Thursday, April 22, 2010

SAYA BETUL!

"..saya bingung...cukup bingung memikirkan ini...dan saya ingin bertanyakan kepada kamu, pernahkah kamu merasakan susah benar untuk membuat sesuatu keputusan terutama melibatkan soal kerja..?

Diatas adalah soalan yang dikemukan oleh Megan semasa kami berhubungan melalui telefon petang kelmarin. Apa tidaknya...fikir saya. Ada ramai rakan-rakan blogger yang saya kunjungi mengalami situasi yang sebegitu. Dilema untuk berhenti kerja.

"kenapa ni..?" tanya saya kepadanya.

Megan menceritakan kepada saya betapa susah hatinya apabila dia ingin mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Katanya, "....Penat saya memikirkannya...saya 'malas' dengan situasi kerja disini..tapi saya teringat pula, kalau saya berhenti kerja, banyak pula bil-bil yang terpaksa saya bayar dan tanggungjawab lain yang masih perlu saya pikul..

"ya' kata saya kepadanya. Saya juga pernah mengalami situasi begitu. Saya masih ingat pagi itu sewaktu tiba di perkarangan letak kereta di tempat kerja dulu, saya tidak keluar dari kereta.
Lama saya duduk didalamnya.

Kaki saya terasa begitu berat sekali untuk melangkah keluar dari kereta. Ingin sahaja saya pulang..tetapi saya memikirkan akan tanggungjawab di pejabat dan betapa perlunya menyelesaikan beberapa perkara penting yang memerlukan pemerhatian saya.

Tetapi nasib menyebelahi saya pagi itu kerana seorang sahabat menawarkan pekerjaan kepada saya dengan insentif yang menarik lagi. Apalagi, pagi itu juga saya telah memberikan surat notis sebulan berhenti kerja.

Saya tidak pernah menyesal dengan mengambil keputusan sedemikian. Kadang-kala bukan kerana kerja mencabar yang melemahkan semangat kita, sikap majikan yang kurang prihatin, terlalu sempurna, dan mempunyai sikap "SAYA BETUL" mungkin menjadi punca masalah seseorang pekerja patah semangat untuk bekerja dibawah pengurusannya.

Hmmm......anda tentu pernah mengalami ini semua!

Saturday, April 17, 2010

Sehijau tanah seberang...

Saya pura-pura tidak begitu memerhatikan dia. Perempuan yang berambut kasar kerinting dan diikat itu kelihatan sekali sekala mengesat airmata. "Ting" bunyi lif terbuka, dan kami keluar dari situ.

Saya tidak dapat melupakan wajah itu. Wajah yang begitu sedih dan sukar untuk digambarkan. Apakah kesedihan atau malang yang menghantui hidup perempuan yang ketinggiannya 5 kaki itu? Hmmm....*mengeluh*

Dalam satu minggu sahaja saya telah diketemukan bukan sahaja dengan satu perempuan yang menangis tetapi dua sekaligus. Satu lagi semasa saya menjemput Lis (bukan nama sebenar) datang ke rumah saya.

Saya hanya mendengar cerita Lis. Dia juga tidak dapat menahan sebakan. Saya sebenarnya hanya mengenali Lis di sebuah salun kecantikan dua tahun yang lalu. Lis sudahpun berumahtangga dan mempunyai beberapa orang anak yang masih kecil. Dan hari itu saya terperanjat melihatnya berbadan dua lagi. " Anak kembar" kata Lis.

Saya tidak tahu mengapa saya menulis entri yang begini kerana saya rasa begitu sukar untuk menyelami masalah mereka. Sebenarnya Lis yang berhempas pulas bekerja mencari nafkah siang malam untuk menyara anak-anaknya yang masih kecil. Suaminya pula tidak suka bekerja dan saban malam berjudi dan lebih gemar menghabiskan waktu di warung warung kopi bersama rakan sekamcingnya. (Aiishhh...susahlah kalau ini maciem...)

Hidup manusia ini memang penuh dengan berbagai ragam dan cabaran. Ada kalanya kita berasa sedikit cemburu atau irihati melihat orang lain bahagia dan seolah begitu sempurna hidup mereka. Kita selalu mengandaikan..."alangkah bahagianya mereka itu.."

Iyalah...macam kata pepatah Inggeris..."the other side of the field is greener"....tapi pabila meninjau dengan lebih dekat...aahhh...rupa-rupanya kehijauan yang kelihatan subur dan cantik di tanah seberang rupanya penuh dengan lalang pula. Begitulah silapnya penilaian kita!

Hmmmm....

Thursday, April 8, 2010

Anak seorang penoreh getah...

Sebelum abang berangkat ke luar negeri, dia pernah menceritakan kepada saya zaman-zamannya yang lalu sewaktu dia masih seorang guru sekolah rendah.
Saya masih ingat suatu petang di bulan June itu, abang berkongsi cerita dengan saya dimana kelas yang diterajuinya mengadakan hari perpisahan untuknya. Anak-anak kecil (saya tidak ingat darjah berapa..) memberikan hadiah untuknya.

Kata abang tersenyum, "Kadang-kadang abang rasa lucu bila teringatkan ragam anak-anak ini.."
Abang pernah dapat pensel yang dibalut dengan suratkhabar..."

"hahaha.." saya tergelak. "Tidak apalah...hadiah yang ikhlas...walaupun sebatang pensel.." kata saya tersenyum lagi.

Cerita abang ini telah mengingatkan saya akan sebuah lagi kisah pengalaman yang pernah diceritakan oleh guru besar sekolah rendah saya.

Katanya, semasa Hari Guru, beliau telah diberikan hadiah oleh hampir setiap murid-muridnya. Bermacam-macam hadiah telah dibuka olehnya di depan anak-anak muridnya. Reaksi mereka penuh dengan teriakan ...Huuuu.....wowww....dan tepukan tangan gembira. Tapi ada satu kesilapan yang dilakukannya secara tidak sengaja.

Saya masih ingat pagi itu, kami telah mendengar dengan penuh minat akan cerita guru kesayangan kami itu.

Katanya lagi...

" Saya telah membuka hadiah yang diberikan oleh gadis berketurunan India ini.." Hadiahnya yang berupa sekeping cikolet yang berharga RM1 (mahal di zaman itu..) membuatkan seluruh kelas mengetawakannya.

"Saya berasa cukup menyesal...anak itu hanya tunduk memandang lantai sahaja" kata guru besar sambil memandang jauh. Saat itu kami ternampak ada sedikit airmata bergelinang dimatanya.

Selepas sesi sekolah tamat, beliau telah menyuruh anak kecil itu ke pejabatnya. Katanya kepada murid yang bertocang itu.

"Dimana kamu dapat wang membeli cikolet ini untuk cikgu?"

"Saya kumpul duit...mama bagi saya duit belanja sekolah setiap hari.."

Guru Besar yang berbangsa Inggeris itu terus memeluk anak kecil itu. Anak seorang pekerja ladang getah. Dia tidak tahu anak kecil yang miskin itu telah mengumpul wang belanja sekolahnya setiap hari hanya untuk membelikan sebuah hadiah untuknya.

Dia memberitahu kami, selepas kejadian itu, dan pada setiap kali menjelangnya Hari Guru, beliau pasti akan meminta izin terlebih dahulu sebelum membuka hadiah agar tidak mengulangi kesilapan itu.

Kata guru besar, hadiah sekeping cikolet pemberian anak kecil itu adalah hadiah terbaik dikalangan hadiah hadiah yang lain yang pernah diterimanya.

Dulu, saya tidak begitu memahami maksudnya tetapi sekarang apabila sudah dewasa, saya telah memahami segalanya. Inilah pemberian yang terbaik buatnya..mengapa tidak? Mana mungkin ada penghargaan yang lebih baik selain penghargaan sebegini?

Hmmm...