak menunjukkan uban, saya pun berseloroh dengannya lagi lalu berkata " saya nampak masih muda aaa....mungkin 40 tahun la.." kata saya sambil ketawa kecil yang dibuat-buat.

"Hahaha...saya sudah 60tahun.." katanya sambil tergelak. Jawapannya itu membuatkan saya semakin berasa takut. Meskipun begitu, saya tetap 'cool'. Nampak jelas gigi taringnya semasa perempuan itu ketawa. Masa itulah saya teringatkan semua orang yang saya sayangi, apalah yang akan terjadi sekarang....matilah saya...tidak dapatlah saya menyelamatkan diri.


" Sahlah perempuan ini hantu! kata saya dalam hati yang sudah sekian takut dari tadi.

Saya terus mencapai talipon lalu menalifon adik saya supaya segera kesini. "Aikkk...kakak nak adik temankan ker...?" ketawanya.

Tidak lama selepas itu adik pun sampai ke salun itu. Barulah terasa lega hati saya. Didalam keretanya saya pun menceritakan kepadanya betapa takutnya saya disalun itu. "Perempuan itu bertaring tau ...kedainya pun lama..macam zaman kita belum lahir..." kata saya dengan adik. Adik saya hanya ketawa sahaja sepanjang penjelasan saya yang tidak masuk akal itu. Selepas kejadian itu, saya berjanji kepada diri saya bahawa saya tidak akan lagi masuk ke mana-mana salun pekan terutama di tingkat atas! Cukuplah sekali itu sahaja pengalaman saya.

Penakut betul saya ini...haizzzzzzzzzz........

Huh! (lap peluh)

Tuesday, January 17, 2012

Kerja kuli seperti kita.......

Semasa saya 'blog buzzing', seringkali juga saya terbaca penulisan blogger yang meluahkan perasaan akan keresahan mereka tentang kerjaya yang dipilih. Saya juga turut berasa simpati kerana saya memahami keadaan mereka.

Saya juga pernah bekerja dan berhenti kerja. Saya juga tahu betapa payahnya untuk seseorang itu mencari kerja jikalau tiada sijil kelayakan ataupun kehilangan sijil kelayakan seperti saya. (Cisss...gara-gara pindah rumah...saya tidak tahu bagaimana melalui sesi temuduga!) Kuli atau tidak...kedua-dua kelayakan ini pun pernah saya sandang!

Jadi hari ini, saya menulis entri ini khas untuk semua yang bergelar bos..tidak kiralah bos besar ka? bos kecil ka?...ataupun yang berpangkat! Mungkin anda juga pernah melaluinya atau sedang mengalaminya...

1) KERJA KULI SEPERTI KITA...."kelayakan"
Kita memohon kerja "A" tetapi lama-kelamaan kerja itu bertambah kepada "B" , "C", "D" dan "E" Situasi beginilah yang sangat membingungkan sesetengah pekerja. Kerja-kerja sampingan lain yang tidak ada kena mengena dengan kerja yang kita pilih! Selalunya begitu! Pelik tapi benar..apa bukan?

2) KERJA KULI SEPERTI KITA...." gaji"
Sikap positif yang ada dalam diri seseorang memungkinkan seseorang itu tidak begitu berkira dengan majikan mereka, slogan-slogan yang memberikan motivasi seringkali dilihat tertampal didinding...tetapi yang kurang diberikan tumpuan oleh majikan diatas dedikasi terhadap kerja ialah kenaikan gaji, kenaikan pangkat atupun kedua-duanya sekali. HUH!

3) KERJA KULI SEPERTI KITA...."pilih kasih"
Ni lah yang sukar untuk dihuraikan. Kita pun tidak tahu mengapa sesetengah pekerja itu diberikan kelonggaran..ada yang ketara tidak membuat kerja tetapi majikan kita tidak mahu berbuat apa-apa! Sungguh tidak adil, apa bukan! Saya bukanlah ingin mengatakan bahawa semua majikan itu begitu adanya, tetapi kebanyakkannya begitu. Mungkin ingin memberi peluang kedua kali..tetapi kalau sampai berkali-kali, perlu diingat... motivasi pekerja bawahan lain akan turun ke tahap beku!

4) KERJA KULI SEPERTI KITA .." kedekut"
Ada sesetengah majikan itu teramatlah kedekut. Susah benar bekerja dengan majikan seperti itu.
Segala perbelanjaan pejabat dikira dengan penuh teliti. Mesin faks yang hampir nyawa-nyawa ikan itu jugalah yang masih " dipertahankan" ... Apabila dokumen penting yang dihantar atau tidak dapat diterima dengan baik, kita pula yang susah!

5) KERJA KULI SEPERTI KITA.." kurang penghargaan"
Bayangkanlah jika anda adalah pekerja yang melalui situasi A dan B tetapi tidak diberikan penghargaan sebaiknya...bagaimana perasaan anda?

6) KERJA KULI SEPERTI KITA.."terlalu sempurna"
Majikan didalam kategori inilah yang dilihat paling tidak popular dikalangan pekerja. Secara terus terang, sikap beginilah yang selalunya menghancurkan motivasi seorang pekerja yang bersungguh-sungguh bekerja dengan tekun. Apa tidaknya..? segala-galanya yang dibuat oleh pekerja itu tidak akan pernah sempurna dimata majikan yang mempunyai minda yang cetek seperti ini

7) KERJA KULI SEPERTI KITA.."bersikap biadap dan kasar"
Saya pernah mendengar sebuah cerita yang disampaikan oleh teman saya berkenaan dengan pekerja perempuan ini. Hanya dengan perkataan " F_ _ K" sahaja yang dikatakan kepadanya oleh majikan yang berang atas sesuatu perkara, dia memberikan notis 24jam. Katanya "saya berasa cukup terhina!" Majikan yang bukan calang-calang orangnya ini terpaksa mencari dua orang pekerja lain untuk menggantikannya. Bukan semua pekerja itu 'multi tasking'! Rugi Besar!

Ini hanyalah 7 perkara yang sempat saya sampaikan....inilah keluhan yang seringkali tidak dapat difahami oleh majikan diluar sana. Kalau saya berkesempatan lagi, dilain masa pula, saya akan menulis dari sudut pandangan seorang majikan pula. Apa kata anda? Mari kita berkongsi cerita!

Selamat Bercuti. Gong Xi Fa Cai!

Wednesday, January 11, 2012

Kasih seorang ayah....

Saya tidak pernah merasa jemu menonton youtube ini. Amat sedih sekali...

Sunday, January 8, 2012

Jane

Lelaki yang berbadan besar dan bertatu itu menghentakkan tangan yang digenggam keras ke atas meja.
BANGGGGGGGGG!
"kau tau kah...kalau kau tidak bayar, saya boleh potong leher
kau!"
katanya kepada Jane. Jane hanya menunduk kepalanya sahaja. Dia tahu tidak guna bercakap dengan lelaki yang sedang dalam kemarahan. Selepas dilihatnya kemarahan lelaki itu reda sedikit, Jane mula berbincang dengannya semula.

"bos...saya pinjam duit kau ini bukan untuk berjudi, bukan juga untuk suka-suka..saya benar-benar perlu..,anak saya ramai, kau pun tahu macamana susahnya saya...kalau saya senang, tidaklah saya pinjam duit dari kau.." kata Jane mulai mengelapkan airmata.

"Pandai kau cakap...saya mahu kau bayar saya RM50 'bunga' hari-hari....sudah tiga hari kau tidak bayar..mau matikah? bentak lelaki cina yang berperut buncit itu.

"bos...bukan juga saya mau lari, saya ada disini bha...." "Kalau ada pelanggan yang mau bersih kuku, dapatlah saya bayar kau. Kalau tiada, macamana juga saya mau bayar kau.." jelas Jane yang mempunyai 5 orang anak yang masih kecil itu.

"kau jangan melawan cakap saya aa!!" "kau mau saya kasi malu kau di tempat kerja? dihentaknya meja itu sekali lagi.

Terperanjat Jane seketika. Terdiam sebentar, kemudian Jane berkata lagi.

"Terpulang sama bos, itu tempat saya cari makan..kalau saya hilang kerja, bos juga susah..macamana saya mau bayar bos, kalau bos kasi susah saya? Saya tidak lari...saya ada juga disana..saya mesti bayar bos!

Lelaki itu diam dan memandang Jane. Dia kemudiannya mengeluarkan sebatang rokok dan menghisapnya.

"kau tolong pasang kipas..panas!" katanya kepada Jane yang berbadan sedikit gempal.Terpinga-pinga Jane dengan sikap 'along' itu. Jauh beza sikapnya dengan sebentar tadi. Dia tidak lagi menunjukkan kemarahan.

Sebenarnya, Jane agak ketakutan, siapa yang tidak gerun dengan 'along' yang berbadan besar, bertatu dan bermuka penjenayah itu? Di bilik pejabat itu hanya mereka berdua sahaja. Jane hanya mampu berdoa setiap minit sepanjang perbualan mereka.

Jane menceritakan kepada saya sebentar tadi mengenai perkara ini sewaktu kami bertemu digerai Michael. Saya hanya mendengar sahaja perbualan ini. Gerun saya rasa apabila dia bercakap mengenai 'along', si peminjam wang yang dianggap ganas dan tidak berperikemanusiaan oleh masyarakat kita.

"Kau tidak takutkah Jane, pinjam duit dari along?" kata saya memandangnya.

"Kalau sudah terdesak, apa boleh buat..? "anak-anak saya perlu makan..perlu sekolah.." katanya lagi. Jane juga menceritakan kepada saya bahawa sebenarnya bukan semua along yang jahat. Kadang-kadang si peminjam itu yang bersalah, bila sudah senang lenang, payah benar pula membayar. Jane juga menceritakan kepada saya bahawa orang suruhan along ini pun susah hati apabila tidak dapat memungut hutang, lebih teruk lagi kalau si pemiutang ini melarikan diri dan tidak dapat dikesan.

"Kau ingat kami tidak takutkah kalau tidak dapat pungut hutang?.. leher kami kena kerat tau!' kata konco-konco along ini kepada Jane yang saya kenali beberapa tahun yang lalu.

Saya hanya mendiamkan diri sahaja apabila Jane menceritakan kisah hidupnya kepada saya . Kemudian dia mengingatkan saya agar jangan sesekali mencari nahas dengan orang seperti itu.
Jane menceritakan kepada saya lagi betapa payah hidupnya terpaksa berhutang dengan along. Meskipun bebanan hutangnya cuma beberapa ribu sahaja, tetapi pengalaman yang dilaluinya itu begitu menakutkan.

Hari-harinya dihantui dengan pembayaran 'bunga' yang tinggi. Tidur pun tidak lena. Hidupnya penuh dengan tanggungjawab. Mertua yang sudah tua terpaksa dijagainya. Kos penyelengaraan hidup pula semakin tinggi di Sabah ini. Nasibnya baik kerana diatas berkat usaha dan simpati pelanggan terhadapnya, dia diberikan 'tips' dan dari wang yang dikumpul itu, maka dapatlah dia melangsaikan hutangnya dengan mereka ini.

Jane pernah melaluinya, dan hari ini saya menulis kisah ini kerana Jane mahu saya menceritakan pengalaman ini kepada semua agar kita tidak mengikut jejaknya.

Ini cerita Jane. Anda bagaimana?

(Jane bukanlah nama sebenar dalam cerita ini. Saya telah mengubahnya demi melindungi identitinya. Harap Maklum)