Thursday, November 27, 2008

Sahabat yang baik..tidak ternilai harganya

"Boss..selamat pagi..sori saya menganggu ...ayah Jim meninggal dunia pukul
lima pagi tadi" kata saya dalam telefon. Terdiam seketika boss saya itu.
Kemudian saya meneruskan lagi.."dia memerlukan pertolongan".
"Okay" jawab boss saya dan kami pun mengakhiri perbualan singkat pagi itu.

Sebenarnya Jim (nama samaran) adalah kawan baik kepada pengarah syarikat saya.
Saya pun rasa agak guguplah tapi saya mesti memberitahunya akan perkara itu.
Sebenarnya Jim dan bapanya sahaja yang tinggal di Sabah. Adik-adik perempuannya
semuanya telah berkahwin dan berhijrah ke luar negeri. Ibunya pula berada di
Hong Kong bersama adik perempuannya ketika itu. Tapi syukurlah ibu beliau dan
beberapa orang adiknya sempat pulang melihat bapa mereka pada kali yang terakhir.

Salah seorang pekerja Jim berkawan baik dengan saya dan dialah yang memberitahu
saya akan hal yang mengejutkan itu. "Kasihan sungguh" kata kawan saya.
"Dia benar-benar keseorangan menghadapi ini semua.. hanya kepada kamilah,
pekerjanya yang menolong menguruskan hal pengebumian, surat kematian,
membeli persiapan ini dan itu
untuk pengebumian bapanya" kata kawan saya
dengan nada yang sedih.


"Ya...saya tahu akan perasaan itu" kata saya. Saya juga pernah kehilangan seorang
kakak yang dilahirkan cacat beberapa tahun yang lalu. "Baguslah kalau dapat
menolong Jim..dia memang sangat memerlukan sokongan dari semua" kata saya.

Sebenarnya saya telah meminta kebenaran untuk menulis cerita ini kerana ada
satu aspek yang saya ingin sentuh disini yang saya rasakan amat benar.
Kadang-kadangtu, bila didalam kesusahan, sahabat handai dan rakan taulan
yang rapat banyak memberikan sokongan moral kepada kita.

Saya masih ingat, ada satu masa itu, saya pernah mengalami stress yang amat teruk.
Saya meminta sahabat saya, Eleen untuk menemani saya untuk 'brisk walk' di
sebuah taman berdekatan bangunan Arkib. Kami sudah berjalan hampir 2
pusingan dan sebelum mengucapkan "selamat tinggal'..kawan saya memberitahu
saya bahawa bahagian kakinya sedikit sakit. (..sudah seminggu kakinya sakit)

Sayapun bertanyakan kepadanya "kenapa kamu tidak memberitahu saya.."
'kata saya sedikit kesal.
"Saya risau tentang kamu dan saya ingin menemani kamu" kata kawan saya itu.
Saya terus memeluknya. Disaat itu saya mengalirkan airmata.

Sejak hari itu, saya belajar seperkara lagi tentang kehidupan. Wang dan harta
boleh dicari tetapi sahabat yang baik dan memahami adalah umpama sebutir
permata dipasiran pantai.

Sunday, November 23, 2008

Aduhai...TEE

"Eer...saya pun mau tulis bloglah..macamanalah tu" tanya Tee, gadis dari Syarikat perakaunan yang dihantar ke pejabat saya pada Jumaat lalu. Saya pun berkata dengannya. Saya bukanlah pandai sangat dalam bidang penulisan ni, baru belajar sebab sebelum ber'blogging' ini saya tak pernahpun menulis. Kadangtu tak ada idea pula nak menulis.

Tapi pagi ini saya menulis kerana saya agak kagum dengan sikap Tee itu atau panggilan manjanya TeeTee..(macam TT duit keluar dari bank). Dia merajuk gak bila saya katakan padanya saya nak tulis nama TeeTee..dikatanya.."Ala..nama tak best...tulis jer nama "Tee"..glamour sikit katanya sambil tersipu-sipu malu.

Aikkk....melebeh-lebeh pulak ko arr Tee...hik hik (nah..senyum-senyum suda dia)

Tengahari tu kami berjalan sekejap di Tamu. Tee yang ajak saya. Orangnya cantik..eh eh silap..Tee cakap dengan saya kalau nak tulis cerita tentang dia..jangan tuliskan diatu cantik..tapi 'kiut"..ok..ok..dah tulis pun. (tersengih lagi ..)

Sepanjang perjalanan di tamu dari gerai A-Z tu, saya agak sedikit kekok dan juga kagum dengan sikap Tee yang begitu peramah sekali.
"Eh..macam sadap itu makanan? Mana ko beli..." ditanyanya pada makcik yang menjual tembakau. Tersenyum-senyum dan dibalas pula pertanyaan itu oleh makcik yang menjual tembakau tu. Dari tapak penjualan kura-kura, madu lebah dan lain-lain, Tee menyapa mereka. Terasa pula macam berjalan dengan bakal YB. Hik Hik..

Hari ni saya ada temujanji lagi dengan Tee..dia mahu saya menemaninya ke sebuah majlis perkahwinan.
"Eh..boleh ke pergi kalau tak dijemput..? kata saya sambil menggaru-garu kepala yang tak gatal. "Eh boleh ba..di Kampung Petagas..kawan saya tu."...katanya

Saya menulis cerita tentang Tee ni sebab saya rasa baru pertama kali saya berjumpa orang yang sebegitu peramah. Seronoklah berkawan dengannya..tak kering gusi ketawa. Hari ni saya bercerita santai jer..lain kali kita berbincang akan satu isu kehidupan yang lain pula. Salam Sejahtera buat semua.

(Kawan-kawan bloggers yang mengenali Honey...berilah sedikit "komentar" untuk Tee. Dia nak cari kenalan tu...huhu.."hi" ka? gitu arr..jangan nakal-nakal tau)

Tuesday, November 18, 2008

Dimanakah silapnya..? Bahagian 2

Seperti yang telah dijanjikan saya mahu berceritalah..tapi sebelum itu saya
ingin mengucapkan terimakasih kepada kawan-kawan yang memberikan
respon yang baik pada pertanyaan saya.Setiap kali apabila kita menyentuh
aspek ini, ramai yang akan terus berpendapat seperti komen-komen sahabat
bloggers di sini. Saya cukup bersetuju sekali dan tak menyangkal walau
satupun komen bernas mereka..tapi cerita yang saya paparkan ini akan
membuat kita berfikir dan melihat dari satu sudut yang berlainan pula.

Ini adalah cerita benar yang saya dengar dari orang lain.

Lis (nama samaran) dan suaminya adalah sepasang suami isteri yang muda.
Kedua-duanya memang cocok, Lis memang cantik, suaminya kacak pula.
Suaminya adalah seorang pegurus pengendali makanan dan mereka
hidup secara sederhana sahaja. Demi sokongan dan kasihnya pada suami,
Lis akan bangun seawal pukul 3pagi untuk membuat juadah-juadah untuk
dijual. Lis memang isteri yang baik(bukan senang nak buka bisnes makanan ni..)
Begitulah jadual mereka setiap pagi dan setiap hari. (Mereka mempunyai
sepasang cahayamata). Mungkin sebab kesukaran untuk membuat perniagaan
sendiri, mereka beralih kepada bidang yang lain, Lis dan suaminya masing
masing bekerja di syarikat yang berlainan.

Tidak tahu pula dimanakah silapnya apabila Lis berkasihan pula dengan lelaki lain.
Dia seringkali dilihat mabuk-mabuk. Kasihan betul kata kawan saya itu.
Adakah Lis sengaja curang? Dari awal lagi kita ketahui..Lis adalah perempuan
yang rajin dan baik. Saya cukup terkilan apabila mendengar cerita sepasang
suami isteri ini. Dimanakah silapnya? Saya berpendapat, Lis mungkin patah
hati atau kecewa akan sesuatu perkara...kerana perempuan tidak semudah
itu untuk beralih kasih apalagi kita sudah sedia maklum dari awal, dia adalah
isteri yang rajin dan baik. Tentu kamu akan berkata 'hati manusia akan berubah'
...bagaimana pula ya boleh jadi begitu drastik?

Cerita Kedua

Hampir 25 tahun, Don(nama samaran) mengahwini perempuan itu.
Perempuan itu tidak pernah melayannya seperti seorang suami. Segala
pakai minum anak-anaknya dan dirinya diuruskan sendiri. (Kes ini memang
agak ganjil sedikit dan keterlampauan) Baru-baru ini dia telah menemui
seorang perempuan. Mereka saling berkasihan. Ibu Don pernah juga
mencarikan seorang isteri untuknya kerana katanya perempuan yang
dikahwininya itu tidak berguna sama sekali. Saya cukup bersetuju.

Apa yang membuat saya tertanya tanya, bukanlah sangat tentang perihal
masalah mereka kerana semua orang mempunyai masalah unik masing-masing.
tetapi apa yang menjadi persoalannya ialah...sudah sampai ketahap yang teruk
sebegini dan baru menemui kebahagiaan sendiri, bolehkah Don dikatakan
seorang yang curang..maklumlah masih terikat dengan seseorang dan

adakah pula Lis seorang isteri yang tidak baik?

Adakah ini dikatakan permainan nafsu semata-mata? Don pernah meluahkan
kesedihan hatinya kepada seorang 'kakak' yang saya kenali..katanya,

'kamu tidak tahu betapa sunyinya hati saya'..selama 25tahun saya
berasa seperti hidup keseorangan'..

Saya mati akal. Sedih pula saya rasa..tapi iyalah.."luka di tangan nampak
berdarah..luka dihati siapa yang tahu?" Dimanakah silapnya...? Saya tidak
ada jawapan untuk itu.


Dimanakah silapnya..? - Bahagian 1

Sebenarnya banyak yang ingin saya tuliskan disini tetapi ada sesuatu yang menjadi tanda tanya saya sejak dulu lagi. Banyak postingan saya sebelum ini selalunya mengambarkan perihal kehidupan. Tema sebegitu memang tidak lari dari penulisan saya kerana saya memang mempunyai ramai kawan-kawan dari berbagai lapisan masyarakat dan juga dari berbagai umur..bermula dari yang sekolah tadika sehinggalah pada yang boleh saya gelarkan datuk.

Hari ini saya nak menyentuh perihal suami isteri yang curang. Mengapa berlakunya perkara tersebut, dimanakah silapnya? Saya ada dua cerita untuk dipaparkan disini..(malam ini baru saya tulis di blog) tetapi saya ingin mendapat komen dari para pembaca. Saya ingin membaca pendapat kamu ataupun pengalaman dan cerita yang pernah kamu dengar.

Kali ini kamu cerita dulu..

Friday, November 14, 2008

Saya cukup menyampah kalau...

Sejak kebelakangan ini saya memang agak sibuk sekali. Banyak kerja yang
perlu disiapkan. Cepat benar masa berlalu. Hari ini sahaja saya sibuk
menghadiri sebuah seminar di Le-Meridien.Bila bercakap pasal seminar tu
...maksudnya termasuklah makanan yang jarang-jarang kita makan.
Mana tahan makan makanan hotel..bukan murah tu.. Selalunya saya
'tapau' sahaja dari rumah untuk bekalan tengahari..makan ala kadar sahaja.
Asal kenyang perut..okaylah tu..

Anda tahu tak apakah yang paling membuat kita bosan bila
menghadiri seminar..atau kursus atau apa-apa sahaja? Bagi sayalah,
saya cukup menyampah apabila adanya deringan telefon. Nasib baiklah
saya dapat mengawal kesabaran saya pagi tadi..kalau ikutkan hati mahu
saja saya maki perempuan disebelah saya yang tak habis2 menjawab telefon.
Orang jenis ni memang 'bebal' sikit arr...

Lagi satu, menghadiri jamuan, majlis majlis perkahwinan atau apa-apa sahaja keramaian..adakah anda perasan..ada orang tak menepati masa?
Mengapa dan kenapa kita bersikap begitu?Adakah ini sikap orang-orang kita?
Sikap 'datang lambat' itu seolah-olah telah menjadi satu fenomena yang
sudah cukup lama sebati dalam masyarakat kita. Saya paling kasihan melihat
anak-anak yang turut hadir dalam majlis sebegini. tentu mereka kelaparan.
(saranan saya, makan sedikit sebagai alas perut sebelum menghadiri apa-apa majlis)

Saya rasa anda tentu pernah mengalaminya. Saya cukup hairanlah, mengapa
susah sangat untuk menepati masa? tak terfikirkah..bukankah sikap
'datang lambat' itu seperti tidak menghormati hos kita? Bagi saya hanya
ada satu jalan penyelesaian sahaja untuk mendidik masyarakat kita.
Tulis je dalam kad jemputan .."Makanan akan dihidangkan TEPAT pukul
....sekian-sekian...!"Senang faham bukan?...samada tetamu jemputan datang atau tidak...makanan akan dihidangkan tepat pada waktu yang tertera dalam
kad jemputan. Kalau lambat..faham-fahamlah!

Monday, November 10, 2008

Jangan berfikir ke arah 'itu'...

Hari ni saya nak menceritakan sesuatu yang berlainan dari postingan
saya sebelum ini. Perkara ini terjadi setahun yang lalu apabila saya dan
kawan perempuan saya pergi menziarahi saudara perempuannya yang kurang sihat.

Perempuan itu "kurang sihat" bukan kerana sakit biasa tetapi lebih kepada
"sakit hati". Ceritanya begini, biarlah saya namakan perempuan ini 'J'.

'J' adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Masalah berpunca
dari suaminya yang bermain kayu tiga. Suaminya telah menemui perempuan
lain semasa menghadiri sebuah kelas tarian di bandar. Menurut cerita kawan
saya, suami si 'J' itu mula bersikap lain selepas menghadiri beberapa sesi tarian.
(itulah baik buruk kelas tarian..kalau berpasangan...hmmm...iyalah..tak perlulah
saya huraikan keadaan tu macamana..kita bukannya budak-budak sekolah rendah...)

Kawan saya itu memang pandai ber'diplomatik' dengan saudara perempuannya itu.
Kamu nak tahu...'J' telah banyak kali cuba membunuh diri. Nasib baiklah kawan
saya itu seorang yang penyabar, penyayang dan pandai pula 'berkata-kata'.
Pada hari saya melawatnya..'J' ada menyimpan mata pisau cukur didalam koceknya.
(Dia cuba mengelar pergelangan tangannya)..wuishh..nasib kami tiba awal arr..

Menurut kawan saya, 'J' sebenarnya sungguh kecewa kerana suaminya beralih kasih.
Saya dan 'J" sebenarnya tidak begitu mengenali satu sama lain (itulah sebabnya
dia banyak bercerita dengan kawan saya) Sesiapa juga akan berasa amat kasihan
melihat perempuan itu, walaupun matanya memandang kearah kamu, tapi
fikirannya jauh melayang sebenarnya. Dirinya cukup tidak terurus lagi.
Dia benar-benar patah hati.

(Tidak kira apa sahajalah penderitaan, kesedihan ataupun kesusahan yang kita alami, tak usahlah kita mengambil langkah yang salah iaitu dengan membunuh diri. Tindakan sebegitu sebenarnya tidak akan dapat menyelesaikan apa-apa masalah yang kita hadapi..bahkan hanya membuat orang lain yang menyayangi kita menderita diatas perbuatan kita. JANGAN sesekali berfikir kearah itu kerana sesungguhnya tindakan 'itu' tidak berbaloi sama sekali)

Saturday, November 8, 2008

Tanakvagu my friend!

Gambar ini diambil dari blog Tanakvagu-Fred, Kota Singa.

Saya dan Tanakvagu berkawan baik bermula dari siber chat di sebuah ruangan forum. Dia adalah sahabat siber saya yang pertama..semuanya bermula dari forum, kemudian ke Sabahan Blog (Butod) dan sehinggalah kami membuka blog masing-masing. Di Sabahan bloglah kami bersembang dan mula mengenali ramai-ramai sahabat lain seperti Andrik, Reno, Brader Butod, Casper, San, Sweetlady(sweet), Wel, Tot dan ramai lagi. (Maafkan saya kerana tak berapa ingat nama kawan-kawan yang lain)

Saya menganggap Tanakvagu macam adik saya sendiri. Bestla bercerita dengannya di forum..bermula dari thread berjudul "Temujanjiku dengan Honey" yang dibuka olehnya dan kemudian ke thread "Hi Honey" dimana thread ini dibuka pada 31 Mac tahun ini oleh seorang forumer dari Jakarta, Indonesia yang bernama Luv-luv.
Seringkali kami bercerita apa sahaja di ruangan forum itu...dari bersenam, masakan dan cerita-cerita seharian yang melucukan.

Untuk Fred...Terimakasih kerana sudi menjadi sahabat Honey yang pertama di alam Siber ini. Kamu adalah sahabat dan adik Honey yang baik. Jangan lupa pulang ke Sabah!
Untuk kawan-kawan bloggers yang lain, terimakasih kerana menjadi sahabat saya. Mari kita teruskan 'berblogging' dan berkenalan sesama bloggers. Bagi saya..anda adalah yang terbaik. Salam sejahtera.



Thursday, November 6, 2008

Wakakaka atau Huhuhuhu

Semalam betul betul hari yang sibuk untuk saya. "Mamat" akauntan pun datang
lambat..dah hampir masuk pukul 4.30pm baru nampak batang hidung! Selepas
sejam 'mental torture' dengan mamat tu, saya terpaksa bergegas ke bandar
untuk menghadiri kelas sebelah malam. "Bye, bos!" kata saya sambil melambaikan
tangan dan memandu pergi.

Saya tidak dapat menumpukan perhatian pada kursus yang diajar semalam
kerana saya memang keletihan. Saya menoleh kearah jam..ahh...hampir pukul 9.30malam..masa inilah saya benar-benar mengantuk dan terasa sengal-sengal
bahagian belakang badan. Rakan sebelah menyapa, "kamu tidak buat latihan
yang guru berikan?"..Saya cuma menggeleng-gelengkan kepala saja..
....buat latihan?..huhu..taik mata seguni adalah..kata saya dalam hati.

Saya nampak yang lain-lain pun agak keletihan juga..kemudian ada seorang member ni membuka tirai perbualan. "Eh..kamu nak dengar cerita tak?"...

"apa dia"..kata kami.

Begini ceritanya...
Ada seorang anak pergi melawat ibunya yang sakit sesak nafas dihospital.
Semasa berdiri disebelah katil ibunya, dia nampak ibunya memang semakin
sesak nafasnya. Sebab mungkin sukar untuk berbicara, maka si-ibu menyuruh
anaknya mengambil pena dan kertas untuk menulis..(pakai bahasa isyarat).
Kertas itu kemudiannya diberikan kepada anaknya ..dan anaknya itu melipatkan
kertas itu dan memasukkan ke dalam kocek kemeja tanpa membacanya.Si ibu
cuba memberi isyarat untuk mengatakan sesuatu tetapi kerana sesak nafasnya
yang tiba-tiba semakin teruk, si ibu pun meninggal dunia.

Di pendekkan cerita selepas pengebumian, si anak pun memanggil kesemua ahli keluarga terdekatnya.

" Saya menyuruh kamu berkumpul hari ini kerana disaat-saat terakhir ibu meninggalkan kita, dia ada menulis sekeping nota untuk kita.." kata si anak itu. Dia hampir pengsan apabila membaca nota itu.

Nota itu tertulis.."JANGAN PIJAK TIUB PERNAFASAN!!!!"

Tuesday, November 4, 2008

Huh!!

Baru-baru ini saya ada menemui kakak angkat saya. Kakak angkat saya
mempunyai beberapa lot kedai di sebuah kompleks membeli belah di
Kota Kinabalu. Saya ada bertanyakan padanya bagaimana perniagaannya
sekarang..dengan tersenyum sahaja dia menjawab..

"..perniagaan itu biasalah..turun naik keuntungannya , tetapi yang
paling menyakitkan hati apabila berdepan dengan saingan yang kurang sihat.."

Pada mulanya saya kurang mengerti apakah yang ingin disampaikan
oleh kakak saya itu, tetapi kakak terus menceritakan kepada saya
tentang perkara yang berlaku. Dikatanya lagi, bukanlah senang untuk
menceburi bidang perniagaan ini. Persaingan itu akan menjadi kurang
sihat bila adanya perasaan dengki-mendengki katanya lagi. Tak kisahlah
kalau kami menjual produk yang sama tetapi apabila kereta pun
menjadi mangsa, memang sudah keterlampauan katanya.

"..maksud sis, kereta digaris.."

"ya..." katanya lagi.

"Ohhhh.."

Kakak menyambungkan cerita lagi, "Saya pernah melihat dengan mata
saya sendiri, lelaki itu menggariskan kereta saya, didepan anaknya
yang berada didalam kereta".

"Huh.."

"Saya cukup hairan..dia tak malukah berbuat begitu didepan anak-anak" kata kakak sambil tersenyum hairan.

Pada pendapat sayalah, orang itu memang teruklah...kalau didepan anak-anakpun boleh bersikap begitu....saya tidak tahu nak bercakap apa lagi. Bukankah anak-anak selalunya akan mencontohi sikap ibubapa? Macamana nak disiplin anak kalau begitu pula gayanya? Bak kata pepatah " Bagaikan ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul...hmmm...dia sendiri jalan tak betul!

Saturday, November 1, 2008

Ingatlah..adanya mereka dikalangan kita

Dulu, semasa saya keluar kemana-mana sahaja, seringkali sahaja saya
ternampak budak-budak yang cukup nakal dan tidak mendengar nasihat
ibubapa. Saya terpaksa mengakui bahawa saya seringkali berpendapat
bahawa ibubapalah patut dipersalahkan dalam hal ini apabila anak
tidak mendengar cakap. Tetapi selepas saya menghadiri sebuah sesi
pertemuan yang dianjurkan oleh sebuah kelab, sangkaan
buruk saya itu memang jauh meleset.

Encik Tan dan isterinya menceritakan kepada kami semua bagaimana
sukarnya untuk mereka menjaga seorang anak yang menghidap
penyakit 'autism'. Anak-anak yang mengalami masalah ini sebenarnya
tidak menunjukkan apa-apa kekurangan dari segi fizikal. Mereka
kelihatan macam budak-budak yang lain. Menurut cerita pasangan
suami isteri ini..Mereka tahu dari riak airmuka orang lain betapa
mereka 'menyampah' dengan Danny yang seolah-olah terlalu 'dimanjai'
dan 'kurang disiplin'. Inilah keluhan mereka. Saya agak tersentak..saya
benar-benar tidak tahu akan adanya anak-anak yang mengalami
syndrom autism ini.
(Buat pengetahuan anda, 15 tahun dahulu, perangkaan autism adalah
diantara 1 kes - 5,000 tetapi mengikut rating hari ini, ia adalah 1 kes - 150)

Mereka terpaksa menjaga Danny mengikut masa kerana Danny
agak hyperaktif. Menurut mereka lagi, anak itu akan memanjat dan
tidak sedar akan perbuatannya yang mungkin membawa kecederaan
kepadanya. Pernah sekali mereka terlupa mengunci pintu pagar dan
Danny keluar entah kemana. Mereka mencari di merata tempat tapi
syukurlah ada orang yang mengenali anak ini dan membawanya pulang.
Dimasa inilah pasangan suami isteri itu mengalirkan airmata. Hati saya
juga turut hiba. Oh..begini pula rupanya mereka yang menghidapi autism.

Mereka sangat keletihan, kerana selain dari penjagaan yang rapi,
masalah kewangan, pelajaran yang berbeza dari mereka yang
normal serta mendapatkan bantuan pakar yang mengendalikan
kes sebegini, mereka terpaksa pula tidur bergilir-gilir untuk menjaga
Danny...dan semua kesusahan dan kepayahan ini hampir hampir
saja memusnahkan perkahwinan mereka.

Saya tidak mahu cerita lagi. Hati saya cukup sebak. Saya tahu selepas
saya mendengar cerita mereka, saya tidak akan lagi berfikiran begitu.
Saya tidak akan berprasangka yang buruk lagi. Saya harap anda juga
tidak berprasangka buruk apabila melihat seorang anak itu turun naik
eskalator...tekan-tekan butang lif..kelihatan terlalu nakal...dan tidak
menyahut apabila si ibu atau si ayah memanggil mereka.
Mereka mungkin anak-anak dari golongan ini.

PENCULIKAN!

Saya nampak perempuan itu. Perempuan yang kurus tinggi dan memakai
baju berbulu hitamputih. Rupanya perempuan itu adalah dalang penculikan
anjing-anjing comel disekitar kawasan itu selama ini. Banyak betul anjing-anjing
yang diculiknya. Dua orang konconya yang tidak berguna itu menjaga
anak-anak anjing itu disebuah rumah lama di atas bukit.

Saya terdiam, saya tak berani melaporkan kejadian itu kepada pihak
yang berkuasa. Saya rasa tidak berdaya..aaahhh...mengapa saya hanya
bercakap banyak selama ini..? Mengapa dan kenapa saya tidak boleh bertindak?
Kalaupun saya takut akan pembalasan mereka nanti..saya boleh menghubungi
'RakanCop'..bagi saja maklumat sebegini di pesanan ringkas..bukan susah?

Tapi saya memang penakut...saya tak mahu mencampuri urusan yang
bukan urusan saya...tapi betulkah tindakan saya ini..?

Huhuhu....terkena lagi! Macamanalah nak melaporkan kejadian itu?
Saya hanyalah pelakon tambahan sahaja...iyalah..duduk-duduk sambil
menonton 'Dalmation 101'...hehehe

Macam silap mata pulak bulan ni. Cepat betul masa berlalu..dan hari ini
genaplah dua bulan saya berblogging. Saya ingin mengucapkan terimakasih
kepada kawan-kawan yang selalu memberi sokongan dan membaca blog saya.
Saya ingin minta-maaf jikalau penulisan saya ada menyinggung perasaan mana-mana pihak..harap-harap tak adalah.

Sekian sahaja buat kali ini..lain kali saya serius pula. Hik Hik....