Saturday, January 26, 2013

Kita memang tidak berdisplin!

Lama benar saya tidak bercerita. Terlalu banyak perkara yang bermain di minda saya. Perkara yang melibatkan hal isu semasa, terutamanya hal-hal bersangkut paut dengan kerancakan PRU13 yang sememangnya dijangkakan akan berlangsung tidak lama lagi. Begitu juga dengan isu PTI - Pendatang Tanpa Izin di Sabah yang seringkali menjadi topik hangat di laman maya.
Dalam kerancakan tuduh menuduh, saling salah menyalahi dalam arena politik ini, perkara kehilangan adik Williamlah yang paling merobek hati saya.

Apa yang ingin saya sampaikan kali ini adalah rasa kekesalan apabila melihat masih ada ibubapa yang tidak mengambil ikhtibar dari musibah yang baru-baru ini menghantui kita semua.

Tengahari tadi sewaktu saya sedang membeli belah di Tongs, Wisma Merdeka, saya amat terkejut apabila melihat masih adanya sikap sambil lewa sesetengah ibubapa yang membiarkan anak-anak kecil mereka berjalan sini sana tanpa pengawasan rapi. Saya cukup hairan!

Mengapa anak-anak kecil yang kurang dari 5 tahun ini dibawa juga untuk membeli-belah sekiranya tidak dapat diawasi dengan baik?

Apa yang saya lihat dalam kesibukan orang ramai yang membeli belah di situ tadi, ada seorang ibu begitu sibuk melihat baju-baju di rak pakaian. Saya berdiri bertentangan dengannya. Anak perempuannya yang berusia lingkungan 4-5 tahun itu merengek lama. Saya kurang pasti apa yang direngekkannya. Ibunya pula hanya membalas kata-kata anaknya itu tanpa menoleh sedikitpun kearahnya. Matanya hanya tertumpu pada pakaian-pakaian jualan murah yang dibeleknya. Perkara yang saya saksikan itu sekaligus menimbulkan perasaan gerun di hati.

Sampai bilakah kita akan baca di dada akhbar mengenai kehilangan seorang anak atau pembunuhan seorang anak lagi? Fikir-fikirlah...

(Pihak polis menggunakan anjing untuk menjejaki adik William yang hilang - gambar dari google) RIP Little William.

Saturday, November 17, 2012

Hujan dihati kita...

Banyak yang kita baca dan ketahui melalui laman internet mengenai "doomsday", filem 2012, dan tentang kalendar Mayan yang mengatakan akan kiamatnya dunia kita di bulan hadapan. Semua ini saya baca dengan seribu satu perasaan yang begitu sukar digambarkan dengan kata-kata.

Haiiiiiizzz......kalau sudah tiba masanya untuk saya pergi menemuiNYA...saya pasti pergi. Samada hari kiamat atau tidak, mana mungkin kita tahu akan kesampaian waktu itu?

Semua ini membuat saya teringat akan sebuah kisah yang pernah disampaikan oleh dia. Kisah tentang rakannya yang meninggal secara tiba-tiba.

"Malam itu kami berempat masih bermain mahjong" kata dia. "Saya tidak menjangka itulah kali terakhir saya bersamanya".

"Apa yang sebenarnya terjadi?" kata saya sambil menggenggam tangannya.

Dia pun menceritakan kepada saya bahawa malam itu mereka berempat bermain mahjong dirumahnya. Itu bukanlah kali pertama mereka bersama meluangkan masa. Mereka berempat selalu bertukar tempat lokasi, kadang-kadang rumah si kawan ini, kemudian minggu hadapan di rumah kawan yang lain pula.

"Saya masih ingat malam itu seperti malam minggu yang lain-lain. Tidak ada juga apa-apa yang ganjil tentang arwah. Selepas tamat permainan pusingan terakhir, kamipun mengucapkan selamat malam dan masing-masing pulang kerumah. Malam itu kami tidur nyenyak sehinggalah saya mendapat panggilan cemas dari keluarganya. Betapa terkejutnya saya, rakan saya yang gempal itu telah meninggal dunia dua jam selepas kami beredar dari rumahnya. Saya diberitahu bahawa dia diserang sakit jantung" jelasnya dengan panjang lebar.

Saya memandang raut wajahnya yang tampan lantas memeluknya. Saya faham benar perasaan itu. Saya ingat peristiwa beberapa tahun yang lalu dimana kakak saya telah pergi menemuiNYA. Hujan malam itu seolah mengiringi tangisan saya bersama. Haizz....terasa rindu pula padanya sekarang. Mana mungkin kita tahu bila tiba masanya....iyalah...bila tiba masanya................

Saturday, October 27, 2012

Kadar Jenayah menurun?..apa sudah jadi?

Selepas kejadian pencuri menceroboh di kawasan kami, semua penduduk mulai berhati-hati. Sebelum ditangkap, pencuri yang berstatuskan pendatang tanpa izin (PTI) telah menggugut kami. Katanya kami semua akan susah nanti.

Apakah patut saya marah? jawapan saya 'ya'

Apakah patut saya rasa tergugat? Anda berpendapat bagaimana?

Semalam saya telah pergi ke sinsuran kerana ingin membeli barangan untuk dibuat kraftangan. Semasa menunggu pemandu lain untuk keluar dari tapak kereta, saya terdengar kereta belakang membunyikan hon. Sebuah teksi jenis merah putih. Tiada kesabaran langsung pemandu itu.

Saya lantas memandu pergi dan berhenti sementara secara 'double park" berdekatan kereta lain. Apa yang mengejutkan, pemandu teksi yang berkulit gelap, bertrampilan seperti gaya seorang samseng memandu pergi sambil memberikan saya satu pandangan yang cukup marah dan tajam. Muka seorang penjenayah lagaknya. Langsung tiada ciri-ciri seorang tempatan!

Inilah yang cukup menghairankan. Mengapa orang bukan tempatan yang menjadi pemandu? Apa sudah jadi? Bukan sahaja teksi tetapi rata-rata pemandu bas di tempat ini pun bukan rakyat tempatan. Tidak percaya? Rajin-rajinlah turun 'padang'.

Dulu saya ada menulis entri berkenaan jenayah - JENAYAH - SESUATU YANG PERLU ANDA TAHU. Jadi hari ini saya menulis lagi beberapa perkara yang terjadi di tempat kita.

YANG PERLU ANDA TAHU...

1. Sekiranya anda meletakkan kenderaan di mana-mana, adalah baik sekiranya anda memandu kereta anda  secara 'reverse in'. Saya pernah mendapat email berkenaan ini. Adalah mudah untuk kita memandu pergi dengan segera sekiranya ternampak gelagat yang mencurigakan.

Terus terang saya beritahu disini, sekiranya kereta saya  dihalang depan belakang, memang saya tidak teragak-agak untuk merempuh terus orang itu. I'm serious. Don't dare me! Yang paling penting ialah keselamatan diri, kalau dirompak sahaja tidak apa...kalau dibunuh..apa macam itu?

2. Kadang-kadang dikereta kita terselit kertas kertas melanggan ini itu diatas cermin kereta ataupun dibelakang cermin kereta. Anda dinasihatkan supaya jangan mengendahkan kertas-kertas ini. Masuklah kedalam kereta anda lalu memandu pergi dengan segera.

Baru-baru ini ada seseorang menulis akan perkara ini di fesbuk dan dikatakan sebaik sahaja seseorang mengambil kertas yang diselit itu (dibelakang), maka ada yang datang mencuri bag ataupun memandu pergi kereta itu.

Pada mulanya saya tertanya-tanya jugak, sempatkah penjahat itu berbuat demikian? Tentu boleh! Itupun sekiranya anda menghidupkan enjin terlebih dahulu, meletakkan beg di sebelah tempat duduk yang kosong dan secara bebalnya turun dari kereta dengan enjin yang hidup dan mengambil kertas yang diselitkan di belakang kereta. Jelas?

3. Beberapa minggu ini heboh dengan cerita dimana ada kereta penjenayah yang menghalang mangsa dari luar pagar kawasan rumahnya. Si penjahat itu berpura-pura mengatakan keretanya rosak dan meminta segelas air kerana dahaga. Sewaktu mengambil air untuk keparat itu, beg yang tersimpan didalam kereta itu telah diambil.  Ada pula yang begitu mulia menjemput penyangak itu dan semasa mengambil air untuknya dari dapur, beg di rumah telah diambil pergi. Haisshhhh....Memang susah berbuat baik pada zaman ini.

4. Kes terbaru yang saya baca dari fesbuk ialah dimana semasa seorang ibu membiarkan anaknya keseorangan didalam kereta, seorang pembonceng lelaki yang tidak dikenali cuba membuka kereta itu melalui cermin kereta yang sedikit diturunkan. Apalagi ..maka menjeritlah budak itu sekuat hatinya.

Ibu budak itu begitu terperanjat apabila melihat lelaki yang tidak dikenali itu cuba membuka keretanya. Ibu yang pergi sebentar untuk mengambil anaknya yang lain yang tamat sesi persekolahan diseberang jalan itu mungkin tidak akan dapat melupakan peristiwa ini seumur hidupnya.

5. Sekiranya anda seorang pemandu yang baru mengeluarkan wang dari bank, teruskanlah perjalanan anda tanpa singgah dimana-mana. Memang tidak dapat disangkalkan lagi bahawa terdapat sindikit-sindikit diluar sana yang meneliti jadual perbankan seseorang.

Sekiranya anda biasa mengeluarkan wang pada hari-hari tertentu, ubah-ubahkanlah jadual waktu anda. Pastikan bulan atau hari pengeluaran wang anda berbeza beza dari masa ke semasa.  Anda juga disarankan supaya jangan membuat pengeluaran wang di tempat yang lengang. Elakkan dari membuat pengeluaran seorang diri ataupun melayan sesiapa sewaktu membuat transaksi di ATM. Dikatakan mereka ini bergerak secara berkumpulan dan bukan orang tempatan.

Kadar jenayah menurun?

Hanya anda sahaja yang dapat membuat penilaian ini.


Sometimes, when we think about it, we, the people, know better than our leaders. Most probably is we are the one who always have to face all these - Anonymous

Saturday, September 29, 2012

Jiran sepakat membawa berkat - PENCURI

Pada pagi dua hari yang lalu, saya terbangun dari tidur apabila loceng di pintu berbunyi. Saya melihat ke arah jam di dinding bilik. Hampir pukul 3 pagi. Saya terdiam seketika. Siapakah yang membunyikan loceng pintu seawal pagi itu?

Sukar benar membayangkan perasaan ketika itu. Sikap curiga dan perasaan takut menyelinap selang seli. Sikap curiga kerana ingin tahu yang amat...tetapi sekarang modus operasi orang-orang jahat ini semakin canggih. Macam-macam pun boleh berlaku. Ada juga perasaan takut. Menyesal betul kerana terlampau banyak mengikuti cerita-cerita seram di fesbuk. Aishhhh..takkanlah hantu jembalang menekan loceng pintu pula? (bangang betul aku nih)

Selepas lima minit, loceng tidak berbunyi lagi. Diam seketika. Saya langsung membuka tingkap apabila terdengar orang berbual. Di bawah apartmen saya kelihatan bujang sebelah rumah sedang memegang besi panjang dan seorang lelaki yang tidak dikenali bersama mereka.

Apabila mereka terpandang saya, mereka terus menyuruh saya menalifon polis.

Rupa-rupanya kawasan perumahan kami dimasuki pencuri. Sebelum itu, 3 buah kereta di tempat perumahan kami dipecah masuk. Aiihhh...berani betul penjahat-penjahat sekarang. Darah saya terus berderau apabila saya terdengar perbualan pencuri itu dengan bujang sebelah rumah.

"Tolonglah...ini kali saja....tolonglah lepaskan saya" rayu pencuri itu. "saya ada anak..ada bini...saya orang miskin" katanya.

"Kami pun orang miskin" jawab jiran bujang yang berumur 17tahun. Besi panjang digenggamnya erat.

Kemudian si pencuri berkata lagi  "Kau mau cari masalah sama saya ka? Ada 2 orang lagi di luar. Kalau apa-apa terjadi sama saya, kau susah. Saya tahu mana rumah kau oo...itu rumah kau .." sambil tangan menuding kearah rumah si bujang.

"Kau ugut kaini?" kata bujang lagi.

Pencuri itu terdiam sebentar kemudian mengeluarkan sebatang rokok lalu menghisapnya.

Saya yang mendengar dari atas apartmen berasa begitu meradang. Pada masa itu saya hanya terbayang senjata seperti pistol...tidakpun bazooka..    Geram betul!!!!

(Credit to google pic)
"Apa kau buat sini..?" kata jiran-jiran yang lain yang datang selepas dikejutkan. "ini kawasan cina..." "kau tidak nampak ka kawasan larangan sini..?"

"Saya jalan-jalan saja..." kata si pencuri. Terus dia tidak berani bersuara lagi sebab jiran-jiran lain semuapun datang dan mengerumi dia.

Kami berasa lega selepas dia dibawa oleh polis.

Benarlah kata orang "Jiran sepakat membawa berkat". 

Hmmm................

Friday, August 31, 2012

You gotta be kidding!!

Lama betul saya tidak bercerita disini.

Hari ini saya ingin membawakan sebuah cerita yang mungkin lebih menakutkan dari cerita-cerita seram. Saya sendiri agak terkejut kerana diberitahu akan adanya kejadian sebegini di tempat kita. Cerita yang saya sampaikan disini adalah kisah benar yang terjadi beberapa bulan yang lalu di sebuah kedai kopi di Kg.Air.

"True or not?" kata saya kepada tauke salon kecantikan itu.
"..true..true..my customer just shared his story..very funny...hahaha.." ketawanya sambil menekup mulut.

Saya terpaksa menyuruhnya menceritakan sekali lagi kepada saya kerana minda saya seakan tidak dapat menerima apa yang diceritakannya itu.

"begini..." ceritanya.

"Seorang pelanggan saya berkongsi tempat duduk dengan satu orang di meja sebab semua meja telah dipenuhi pelanggan lain. Kemudian orang yang tidak dikenalinya itu berkata tiba-tiba ..

"itu..duit RM10 ringgit kau punyaka?" sambil menuding jari di bawah kerusi pelanggan saya itu, cerita Kathy.

Apalagi si kawan kita itupun memandanglah dibawah kerusinya. Bila dia mendongak keatas semula, alangkah terperanjatnya, telefon bimbit yang diletakkan diatas meja itu telah hilang. Si kawan kita pun geram lalu berkata kepada lelaki yang tidak dikenalinya itu.

"Kau ambil telefon saya ka?" (Hanya mereka berdua sahaja yang duduk semeja)

Maka terjadilah pertengkaran kecil disitu.

"Kau ada nampak saya ambil ka?...lalu dikeluarkan telefon kepunyaannya. "Ini saya punya telefon..." - lalu dihempasnya diatas meja sehingga pecah.

"kau bayar saya sekarang!!!" kata lelaki yang menghempas telefonnya itu kepada pelanggan kawan tauke salon kecantikan saya itu.  

"mau bayarka tidak??" di herdiknya lagi kepadanya.

Kemudian semua pelanggan disitu bangun dan mengerumuni kawan tauke kita yang malang itu. Rupa-rupanya mereka itu satu 'geng' yang sama. Mahu tidak mahu, si kawan kita yang malang itu terpaksa membayar 'ugutan' lelaki yang tidak dikenalinya itu.

AIKKKK!!! bingung! You gotta be kidding!

Geram pun ada...lucu pun ada....I just don't know what to say.. Adakah patut begitu pula? Aik! Aik!

Nasib..nasib....sudahlah telefon diambil orang..kemudian diugut membayar pula. Dunia apakah ini?
Jahat benar orang sekarang. Semakin maju pula taktik penipuan sekarang. Cukup menakutkan!

Jadi, kawan-kawan sekalian.....berhati-hatilah diluar sana.  Kadang-kadang ia tidak seperti apa yang kita jangkakan. Jangan sesekali kita terperangkap dalam situasi begitu. Macam-macam boleh berlaku.

Mana mungkin kita tahu.....mana mungkin kita tahu!

Monday, April 30, 2012

Bila tiada sudah keadilan...

Hari itu semasa saya melintasi kawasan itu dengan Sue, kami singgah sebentar membeli gula-gula kapas yang dibalut berpusing-pusing sehingga menjadi bentuk kon. Sudah lama saya tidak makan gula-gula itu dan kebetulan hari itu kami ternampak gula-gula kapas lembut berwarna merah muda.

Selepas menghulurkan wang kepada penjual yang berbadan gempal itu, saya bertanyakan kepadanya, "kamu pandai masak ka..? Saya bertanyakan kepadanya soalan itu kerana secara kebetulan ada rakan saya yang membuka restoran dan menyuruh saya menolong mencarinya tukang masak.

"Boleh"..kata lelaki itu. "Saya pandai masakan Jipun" tambahnya lagi.

"waa....bagus ..bagus.." kata saya. "Tapi mengapa kamu buka bisnes ini?"..bagus kamu kerja di restoran la." kata saya yang memang agak peramah.

"tidak boleh lagi..."

"napa"

"kana blacklist suda sia ini.." (saya di blacklist) katanya terus terang.

"Hah..kenapa...apa sebab?" tanya saya.

"Saya bakar kadai"..mana-mana pun tidak mau ambil saya karja lagi.." katanya kepada saya. Kemudian diapun menceritakan kepada saya betapa majikan lamanya itu tidak membayar gaji kepadanya selama 2 bulan. Disebabkan tekanan emosilah maka dia mengambil keputusan drastik dengan membakar kedai majikan lamanya itu.

Terperanjat saya sebentar. Sue dan saya berpandangan tanpa mengeluarkan sebarang kata. Mungkin teramat terkejut. Pada masa itu saya tidak lagi berseloroh lagi dengan pemuda gempal yang kelihatan lewat 20an itu.

Saya kemudian mengatakan kepadanya "Tidak perlu kamu bakar kadai bha.....kasi repot saja sama 'labour' sana.."

Sedih pula saya rasa sebaik sahaja berlalu dari situ. Rasa kasihan pada si penjual tu pun ada..begitu juga rasa gerun. Aduuiiiii...........

Sunday, April 15, 2012

...yang pelik dan tiga suku...

Lama benar tidak bercerita ..sebenarnya saya bukannya tidak sibuk lagi tapi tersangatlah sibuk tetapi ada sesuatu yang teringin sangat saya kongsikan bersama. Cerita kali ini adalah berkenaan dengan hal temuduga.

Kebanyakkan kerjaya saya yang pernah saya sandang melibatkan saya menjalankan sesi temuduga. Kali ini saya ingin berkongsi dengan semua apakah kesilapan-kesilapan yang seringkali berlaku semasa dan sebelum temuduga yang jarang-jarang diambil kira. Saya berharap dengan menulis perihal ini, kawan kawan dan rakan pembaca mendapat tips melalui cerita ini.

TIPS 1
Data Peribadi dan Kelayakan (RESUME)
Anda disarankan menulis secara ringkas mengenai data peribadi seringkas mungkin dan disertakan sekeping gambar. Yang penting untuk si penemuduga adalah pengalaman bersertakan tahap pencapaian akademik. Elakkan karangan yang berjela-jela.

'Resume' yang baik dan lengkap disarankan tidak melebihi 3 mukasurat. Saya pernah mendapat resume melalui email sebanyak 13 mukasurat tetapi tanpa nombor telefon.
Dia GAGAL!

TIPS 2
Masa dan Hari Temuduga
Sekiranya anda telah dipanggil untuk sesi temuduga, jangan sekali-kali memberi alasan bahawa anda tidak dapat hadir pada hari tersebut dan alasan-alasan lain. Orang yang menemuduga anda itu bukanlah sahabat anda. Mereka adalah orang yang menentukan nasib anda samada dipilih untuk bekerja di syarikat atau tidak.

Sikap anda yang memberi alasan ini dan itu menjadi penentu kegagalan anda secara langsung. Anda tidak sedar, sikap sebegitu membuatkan para penemuduga membuat kesimpulan bahawa anda adalah seorang yang tidak bertanggungjawab, berdisiplin dan kurang minat.

TIPS 3
Kelayakan
Saya pernah bertanyakan kepada seorang pemohon melalui telefon, mengapa dia ingin bekerja di kawasan itu? Dia memberitahu saya secara ringkas "Bini (isteri) saya ada disana" .
Jawapannya itu sangat membingungkan saya! Alasan seperti itu tidak boleh melayakkan anda untuk diambil kerja. Harap Maklum!

TIPS 4
Cara Pemakaian
Majoriti pemohon yang pernah datang dalam sesi temuduga yang pernah dikendalikan saya itu ternyata tidak begitu mengambil kira dari segi pemakaian. Anda haruslah ingat, sekiranya anda ingin diambil kerja, anda harus memberikan keyakinan kepada para penemuduga, dan perkara ini tidak hanya melibatkan kerjaya professional sahaja, pemakaian adalah lambang siapa diri anda secara mata kasar.

Pemohon lelaki disarankan memotong rambut sekiranya rambut anda panjang dan tidak teratur.
Pemohon perempuan pula ditegah memakai 'skinny jeans' ataupun memakai 'aksesori' yang keterlampauan. Badan yang berbau dan mengunyah gula-gula getah juga tidak akan melayakkan anda untuk diterima bekerja. It's not cool!

TIPS 5
Mengutuk 'boss' lama
Hah! Jangan sekali-kali mengutuk majikan lama anda. Beritahu sahaja secara terus terang bahawa anda tidak gembira bekerja di sana. Sekiranya didesak untuk memberitahu keadaan sebenar..katakan sahaja kepada penemuduga anda bahawa anda tidak begitu selesa untuk menceritakan perihal syarikat/majikan dulu dan anda tidak mahu dia (penemuduga) memberi gambaran yang salah dengan membuka keburukan orang lain.

Saya pernah dengar bermacam-macam cerita kutukan mengenai majikan lama oleh si pemohon.
Kalau boleh..jangan dikutuk. Jawapan seperti "saya kira..kerja itu tidak begitu sesuai dengan saya" mungkin dapat diterima dengan baik.

TIPS 6
Gaji
Kebanyakkan pemohon memohon gaji yang terlalu tinggi, kelayakan dan pengalaman kurang pula. Huh!! Bayangkan anda diminta membayar sekeping roti canai dengan harga RM7? Faham maksud saya?

TIPS 7
Tempat Tinggal
Pohonlah pekerjaan yang tidak begitu jauh dari tempat anda tinggal dan mempunyai kemudahan awam untuk berulang-alik dari tempat kerja. Tempat tinggal anda yang jauhnya "hujung dunia' akan menggagalkan sesi temuduga anda meskipun anda layak menyandangnya kecuali anda mempunyai kenderaan sendiri dan bersungguh-sungguh dalam permohonan anda.

TIPS 8
Alamat Email.
Elakkan dari memberikan alamat email yang kreatif seperti sugarbabe, honeybuzzin, matrempit123, dan lain-lain. Sekiranya kerja yang anda sandang memerlukan anda memberikan alamat emel, ciptalah satu khas untuk hal-hal bersangkut paut dengan kerja. Alamat emel dengan nama-nama kreatif adalah tidak sesuai dipakai. Saya pernah mendapat alamat emel ini..
jamesbond@.... Wahhh! hebat!

Saya rasa ini saja yang dapat saya huraikan buat masa ini. Saya berharap para blogger dan pembaca-pembaca sekalian sudi memberikan komentar supaya kita dapat belajar dari satu sama lain.

Jumpa lagi di entri baru nanti. Salam sejahtera.