No man is an island entire of itself; every man is a part of the continent, a part of the main.
Saturday, December 31, 2011
Jangan kau lupa akan dia....
"Mengapa kamu menangis?" tanya doktor pakar dari wad kecemasan itu kepada adik yang berusia hampir 20tahun yang terlantar diatas katil. Adik tidak menjawab...dia hanya memandang jauh dan sekali-sekala mengelapkan airmata.
Saya menceritakan kepada doktor akan kejadian sebenar yang menimpa adik. Kawan perempuan adik meninggal di tempat kejadian. Kejadian kemalangan yang menyebabkan kesesakan lalulintas hampir 2 jam di bandar metropolitan itu turut disiarkan di televisyen tempatan.
Adik menceritakan kepada saya, "hari itu kami bergaduh lagi.." 'dia meminta saya mengambilnya...sepatutnya saya keluar dengannya keesokkan harinya..tetapi saya ambil cuti dari bekerja. "..mengapa saya tidak sabar...""mengapa saya tidak sabar" ratapnya.
Keluhan hatinya diceritakan satu persatu kepada saya. Katanya lagi " mengapa saya tidak mati hari itu..mengapa Tuhan ambil dia? ""..mengapa dia...?"
Saya hanya mampu mendengar keluhan hatinya. Jiwanya begitu lara kala itu. Mana mungkin dapat saya gambarkan melalui kata-kata. Adik yang mualaf itu seakan tidak sanggup lagi untuk hidup. Saya hanya mampu memberitahu dia agar bersabar dan janganlah berfikir apa-apa, yang penting dia cepat sembuh dan dapat melawat arwah di pusara.
"Kalau 'ayang' dah tak ada, abang jangan lupa sembahyang" katanya di pesanan ringkas hari itu. Adik menceritakan lagi bahawa dia tidak menyangka itulah kata-kata terakhir darinya. Tidak pernahpun dia berkata begitu..tetapi dia seakan-akan tahu akan perpisahan mereka.
Hari ini adalah hari terakhir tahun 2011. Ramai yang melalui suka duka kehidupan sepanjang tahun ini, begitu juga saya dan adik. Kejadian ini benar-benar telah membuat saya lebih matang.
Adik sangat mengesali akan pergaduhan mereka pada hari yang malang itu.
Mengapa kita harus bergaduh...mengapa begitu sukar untuk kita menghargai sebuah kedamaian?
Hari ini kita mungkin bersama..tetapi kita tidak tahu akan hari esok, lusa dan hari hari yang mendatang. Jadi sayangilah diri kita, keluarga kita dan mereka yang menyayangi kita. Luangkanlah masa demi keluarga dan orang-orang yang kita kasihi. Kerana kita tidak mungkin akan tahu....
Adik juga tidak tahu....
(Selamat Tahun Baru 2012. Kisah benar ini ditulis untuk mengingatkan semua rakan-rakan yang mengenali saya, dan pembaca yang setia..berhati-hatilah di jalanraya, ingatlah orang yang tersayang. Jangan biarkan perkara ini terjadi kepada anda. Salam Sejahtera.)
Wednesday, December 21, 2011
Roti yang berkrimkan mentega dan gula....
"bread.." kata anak kecil bertocang dua itu sambil menunjukkan bekas berwarna biru kepada cikgu yang memakai skirt labuh itu.
Keesokkan harinya, Cikgu Lim bertanyakan soalan yang serupa lagi. Dan pelajar Sekolah Rendah Convent Tahun 3 Merah itu menunjukkan bekas berisi roti yang berkrimkan mentega dan gula, roti jenis itu juga...
Dan begitulah hampir setiap hari cikgu yang berusia lingkungan awal 30an itu akan bertanyakan soalan yang sama, bagaikan satu rutin baginya apabila waktu rehat bermula. Tapi pada suatu hari, bila soalan itu diajukan lagi kepadanya, anak itu tidak mahu menjawapnya langsung menyorok bekas makanan itu dibelakangnya.
"..Show me what you bring today?" tanya cikgu yang mengajar Bahasa Inggeris itu dengan senyuman. Anak yang berusia 9 tahun itu berdegil.
"It's alright..show me what you bring?" katanya lembut. Mahu tidak mahu, terpaksalah anak itu menunjukkan bekas yang berisi roti yang berkrimkan mentega dan gula. Kali ini, Cikgu Lim menyerahkan bekas makanannya kepada anak kecil itu.
"Now..take this!" katanya kepada anak tukang kayu yang miskin itu.
"no need teacher.." jawabnya tersipu-sipu malu. Bekas yang berisi mee goreng itu ditolaknya dengan lembut. Haruman mee goreng yang lazat itu akhirnya diterima juga dan dimakannya dengan seribu satu perasaan yang sukar digambarkan olehnya. Gembira, segan, terharu.....
"..cikgu sayang kau lar.." kata Mia, rakan sekelas yang petah bercakap. Anak cina bertocang dua itu hanya mampu tersenyum-senyum kambing sahaja.
Tapi pada suatu hari itu, Cikgu Lim yang baik hati dan prihatin itu tidak hadir kesekolah. Hampir seminggu tidak nampak akan kelibatnya. Anak kecil bertocang dua itu amat susah hati, begitu juga kawan-kawan sekelasnya yang lain.
"Murid-murid....Saya ingin memberitahu bahawa Cikgu Lim telah dimasukkan ke hospital, Cikgu Farida akan mengambil alih kelas Bahasa Inggeris buat sementara waktu" kata guru besar yang berbangsa Inggeris itu.
Sedih menyelubungi seluruh kelas Tahun 3 itu kerana Cikgu Lim mengajar dengan cara yang berbeza dan amat menghiburkan. Hampir setiap hari, Cikgu Lim akan mengambil masa sekurang-kurangnya 15minit untuk menceritakan cerita-cerita kanak-kanak yang mashyur seperti "Cinderella", "Snow White", "The little Red Riding Hood"dan lain-lain lagi. Sunyi benar hari-hari sekolah yang dilalui oleh mereka semua tanpa sesi kelas Bahasa Inggeris yang sangat-sangat ditunggu-tunggu itu.
Seminggu kemudian apabila Cikgu Lim hadir kesekolah dia langsung menceritakan akan kemalangan yang menimpanya. Beliau hampir maut sekiranya tidak memakai sepatu getah ketika itu. Petir menyambar kawasan rumahnya ketika dia sedang menyeterika baju.
Hari ini saya menceritakan kisah ini kerana kisah ini amat menyentuh perasaan saya. Bagi saya, sikap keprihatinan dan kebaikan seseorang itu tidak akan dapat dinilai dengan apa sekalipun didunia ini. Mana mungkin kita dapat melupakan kebaikan seindah ini?
Anak cina bertocang dua yang membawa roti berkrimkan mentega dan gula itu, pada suatu masa dahulu ...adalah saya......
Thursday, December 1, 2011
Monday, November 14, 2011
Bila pelangi hilang warnanya...
Hari ini seseorang mengemukakan soalan begini di fesbuk "mengapa sesetengah orang mengambil keputusan untuk membunuh diri?".."amatlah kasihan" tulisnya lagi. Soalan yang amat menarik, saya kira, kerana secara kebetulan, saya membaca dari suratkhabar Metro hari ini berkenaan seorang wanita berusia 42tahun mengambil keputusan drastik itu.
Saya amat bersimpati kepada anak si-mangsa yang masih kecil. Tentu amat sukar bagi anak itu untuk melalui saat sebegini..mungkin dia masih tertanya-tanya sehingga kini...mungkin juga airmatanya tidak pernah kering..
Saya hanya mampu mengeluh apabila membaca kisah-kisah benar ini. Itulah sebabnya di HONEYBUZZHIVE- blog Inggeris saya, saya telah memblog mengenai lagu "If I die Young" nyanyian yang disampaikan oleh The Band Perry. Lirik lagunya ada menyentuh perihal kesukaran yang dilaluinya...dan ini dapat dilihat dari liriknya yang mengatakan:-
"A penny for my thoughts"
Oh No..I'll sell em' for a dollar
They're worth so much more..after I'm a goner
And maybe then you'll hear the words I been singing
Funny..when you're dead how people start listening.."
Saya rasa ada kebenarannya pada barisan ayat ini.."..when you're dead how people start listening.."(apabila kamu sudah tiada(didunia ini) barulah mereka mahu mendengar?
Benar apa bukan? Selalunya bila seseorang itu meluahkan perasaan tertekannya, kita tidak mahu serius, kita hanya membiarkan mereka sahaja. Betapa silapnya kita dengan menganggap ia cuma satu luahan perasaan sahaja.
Bila nasi menjadi bubur, menangis airmata darah sekalipun tidak bermakna lagi.
Williborn -
"Bunuh diri sering dipilih sebagai jln terakhir sebab mereka ini sudah menemui jalan buntu untuk menyelesaikan masalah atau biasa dipanggil sebagai jalan senang untuk menutup segala macam derita dan penderitaan...kerana hanya memikirkan diri sendiri dan menganggap tidak berguna kepada sesiapa pun, maka terjadilah tragedi sedemikian rupa... "
De engineur -
"tapi dgn membunuh diri, bukan kah itu sangat mementingkan diri namanya?"
Friday, November 11, 2011
11.11.2011 ...Hanya dia....
(In remembrance of Tomi, Anne's brother - my friend)
Lama kita tidak bercerita. Hari ini dipilih oleh ramai pasangan untuk mendirikan rumahtangga, melafazkan cinta yang terpendam dan seribu satu kenangan yang tercipta. Segalanya terjawab, tiada lagi perasaan tertanya..mahupun jiwa yang setiap kala membara..
Saya masih ingat tahun itu, saya, Anne dan Halimah membuat biskut tart nanas. Sebenarnya biskut itu dibuat untuk dijual kepada pelanggan lama mama Anne yang menyambut perayaan Natal. Bau harum biskut bakar itu membuatkan saya teringat akan biskut "Famous Amos". Seluruh rumah Anne penuh dengan haruman mentega segar. Seronok juga membuat biskut bersama-sama, sambil membuat biskut..boleh juga bercerita.
Dan bukan itu sahaja tetapi kerana adanya Tomi, satu-satunya adik Anne yang berumur sebaya saya. Dia merupakan pemain bola sepak simpanan didaerah itu. Orangnya segak, tampan, tinggi dan berbadan olahragawan itu cukup mencairkan hati mana-mana perempuan. Tetapi kakaknya tidak tahu dan Halimah........begitu juga saya....
Setiap kali saya pergi ke rumah Anne, Tomi hanya melirik sekali sekala ke arah saya, dan tersenyum. Saya tidak mengendahkan dia. Anne adalah jiran dan rakan 'kamcing' saya, mana mungkin saya akan merosakkan persahabatan saya dengan menyintai Tomi dan sebaliknya. Mana mungkin! Saya tidak tahu akan perasaannya sehinggalah saya diberitahu oleh rakan baiknya, Nasir.
Saya juga berasa tidak selesa apabila seringkali bertemu dengannya ketika acara sukan MSS (Majlis Sukan Sekolah)di daerah kami. Ini adalah kerana saya juga adalah atlit di sekolah dan persaingan dalam acara sukan itu selalu diadakan di padang sekolah Tomi yang agak luas. Pening terus bila saya nampak kelibat Tomi. Maklumlah..lepas sekolah, tempat yang selalu saya lepak ialah dirumahnya. Parah!
Kadang-kadang saya ternampak ada seorang dua perempuan menghulurkan surat kepadanya..hehehe...zaman dulu-dulu, mana ada telefon bimbit? Zaman kami masa itu masih lagi zaman karang mengarang. Saya jarang bercakap dengan Tomi, begitu juga dia.
Tetapi pada suatu hari itu, saya diberitahu oleh Anne bahawa Tomi telah terlibat dalam satu kemalangan sewaktu dalam perjalanan untuk sesi latihan bola sepak. Dan apa yang paling menyedihkan saya sehingga ke hari ini ialah saya tidak berpeluang memulakan perbualan dengannya..walaupun sekali. Tomi tidak sempat diselamatkan.
Sedih juga saya apabila menulis akan ini...cerita lama tetapi banyak kenangan yang tersimpan di sanubari ini.
Sehingga hari ini, kakaknya tidak tahu, begitu juga Halimah...hanya saya yang tahu...
hanya saya..dan dia.....
Friday, September 16, 2011
Oppss...SIKAP! Salah kita!
Baru-baru ini kita sudah sedia maklum tentang Ops Sikap yang gagal kerana angka kematian kemalangan jalanraya melonjak begitu tinggi tahun ini. Dari awal lagi saya telah menjangkakan akan kegagalan ini kerana HAMPIR setiap hari, saya berdepan dengan masalah pemandu yang tidak berprihatin dan skil pemanduan yang membuat darah saya gemuruh! Saya tidak tahu samada kamu pernah berdepan dengan pemandu-pemandu sebegini tetapi inilah pengalaman yang terpaksa saya lalui hampir setiap hari!
Diantara kesalahan-kesalahan yang saya nampak setiap hari adalah:-
1) PUSINGAN U YANG TIDAK DIBENARKAN
Hari ini saya hampir berlanggar dengan kereta kancil yang membuat pusingan U yang tidak dibenarkan. Saya agak terkejut kerana dia cuba membelok dan memasuki jalan saya. Saya terus 'hon'...nasib baik saya pandai mengelak..kalau tidak....mungkin dia atau saya yang menjadi arwah!
2) BERHENTI DIMANA-MANA SAHAJA SESUKA HATI
Sewaktu saya memandu menuju ke Jalan Likas dari arah Damai, seorang wanita yang ingin mengambil anaknya dari sekolah berhenti di tengah-tengah jalan kerana tidak berjaya memasuki jalan had perlahan yang dipenuhi dengan kereta-kereta ibubapa yang sedia awal menunggu tamat sesi sekolah. Saya cukup hairan, bagaimana pemandu sebegini boleh lulus ujian pemanduan?
3) TIDAK MEMBERI "SIGNAL"
Ini merupakan satu masalah yang hampir setiap hari saya hadapi! Tidak payahlah bersusah payah bercerita mengenainya. Kin panas!
4) TIDAK PRIHATIN
Pemandu jenis inilah yang cukup saya anti! Bayangkanlah, anda yakin boleh membelok masuk ke sebuah jalan kecil, dari jauh semua kereta telahpun memperlahankan kereta masing-masing kecuali seorang inilah yang mempunyai sifat ego diri yang tinggi. Dia langsung tidak mahu memberi ruang dan memperlahankan kereta biarpun nampak anda ingin cuba memasuki jalan tersebut! Sifat ego "Ini jalan aku..kau tunggu' yang selalu membawa kecelakaan dan kesusahan kepada diri sendiri dan diri orang lain.
5) TIDAK MENGENDAHKAN HAD KELAJUAN
Saya telah bercerita mengenai masalah pemanduan di tempat kita kepada abang saya yang baru balik dari UK. Dia memberitahu saya, kalau di UK, kalau had laju 60km sejam, maka semuapun memandu dengan had kelajuan yang telah ditetapkan. Tidak adapun yang memotong, dan sekiranya kita mengangkat tangan kerana ingin melintas jalan, pemandu-pemandu di negara barat itu akan memberhentikan kereta mereka dan memberi laluan kepada pejalan kaki. Saya terus berasa pelik. Bingung setengah hari!! Kalau disini selain memandu begitu laju, ada pula yang 'merangkak"...di jalan laju pula tu!! What's wrong with us mannnnn???"
6) KECANGGIHAN TEKNOLOGI
Biasalah......
7)
8).....
9, 10, 11, 12, 13, 14, 15, 16........
Mengapa OPS SIKAP GAGAL? Hanya anda sahaja yang dapat menjawabnya!
Friday, July 29, 2011
DARI DIARI SEORANG GURU - Lada (Terakhir)
“Mulai hari ini, sesiapa sahaja yang didapati bertutur kata-kata yang ‘tidak elok’, namanya akan dicatat dan didenda makan lada padi!”
Sebenarnya, saya pun tidak tahu mengapa saya berani membuat pengumuman sebegitu .. tapi ide ini datang kepada saya apabila saya teringatkan kisah orang dulu-dulu dan cara mereka menandatangani masalah ini. Tidak tahulah samada kamu pernah mendengarnya atau tidak tapi pada zaman saya itu, apabila kita cakap perkataan-perkataan yang tidak baik, pasti akan didenda makan lada padi.
Pada hari itu, belumpun sampai dua jam, nama lapan orang pelajar telah dicatit dan diserahkan kepada saya. Tidak pula saya menjangka begitu cepat pula respon pelajar-pelajar dajal ini. Mereka seakan cuba mencabar saya. Mungkin juga mereka sangka saya hanya bercakap kosong sahaja dan hanya menakut-nakutkan pelajar sekolah. Siapa yang berani mengawal mereka?
“pengetua....saya bawa mereka kesini..” kata guru displin.
“nanti dulu...tunggu waktu rehat” jawab saya. Secara terus terang saya betul-betul mati akal kala itu. Bolehkah saya laksanakan apa yang saya kata? Susah pula hati saya kerana yang akan didenda ini anak orang, bukan anak sendiri.
Setibanya waktu rehat, saya telah berdepan dengan lapan orang pelajar yang terkenal dengan kedajalannya itu. Saya berkata kepada mereka :-
“Bukankah sewaktu perhimpunan pagi tadi saya telah memberikan amaran, sesiapa sahaja yang tutur kata-kata yang tidak baik akan didenda makan lada padi?”
“ya cikgu..” kata mereka.
“Jadi kamu tahukan sekarang..sebagai denda, kamu terpaksa makan lada padi?” kata saya
“tidak mahu" jawab mereka dengan angkuh.
“..jadi kamu semua tidak mahu makan lada padilah?’
“ya!”
“okey....kamu semua ada telefon di rumahkan?” tanya saya lagi.
Mereka semua menganggukkan kepala.
“okey...kamu semua beratur dan telefon bapa atau mak kamu, suruh mereka datang ke sekolah sekarang juga!”..saya mahu kamu sebutkan semula perkataan ‘tidak baik’ yang dicatit oleh cikgu depan bapa atau mak kamu. .Sekiranya bapa kamu kata “Bagus anak aku!”, maka kamu dan bapa kamu boleh keluar dari sini”. Begitu juga kamu, kamu, kamu dan kamu semua!” kata saya sambil menuding jari kearah mereka.
Saya berkata lagi “dan sekiranya, bapa kamu menjawab “..huh...kenapa kau cakap begitu ..” maka bapa kamulah yang akan memberikan kamu makan lada padi!“
Kemudian sayapun memerhatikan mereka satu persatu yang kelihatan agak bingung lantas bertanyakan lagi “Jadi?”
“kami makan lada padi cikgu” kata mereka, tertewas dengan perangkap sendiri.
Kesanggupan mereka didenda itu membuat saya terdiam seketika. Alahai....apa pula yang patut saya buat sekarang? Ini anak orang..bolehkah saya berikan mereka makan lada padi? Dan dimana pula saya dapat cari lada padi sekarang?..banyak benar persoalan yang bermain di minda saya masa itu.
Saya mati akal lagi.
“Ni pengetua...lada padi” kata seorang cikgu dan membawakan kotak kecil yang berisi lada itu. Cikgu-cikgu lain yang hadir, memberikan lapan pelajar itu lada padi setiap seorang. Pada masa itu ramai pelajar mengerumi kami dan menyaksikan peristiwa itu.
Belum lagi sempat kelapan-lapan pelajar itu memasukkan lada padi kemulut mereka ..saya berkata lagi “eehhhh...tunggu...tunggu...”
Saya pun berpaling kearah mereka yang datang dan bertanyakan kepada mereka dengan suara yang lantang ..
“Adakah saya memaksa mereka ambil lada padi?”
“TIDAK CIKGU!!”
“mereka ambil dengan sendirikan..?
“YA CIKGU!!”
“Jadi...ini bermakna mereka suka makan lada padi kan?”
“YA CIKGU!!”
Saya menoleh kearah lapan pelajar itu sekarang dan berkata “kamu semua boleh makan lada padi sekarang, gigit dan kunyah..jangan telan!”
Apalagi, sebaik sahaja mereka mengunyah lada yang sedia terkenal dengan kepedasannya itu maka pelajar-pelajar itupun ber’Huaa...” Huiisss” ...Shiisuihh..” kerana kepedasan dan ada yang sehingga mengalirkan airmata.
“Cikgu.. air...air....” kata mereka.
“nanti dulu.......enjoyyy...” kata saya tersenyum kambing. Rasa kesian pun ada. Pelajar-pelajar yang lain terpaku memerhatikan perkara yang terjadi di hadapan mereka. Buat pertama kalinya..dan untuk sekian lamanya, sungguh tidak terduga!
Terus terang saya katakan, saya amat bersyukur dengan kejadian pada tahun itu. Saya tidak menjangkakan peristiwa itu telah merubah situasi ‘persekitaran’ ...dari sebuah sekolah yang terkenal dengan kedajalannya, kini menjadi sebuah sekolah yang terbaik di kawasan itu.
Mana mungkin kita tahu... disebalik cabaran semua ini ..ada ‘keindahannya’?
T.A.M.A.T
(Specially dedicated to all teachers out there...and teachers who had taught me....about life, about kindness, about being strong and take courage, THANK YOU!..Jasamu dikenang! Thank you all for reading this blog. Have a wonderful weekend-cerita ini adalah cerita yang disampaikan melalui sebuah pita hadiah seorang sahabat kepada saya. Harap Maklum)