Saturday, December 31, 2011

Jangan kau lupa akan dia....

Beberapa bulan yang lalu, semasa saya berada di hospital bersamanya, dia menangis. Hampir setiap malam dia menangis dan melihat keadaannya yang begitu, saya juga turut menangis dan sebak. Tetapi setiap kali saya berasa sebak, saya akan mengalihkan pandangan saya dari dia. Saya berjalan ke arah katil yang tidak berpenghuni dan mengalirkan airmata.

"Mengapa kamu menangis?" tanya doktor pakar dari wad kecemasan itu kepada adik yang berusia hampir 20tahun yang terlantar diatas katil. Adik tidak menjawab...dia hanya memandang jauh dan sekali-sekala mengelapkan airmata.

Saya menceritakan kepada doktor akan kejadian sebenar yang menimpa adik. Kawan perempuan adik meninggal di tempat kejadian. Kejadian kemalangan yang menyebabkan kesesakan lalulintas hampir 2 jam di bandar metropolitan itu turut disiarkan di televisyen tempatan.

Adik menceritakan kepada saya, "hari itu kami bergaduh lagi.." 'dia meminta saya mengambilnya...sepatutnya saya keluar dengannya keesokkan harinya..tetapi saya ambil cuti dari bekerja. "..mengapa saya tidak sabar...""mengapa saya tidak sabar" ratapnya.

Keluhan hatinya diceritakan satu persatu kepada saya. Katanya lagi " mengapa saya tidak mati hari itu..mengapa Tuhan ambil dia? ""..mengapa dia...?"

Saya hanya mampu mendengar keluhan hatinya. Jiwanya begitu lara kala itu. Mana mungkin dapat saya gambarkan melalui kata-kata. Adik yang mualaf itu seakan tidak sanggup lagi untuk hidup. Saya hanya mampu memberitahu dia agar bersabar dan janganlah berfikir apa-apa, yang penting dia cepat sembuh dan dapat melawat arwah di pusara.

"Kalau 'ayang' dah tak ada, abang jangan lupa sembahyang" katanya di pesanan ringkas hari itu. Adik menceritakan lagi bahawa dia tidak menyangka itulah kata-kata terakhir darinya. Tidak pernahpun dia berkata begitu..tetapi dia seakan-akan tahu akan perpisahan mereka.

Hari ini adalah hari terakhir tahun 2011. Ramai yang melalui suka duka kehidupan sepanjang tahun ini, begitu juga saya dan adik. Kejadian ini benar-benar telah membuat saya lebih matang.
Adik sangat mengesali akan pergaduhan mereka pada hari yang malang itu.

Mengapa kita harus bergaduh...mengapa begitu sukar untuk kita menghargai sebuah kedamaian?

Hari ini kita mungkin bersama..tetapi kita tidak tahu akan hari esok, lusa dan hari hari yang mendatang. Jadi sayangilah diri kita, keluarga kita dan mereka yang menyayangi kita. Luangkanlah masa demi keluarga dan orang-orang yang kita kasihi. Kerana kita tidak mungkin akan tahu....

Adik juga tidak tahu....

(Selamat Tahun Baru 2012. Kisah benar ini ditulis untuk mengingatkan semua rakan-rakan yang mengenali saya, dan pembaca yang setia..berhati-hatilah di jalanraya, ingatlah orang yang tersayang. Jangan biarkan perkara ini terjadi kepada anda. Salam Sejahtera.)

Wednesday, December 21, 2011

Roti yang berkrimkan mentega dan gula....

"What did you bring today?" tanya Cikgu Lim.

"bread.." kata anak kecil bertocang dua itu sambil menunjukkan bekas berwarna biru kepada cikgu yang memakai skirt labuh itu.

Keesokkan harinya, Cikgu Lim bertanyakan soalan yang serupa lagi. Dan pelajar Sekolah Rendah Convent Tahun 3 Merah itu menunjukkan bekas berisi roti yang berkrimkan mentega dan gula, roti jenis itu juga...

Dan begitulah hampir setiap hari cikgu yang berusia lingkungan awal 30an itu akan bertanyakan soalan yang sama, bagaikan satu rutin baginya apabila waktu rehat bermula. Tapi pada suatu hari, bila soalan itu diajukan lagi kepadanya, anak itu tidak mahu menjawapnya langsung menyorok bekas makanan itu dibelakangnya.

"..Show me what you bring today?" tanya cikgu yang mengajar Bahasa Inggeris itu dengan senyuman. Anak yang berusia 9 tahun itu berdegil.

"It's alright..show me what you bring?" katanya lembut. Mahu tidak mahu, terpaksalah anak itu menunjukkan bekas yang berisi roti yang berkrimkan mentega dan gula. Kali ini, Cikgu Lim menyerahkan bekas makanannya kepada anak kecil itu.

"Now..take this!" katanya kepada anak tukang kayu yang miskin itu.

"no need teacher.." jawabnya tersipu-sipu malu. Bekas yang berisi mee goreng itu ditolaknya dengan lembut. Haruman mee goreng yang lazat itu akhirnya diterima juga dan dimakannya dengan seribu satu perasaan yang sukar digambarkan olehnya. Gembira, segan, terharu.....

"..cikgu sayang kau lar.." kata Mia, rakan sekelas yang petah bercakap. Anak cina bertocang dua itu hanya mampu tersenyum-senyum kambing sahaja.

Tapi pada suatu hari itu, Cikgu Lim yang baik hati dan prihatin itu tidak hadir kesekolah. Hampir seminggu tidak nampak akan kelibatnya. Anak kecil bertocang dua itu amat susah hati, begitu juga kawan-kawan sekelasnya yang lain.

"Murid-murid....Saya ingin memberitahu bahawa Cikgu Lim telah dimasukkan ke hospital, Cikgu Farida akan mengambil alih kelas Bahasa Inggeris buat sementara waktu" kata guru besar yang berbangsa Inggeris itu.

Sedih menyelubungi seluruh kelas Tahun 3 itu kerana Cikgu Lim mengajar dengan cara yang berbeza dan amat menghiburkan. Hampir setiap hari, Cikgu Lim akan mengambil masa sekurang-kurangnya 15minit untuk menceritakan cerita-cerita kanak-kanak yang mashyur seperti "Cinderella", "Snow White", "The little Red Riding Hood"dan lain-lain lagi. Sunyi benar hari-hari sekolah yang dilalui oleh mereka semua tanpa sesi kelas Bahasa Inggeris yang sangat-sangat ditunggu-tunggu itu.

Seminggu kemudian apabila Cikgu Lim hadir kesekolah dia langsung menceritakan akan kemalangan yang menimpanya. Beliau hampir maut sekiranya tidak memakai sepatu getah ketika itu. Petir menyambar kawasan rumahnya ketika dia sedang menyeterika baju.

Hari ini saya menceritakan kisah ini kerana kisah ini amat menyentuh perasaan saya. Bagi saya, sikap keprihatinan dan kebaikan seseorang itu tidak akan dapat dinilai dengan apa sekalipun didunia ini. Mana mungkin kita dapat melupakan kebaikan seindah ini?

Anak cina bertocang dua yang membawa roti berkrimkan mentega dan gula itu, pada suatu masa dahulu ...adalah saya......

Thursday, December 1, 2011