Monday, April 30, 2012

Bila tiada sudah keadilan...

Hari itu semasa saya melintasi kawasan itu dengan Sue, kami singgah sebentar membeli gula-gula kapas yang dibalut berpusing-pusing sehingga menjadi bentuk kon. Sudah lama saya tidak makan gula-gula itu dan kebetulan hari itu kami ternampak gula-gula kapas lembut berwarna merah muda.

Selepas menghulurkan wang kepada penjual yang berbadan gempal itu, saya bertanyakan kepadanya, "kamu pandai masak ka..? Saya bertanyakan kepadanya soalan itu kerana secara kebetulan ada rakan saya yang membuka restoran dan menyuruh saya menolong mencarinya tukang masak.

"Boleh"..kata lelaki itu. "Saya pandai masakan Jipun" tambahnya lagi.

"waa....bagus ..bagus.." kata saya. "Tapi mengapa kamu buka bisnes ini?"..bagus kamu kerja di restoran la." kata saya yang memang agak peramah.

"tidak boleh lagi..."

"napa"

"kana blacklist suda sia ini.." (saya di blacklist) katanya terus terang.

"Hah..kenapa...apa sebab?" tanya saya.

"Saya bakar kadai"..mana-mana pun tidak mau ambil saya karja lagi.." katanya kepada saya. Kemudian diapun menceritakan kepada saya betapa majikan lamanya itu tidak membayar gaji kepadanya selama 2 bulan. Disebabkan tekanan emosilah maka dia mengambil keputusan drastik dengan membakar kedai majikan lamanya itu.

Terperanjat saya sebentar. Sue dan saya berpandangan tanpa mengeluarkan sebarang kata. Mungkin teramat terkejut. Pada masa itu saya tidak lagi berseloroh lagi dengan pemuda gempal yang kelihatan lewat 20an itu.

Saya kemudian mengatakan kepadanya "Tidak perlu kamu bakar kadai bha.....kasi repot saja sama 'labour' sana.."

Sedih pula saya rasa sebaik sahaja berlalu dari situ. Rasa kasihan pada si penjual tu pun ada..begitu juga rasa gerun. Aduuiiiii...........

Sunday, April 15, 2012

...yang pelik dan tiga suku...

Lama benar tidak bercerita ..sebenarnya saya bukannya tidak sibuk lagi tapi tersangatlah sibuk tetapi ada sesuatu yang teringin sangat saya kongsikan bersama. Cerita kali ini adalah berkenaan dengan hal temuduga.

Kebanyakkan kerjaya saya yang pernah saya sandang melibatkan saya menjalankan sesi temuduga. Kali ini saya ingin berkongsi dengan semua apakah kesilapan-kesilapan yang seringkali berlaku semasa dan sebelum temuduga yang jarang-jarang diambil kira. Saya berharap dengan menulis perihal ini, kawan kawan dan rakan pembaca mendapat tips melalui cerita ini.

TIPS 1
Data Peribadi dan Kelayakan (RESUME)
Anda disarankan menulis secara ringkas mengenai data peribadi seringkas mungkin dan disertakan sekeping gambar. Yang penting untuk si penemuduga adalah pengalaman bersertakan tahap pencapaian akademik. Elakkan karangan yang berjela-jela.

'Resume' yang baik dan lengkap disarankan tidak melebihi 3 mukasurat. Saya pernah mendapat resume melalui email sebanyak 13 mukasurat tetapi tanpa nombor telefon.
Dia GAGAL!

TIPS 2
Masa dan Hari Temuduga
Sekiranya anda telah dipanggil untuk sesi temuduga, jangan sekali-kali memberi alasan bahawa anda tidak dapat hadir pada hari tersebut dan alasan-alasan lain. Orang yang menemuduga anda itu bukanlah sahabat anda. Mereka adalah orang yang menentukan nasib anda samada dipilih untuk bekerja di syarikat atau tidak.

Sikap anda yang memberi alasan ini dan itu menjadi penentu kegagalan anda secara langsung. Anda tidak sedar, sikap sebegitu membuatkan para penemuduga membuat kesimpulan bahawa anda adalah seorang yang tidak bertanggungjawab, berdisiplin dan kurang minat.

TIPS 3
Kelayakan
Saya pernah bertanyakan kepada seorang pemohon melalui telefon, mengapa dia ingin bekerja di kawasan itu? Dia memberitahu saya secara ringkas "Bini (isteri) saya ada disana" .
Jawapannya itu sangat membingungkan saya! Alasan seperti itu tidak boleh melayakkan anda untuk diambil kerja. Harap Maklum!

TIPS 4
Cara Pemakaian
Majoriti pemohon yang pernah datang dalam sesi temuduga yang pernah dikendalikan saya itu ternyata tidak begitu mengambil kira dari segi pemakaian. Anda haruslah ingat, sekiranya anda ingin diambil kerja, anda harus memberikan keyakinan kepada para penemuduga, dan perkara ini tidak hanya melibatkan kerjaya professional sahaja, pemakaian adalah lambang siapa diri anda secara mata kasar.

Pemohon lelaki disarankan memotong rambut sekiranya rambut anda panjang dan tidak teratur.
Pemohon perempuan pula ditegah memakai 'skinny jeans' ataupun memakai 'aksesori' yang keterlampauan. Badan yang berbau dan mengunyah gula-gula getah juga tidak akan melayakkan anda untuk diterima bekerja. It's not cool!

TIPS 5
Mengutuk 'boss' lama
Hah! Jangan sekali-kali mengutuk majikan lama anda. Beritahu sahaja secara terus terang bahawa anda tidak gembira bekerja di sana. Sekiranya didesak untuk memberitahu keadaan sebenar..katakan sahaja kepada penemuduga anda bahawa anda tidak begitu selesa untuk menceritakan perihal syarikat/majikan dulu dan anda tidak mahu dia (penemuduga) memberi gambaran yang salah dengan membuka keburukan orang lain.

Saya pernah dengar bermacam-macam cerita kutukan mengenai majikan lama oleh si pemohon.
Kalau boleh..jangan dikutuk. Jawapan seperti "saya kira..kerja itu tidak begitu sesuai dengan saya" mungkin dapat diterima dengan baik.

TIPS 6
Gaji
Kebanyakkan pemohon memohon gaji yang terlalu tinggi, kelayakan dan pengalaman kurang pula. Huh!! Bayangkan anda diminta membayar sekeping roti canai dengan harga RM7? Faham maksud saya?

TIPS 7
Tempat Tinggal
Pohonlah pekerjaan yang tidak begitu jauh dari tempat anda tinggal dan mempunyai kemudahan awam untuk berulang-alik dari tempat kerja. Tempat tinggal anda yang jauhnya "hujung dunia' akan menggagalkan sesi temuduga anda meskipun anda layak menyandangnya kecuali anda mempunyai kenderaan sendiri dan bersungguh-sungguh dalam permohonan anda.

TIPS 8
Alamat Email.
Elakkan dari memberikan alamat email yang kreatif seperti sugarbabe, honeybuzzin, matrempit123, dan lain-lain. Sekiranya kerja yang anda sandang memerlukan anda memberikan alamat emel, ciptalah satu khas untuk hal-hal bersangkut paut dengan kerja. Alamat emel dengan nama-nama kreatif adalah tidak sesuai dipakai. Saya pernah mendapat alamat emel ini..
jamesbond@.... Wahhh! hebat!

Saya rasa ini saja yang dapat saya huraikan buat masa ini. Saya berharap para blogger dan pembaca-pembaca sekalian sudi memberikan komentar supaya kita dapat belajar dari satu sama lain.

Jumpa lagi di entri baru nanti. Salam sejahtera.