( Credit to google )
Dulu, saya pernah menulis akan kisah seorang guru besar yang
begitu tabah menghadapi cabaran sebagai seorang pendidik dan malam ini saya
akan membawakan sebuah kisah yang berbeza untuk tatapan semua. Kisah ini baru
sahaja disampaikan oleh rakan baik saya yang juga bekerja sebagai seorang pendidik.
“Saya masih ingat akan pelajar lelaki yang berusia 15 tahun
itu” cerita rakan saya yang berwajah lembut itu. Masa itu saya tidak begitu
mengenalinya. Dani (bukan nama sebenar) adalah rakan anak saya yang giat dalam
sukan olahraga. Pada suatu hari itu, anak saya terdengar perbualan Dani dan
rakannya sewaktu dia berjalan bersama-sama menuju ke kantin sekolah. Dani begitu teruja dan
berkata dengan rakannya itu"....
“Eh..ada perlawanan bola keranjangla.. kamu mau
kerjakah, kalau mau, dapat RM5 sehari. Waa...marilah kita jadi penjaga
masa..tidakpun penjaga markah..”
Petang itu anak saya pulang dari sekolah dan secara spontan menceritakan kepada saya
perihal Dani.
“Mengapa mau bekerja hanya
untuk RM5 sahaja, sepatutnya dia pentingkan pelajaran dahulu” kata anak saya.
Pada waktu itu saya mula tertanya-tanya “Mengapa budak ini begitu teruja untuk bekerja
walaupun gaji sambilannya cuma RM5?”
Saya banyak berfikir tentangnya dan hati
saya terasa sebak. “Iyalah, anak saya kira amat bertuah..mungkin wang RM5 tidak
seberapa buatnya dan dalam usia yang begitu, dia hanya memberikan pandangan
mengikut keadaan hidupnya yang tidak pernah susah” tambah rakan saya yang
tinggi lampai itu.
“Selepas itu sayapun merisik latar belakang Dani. Apa yang
saya ketahui kemudian mengenai Dani amat merobek hati saya. Rupa-rupanya Dani
datang dari keluarga yang miskin. Ibubapanya telah lama bercerai. Bapanya
langsung tidak mempedulikannya. Bayangkanlah, bila diminta pembayaran kos-kos
buku nota, bapanya langsung tidak datang. Bayaran buku tulis dan lain-lain
langsung tidak dihiraukan. Patutlah RM5 sungguh bermakna untuknya. Hati saya
sebak. Anak miskin ini mungkin pergi sekolah tanpa wang saku dan makan minumnya
mungkin juga tidak pernah terjaga” tambahnya panjang lebar dan sekali sekala kelihatan
rakan saya itu mengelap airmatanya.
“Masih disekolah sekarang?” tanya saya.
“Dani sudah dibuang sekolah...prestasi kedatangannya amat
rendah”... keluh rakan saya itu.
“Hati saya menangis setiap kali saya mengenangkannya dan
setiap hari itu juga saya berdoa untuknya.”
Sewaktu saya menulis akan cerita ini, saya juga berasa agak
sebak. Saya ingin bertanyakan kepada para pendidik, perlukah seorang pelajar
yang bermasalah itu diberhentikan sekolah? Tidak ada jalan lainkah untuk
menandatangani masalah sebegini? Apakah rekod kecemerlangan sebuah sekolah itu
lebih penting dari memberi peluang kedua, ketiga dan seterusnya untuk anak-anak
yang bermasalah ini? Adakah nama sekolah begitu penting nilainya dari masa
depan seorang pelajar yang sangat memerlukan sokongan moral dan perlindungan? Tidak ada cara lainkah selain dibuang sekolah? Mengapa kita perlu berputus asa? (Pertanyaan ini saya khususkan kepada masalah pelajar seperti Dani)
Apa masalah kita sebenarnya? Saya benar-benar ingin tahu!