Friday, December 18, 2009

Muslihat

Sudah lama saya tidak menemui dia. Sebenarnya 'dia' yang saya maksudkan adalah 'amoi' yang bekerja mencuci rambut di salun kecantikan berdekatan rumah saya.
"..moi...ko pamacam...sihatka?"...tanya saya sambil melabuhkan punggung di atas kerusi 'jurassic' awal pagi itu. (kerusi jurassic = kerusi lama...yang teda style punya..uhuk uhuk....)

"Kalau tidak pasal anak...mungkin sudah lama saya mati...." katanya dengan penuh kesedihan.

Saya mengambil masa hampir satu jam hanya mendengar kisahnya dan sekali sekala dia mengelapkan airmata. Sedih pula saya rasa tapi mana mungkin saya dapat menolong dia.

Dia menceritakan kepada saya bagaimana kawannya yang selama ini dianggap seperti saudara sendiri sanggup memperalatkannya.

"Orang lain pinjam wang...ko jadi gurantor ka moi...? tanya saya dengan mata terkebil-kebil.

" Ya..mana sia tau, sia mao ambil persen(faedah) saja...tapi dia kawan saya mah..dia suruh sia jadi gurantor orang pinjam wang...." katanya lagi. (aiya.....dia suruh p mati..ko p mati la....)

Bah! ini bukan kesudahannya..yang paling malang sekali adalah dia meminjam wang itu dari 'along' yang tidak berlesen.

Sebenarnya, dia tidak mengenali 'along' yang tidak berperikemanusiaan itu tetapi kawannya itu yang memperkenalkannya kepadanya. Anda tentu dapat "mencium" sesuatu disini..apa bukan?
Sebelum itu, dia dibawa bersiar-siar ke Kuala Lumpur bersama-sama dengan kawannya dan si 'along' sekali (perempuan)..."free" lagitu! (mana ada barang free..?)

Selepas itu diceritakan lagi, segala data orang yang meminjam wang dari amoi ini yang ditulis dalam buku juga telah hilang tiba-tiba sewaktu mereka kelam kabut 'check-in' untuk berangkat pulang ke KK.

Maka alkisah seterusnya..kawan kita yang 'ditipu' hidup-hidup ini terpaksa membayar segala hutang piutang si peminjam yang telah hilang datanya..jika tidak, mereka 'kacau' keluarganya! (data hilang...jadi tidak dapat dikesan si peminjam..sebagai gurantor, terpaksa bayarla..)

Adakah anda sangka si 'Along' zaman sekarang masih tulis dalam buku 555 ka? Adedehhhh....

Dia hampir pengsan waktu itu apabila diberitahu begitu. Rupanya kawan kita tidak tahu apa maksud 'gurantor'!...(Aduiiiiiiiiiiii.....)

Bah! jadi anda diluar sana berhati-hatilah bila berkawan. Jangan mudah mempercayai seseorang terutama sekali apabila melibatkan soal 'wang'...dan lagi satu..tidak ada yang 'percuma' di zaman ini. Anda tentu faham maksud saya!

(Amoi ini terpaksa membayar hampir RM10-30 setiap hari kepada 'along' yang tidak berperikemanusiaan ini)

Thursday, December 3, 2009

Bukankah kita 'sepatutnya' tahu......

Baru-baru ini saya telah pergi berehat di sebuah pulau yang terletak lebih kurang 1jam perjalanan bot dari Pekan Semporna.

Anda tidak tahu betapa terujanya perasaan saya apabila kedatangan saya disambut bagaikan seorang diplomat penting dari luar negeri, siap dengan nyanyian bersertakan mainan alat musikal seperti gitar dan tambourine.
(Aiseyman...alangkah bagusnya kalau tiap-tiap hari bila ke tempat kerja kita disambut dengan suasana 'gemilang' begitu? Hehehe....)

Tapi ini bukanlah sebabnya mengapa saya membuka entri ini. Sebenarnya saya agak tertarik dengan suatu isu yang dibincangkan oleh seorang pencinta haiwan. Malam itu selepas jamuan makan malam, kami diberi sedikit taklimat mengenai kitaran hidup spesies haiwan yang dipanggil Penyu.

Apa yang menarik disini, seorang pelancong asing berbangsa Inggeris telah berdiri dan menceritakan kisahnya dimana semasa beliau berkunjung di sebuah tempat di utara Semenanjung negara kita, penduduk-penduduk di sebuah perkampungan, mengambil, menjual dan makan telur penyu secara terbuka.

Dia berasa agak hairan kerana katanya, disini, kita bersungguh-sungguh benar cuba melindungi haiwan ini tetapi pada waktu yang sama, disini juga, telur-telur yang sepatutnya dibiarkan sehingga menetas telah diambil sebagai sajian sarapan pagi. Terpinga-pinga juga saya rasa...

"Kalau sudah bertahun-tahun, turun temurun, makanan(telur penyu) yang dikatakan punyai banyak khasiat itu tiba-tiba dimansuhkan....bukan mudah bagi mereka menerimanya. Bah..kan sudah jadi semacam 'staple diet'..." kata John, rakan saya.

"Bukankah penjualan telur-telur tersebut satu pencarian turun-temurun mereka..? ..Susah tu kalau minta mereka tutup perniagaan....' kata Danial pula.

Bagi saya, mungkin kita kurang pendedahan mengenai spesies ini dan betapa kita perlu melindunginya dari pupus. Saya teringat pula cerita 'GORILLA IN THE MISTS' dan isu yang dibentangkan di filem itu. (Maaf, saya tidak ingat nama pelakon wanita yang memegang watak utama di filem itu)

Saya teringin tahu apa respon pembaca mengenai isu ini. Rakan-rakan saya telah memberikan pendapat mereka masing-masing. Apa pula kata anda? Silakan semua.....

Saturday, November 21, 2009

Cerita seorang Pinoy - Hierarchy!

Hari itu saya menceritakan tentang kisah majikan dan pekerja dalam entri CERITA SEORANG PINOY tetapi hari ini saya ingin menyentuh akan subjek masalah pekerja rakyat tempatan dengan pekerja rakyat asing. Bah! inilah yang berlaku sekarang.

Inilah kali pertama saya bekerja bergandingan dengan pekerja bukan tempatan. Bagus atau tidak? Jawapan saya - CUKUP MEMENINGKAN KEPALA!

Hari ini saya membuka entri begini kerana saya percaya ramai rakyat tempatan yang bekerja bersama-sama dengan orang asing menghadapi permasalahan sebegini. Dilema ini sukar sangat dirungkai kerana mungkin ada beberapa faktor yang seringkali kita abaikan. Kalau dari pandangan majikan, ..mungkin soal remeh temeh sahaja..tetapi dari segi pandangan seorang pekerja...kalau tidak dicegah 'serangan emosi' ini....mungkin akan berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Saya sebenarnya cukup bersimpati dengan majikan perempuan saya yang baik hati itu. Majikan saya telah banyak menolong 'mereka' dari segi kewangan..seperti kata saya dalam entri CERITA SEORANG PINOY, kebajikan 'mereka' bukan sahaja dijaga dengan begitu baik sekali malah termasuk "hutang kampung"..

Saya terkilan sangat kerana kebaikan budi majikan saya tidak dibalas dengan sepatutnya malah menyebabkan dia hampir jatuh sakit atas gara-gara mereka yang tidak mengenang budi!
Bukan itu sahaja malah saya juga turut menjadi mangsa 'ketaksuban' dan 'keangkuhan' mereka yang tidak sedar diri!..saya tidak dihormati sepatutnya. Bayangkanlah seorang pekerja bawahan berlagak dan menyamakan status mereka sama dengan orang yang lebih berkuasa dari mereka?

Bukan itu sahaja, seorang pekerja rakyat tempatan lelaki yang saya ambil bekerja dibawah arahan kami juga dibuli... saya cukup sakit hati! Berani sungguh mereka! Kurang ajar betul mereka ini!

Saya pernah menanyakan majikan perempuan saya mengapa dia tidak mahu memberhentikan pekerja pekerjanya yang tidak berguna itu?


"Mereka banyak hutang dengan saya...saya rasa mereka sengaja buat hal..menuduh
pekerja tempatan seperti kamu melayan(buli) mereka dengan buruk...mereka
berkomplot akan semua yang terjadi...supaya mereka dapat pulang tanpa membayar satu sen pun kepada saya.." kata majikan perempuan saya itu dengan nada yang penuh dengan penyesalan.

Apa yang perlu saya buat?

Saya mengharapkan nasihat-nasihat rakan blogger berkenaan masalah yang saya hadapi ini. Biarpun begitu, bukan bermakna saya membenci orang bukan tempatan..saya hanya membencikan orang yang tidak mengenal budi..yang tidak tahu tinggi rendahnya langit..yang kuat temberang...ini yang dikatakan..mengharapkan pagar, pagar makan padi pula..dan...hmmm....saya yakin anda lebih arif menamakan jenis manusia seperti ini!

Thursday, November 12, 2009

..DARI DIARI SEORANG POLIS- Kasihnya Pati (Bah 2)

............................. "Patiiiiiiiiiiii.....tunggu! Saya takut!

Tidak dapat dibayangkan betapa takutnya Kak Huda masa itu. Berlari dan mengejar seseorang tanpa tahu dimana arah tujunya. Apa tidaknya..kelibat perempuan tua itu tidak kelihatan langsung. Cahaya mentari semakin malap. Sedikit sahaja desiran angin cukup menaikkan bulu roma sesiapapun...ditambah-tambah lagi jika anda keseorangan dan sedang mengejar seseorang yang kesihatan mentalnya cukup diragui! Entah-entah bila anda menoleh, ada pula sepasang tangan terus menjerut leher anda...erkkkkkkkk.....dan...ish...

Sebenarnya bukan begitu jadinya. Selepas ini anda tentu terperanjat dengan apa yang saya tulis disini.

Perempuan yang sakit mental itu berpusing arah dan berjalan gegas kearah Kak Huda. Tanpa berlengah lagi, dia terus memimpin tangan Kak Huda bagaikan seorang ibu memimpin anaknya yang sesat kembali keluar dari hutan dengan selamat.

Saya tercengang-cengang juga apabila mendengar pengakhirannya yang begini. Kata Kak Huda lagi, semasa di dalam kereta peronda, perempuan yang dikatakan sakit mental itu bertanyakan kepadanya, mengapa dia memanggilnya PATI..

"Saya memanggil kamu begitu kerana kamu adalah orang yang lebih tua dari saya"
kata Kak Huda.(PATI-Bahasa Ibunda India yang bermaksud atuk, nenek)

Dengan perasaan sebak, perempuan India yang dianggap gila itu memberitahu kepasrahan hatinya. Katanya kepada Kak Huda..
"......mengapa anak-anak saya, cucu-cucu saya tidak pernah memanggil saya
sebegitu..dan kamu, seorang yang berlainan bangsa dari saya memanggil saya
dengan panggilan (hormat) itu.."


Disaat itulah saya tersedar, dan cukup bersetuju dengan Kak Huda bahawa perempuan itu sebenarnya bukan gila. Tetapi jiwanya menderita kerana dia tidak pernah dipedulikan, dikasihi dan dilindungi sepatutnya. Saya rasa kasihnya Pati bukan terletak pada wang ringgit atau keperluan harta benda tetapi cukuplah hanya sekadar perhatian dan kasih sayang dari darah dagingnya sendiri. Tetapi adakah yang peduli di luar sana?

Semoga cerita ini memberikan teladan kepada kita semua. Janganlah sesekali kita membenci tangan yang menyuap kita. Janganlah sesekali....

Monday, November 9, 2009

..DARI DIARI SEORANG POLIS- Kasihnya Pati (Bah 1)

Saya selalu mempunyai perasaan yang tidak begitu selesa apabila terserempak dengan anggota polis. Mungkin kerana diwaktu kecil, mama terlalu banyak mempraktikkan ayat-ayat sebegini.

."..ada polis...jan ko jaat...nanti polis tangkap!... (Bah..bagitulah kalo terlalu jajal, tia mao dingar sakap..alahai mama......rupanya mama pun pandai main buyuk!! Hehehe..

Tetapi selepas saya menemui Kak Huda, seorang pegawai polis yang berpangkat dari cawangan Bukit Aman(bukan bahagian jenayah)...saya berasa agak senang dan lega..iyalah....mengapa harus takut kepada pihak berkuasa kalau tidak berbuat salah apa-apa? Entri ini saya tulis pun selepas mendapat kebenaran dari Kak Huda.

"Apa yang paling susah sekali sepanjang karier kak Huda sewaktu bertugas?"...tanya saya sambil memandang Kak Huda yang berperwatakan tegas dan tidak lokek berkongsi cerita dengan saya.

Dan dari situlah beliau menceritakan sebuah kisah yang saya ingin berkongsi dengan semua. Sudah beberapa malam saya terkenangkan akan kisah ini yang saya rasa cukup menyentuh perasaan sekali.

Begini kisahnya....

KASIHNYA PATI...

Sewaktu tahun 80an, Kak Huda (masa itu hanya seorang anggota polis berpangkat konstable sahaja) memakai skirt sewaktu menjalankan tugas. Pada suatu hari itu, beliau terpaksa menangkap seorang perempuan berketurunan India yang mempunyai masalah mental (Gila).
Perempuan India yang berusia lingkungan lewat 50an itu berlari semakin jauh ke dalam hutan apabila di kejar oleh Kak Huda.

Kak Huda bingung. Susah betul menangkap perempuan yang tidak mahu berhenti berlari itu. Sudahlah tu...hari semakin malam. Semakin gelap.

Sebagai manusia biasa, Kak Huda juga mempunyai perasaan takut...apalagi...berlari ke dalam hutan yang penuh dengan pokok pokok besar dan tua...hutan yang tidak pernah diterokai..bukankah menakutkan?

Perempuan gila itu berhenti berlari akhirnya apabila buat pertama kalinya dia terdengar............................................................................... (bersambung...)

Wednesday, November 4, 2009

Main buyuk...

Pernahkah kamu di anggap seperti 'tidak tau apa-apa' dan cuba diperbodohkan sewaktu di tempat kerja? Hah..inilah yang berlaku..sebenarnya banyak cerita yang ingin saya tulis perihal ini tetapi sekiranya saya menulis tentang kerjaya saya yang sebenar maka tidak dapatlah saya berselindung di belakang perkataan 'anonymous' ini. Uhuk uhuk...

Baru baru ini ada seseorang cuba menipu saya...atau ungkapan Uncle Greg dalam tajuk blognya, 'main buyuk' http://mainbuyuk.blogspot.com/
Lama sudah saya bersabar dengan orang yang cuba mengenakan saya dan team saya. Selalu sahaja dia berdolak dalih dan cuba menegakkan benang yang basah selepas melakukan kesalahan yang disengajakan dan tidak patut sama sekali.

Tapi hari ini saya telah berjaya mendapatkan hak yang sepatutnya kami miliki. Adakah selepas membuat perjanjian sesuatu kontrak dan dimeterai pula boleh dibatalkan sesuka hati?
Kertas perjanjian itu dianggap seperti sampah! Meradang betul saya!

Nasib baik ada bos memihak kepada saya dan kerana kebenaran sudah ternyata di depan mata...musuh saya terpaksa tunduk dan membayar gantirugi!

Bah! kalau bekerja di dunia luar sana tu, beginilah....kadang kala kita tidak boleh menyerah kalah..kalau benar tetap benar...yang salah tetap salah! Yang penting..usaha. Berbuat sesuatu dengan cara menipu hanya akan mengundang masalah dan malapetaka. Kita tentu ada cerita yang berbeza!

Moral - Janganlah sesekali kita melakukan kejahatan ataupun membuat sesuatu keuntungan dengan cara yang licik dan kurang berhemah ataupun merasa megah kerana kita sangka dapat memperbodohkan-bodohkan seseorang..kerana jerat yang kita pasang mungkin akan membawa padah kepada diri kita sendiri.

Saturday, October 24, 2009

Books of Record Sabah! ...Ini adalah cerita saya

Saya tidak ingat bila saya terbaca tentang statistik kemalangan yang mana banyak menyebabkan pejalan kaki. Saya ada membaca juga tentang sebab musababnya. Semua ini membuatkan saya teringatkan akan dua peristiwa yang benar-benar berlaku beberapa hari yang lalu.

Pagi itu masih awal dan saya sedang memandu melalui Jalan Penampang menuju ke bahagian arah bandar. Tiba-tiba dari jauh, saya ternampak seorang budak lelaki sekitar umur 6-7 tahun sedang menyeberangi jalan. Saya memandu pada had laju yang berpatutan pada masa itu..apa yang menaikkan kemarahan saya pagi itu ialah, budak itu membuat sedikit aksi jalan 'moonwalker' semasa melintas jalan walaupun dia tahu saya sedang memandu kearahnya.

Apa kena dengan budak itu? Mau matikah apa?

Selepas kejadian itu, beberapa hari kemudian, saya hampir terlanggar pula seorang lelaki berusia 50an sewaktu memasuki satu laluan bulatan kecil menuju ke kawasan Damai. Dia seakan akan tidak nampak saya yang benar benar berada kurang dari 30meter darinya.

Susah betullah kalau begini..nanti terlanggar orang, pemandu seperti kita tentu dipersalahkan.
Sedangkan cerita sebenar bukanlah begitu..

Ini hanya dua cerita. Mungkin boleh dimasukkan dalam "Book of records Sabah" kalau saya ingin menghuraikan satu persatu akan ke'bebal'an pejalan pejalan kaki yang mencabar kami sebagai pemandu di tempat ini.

Nasib saya baik kali ini kerana saya cukup berhati-hati......tetapi kalau sikap "tidak takut mati" mereka terus begini, tidak hairanlah sekiranya ramai yang akan 'mati kodok' dan statistik kemalangan yang banyak menyebabkan pejalan kaki akan terus meningkat!

Aikkks....Nasib saya baik kah atau nasib 'mereka' yang baik?

Anda tentu faham maksud saya!