Friday, July 29, 2011

DARI DIARI SEORANG GURU - Lada (Terakhir)

“Mulai hari ini, sesiapa sahaja yang didapati bertutur kata-kata yang ‘tidak elok’, namanya akan dicatat dan didenda makan lada padi!”

Sebenarnya, saya pun tidak tahu mengapa saya berani membuat pengumuman sebegitu .. tapi ide ini datang kepada saya apabila saya teringatkan kisah orang dulu-dulu dan cara mereka menandatangani masalah ini. Tidak tahulah samada kamu pernah mendengarnya atau tidak tapi pada zaman saya itu, apabila kita cakap perkataan-perkataan yang tidak baik, pasti akan didenda makan lada padi.

Pada hari itu, belumpun sampai dua jam, nama lapan orang pelajar telah dicatit dan diserahkan kepada saya. Tidak pula saya menjangka begitu cepat pula respon pelajar-pelajar dajal ini. Mereka seakan cuba mencabar saya. Mungkin juga mereka sangka saya hanya bercakap kosong sahaja dan hanya menakut-nakutkan pelajar sekolah. Siapa yang berani mengawal mereka?

“pengetua....saya bawa mereka kesini..” kata guru displin.

“nanti dulu...tunggu waktu rehat” jawab saya. Secara terus terang saya betul-betul mati akal kala itu. Bolehkah saya laksanakan apa yang saya kata? Susah pula hati saya kerana yang akan didenda ini anak orang, bukan anak sendiri.

Setibanya waktu rehat, saya telah berdepan dengan lapan orang pelajar yang terkenal dengan kedajalannya itu. Saya berkata kepada mereka :-

“Bukankah sewaktu perhimpunan pagi tadi saya telah memberikan amaran, sesiapa sahaja yang tutur kata-kata yang tidak baik akan didenda makan lada padi?”

“ya cikgu..” kata mereka.

“Jadi kamu tahukan sekarang..sebagai denda, kamu terpaksa makan lada padi?” kata saya

“tidak mahu" jawab mereka dengan angkuh.

“..jadi kamu semua tidak mahu makan lada padilah?’

“ya!”

“okey....kamu semua ada telefon di rumahkan?” tanya saya lagi.

Mereka semua menganggukkan kepala.

“okey...kamu semua beratur dan telefon bapa atau mak kamu, suruh mereka datang ke sekolah sekarang juga!”..saya mahu kamu sebutkan semula perkataan ‘tidak baik’ yang dicatit oleh cikgu depan bapa atau mak kamu. .Sekiranya bapa kamu kata “Bagus anak aku!”, maka kamu dan bapa kamu boleh keluar dari sini”. Begitu juga kamu, kamu, kamu dan kamu semua!” kata saya sambil menuding jari kearah mereka.

Saya berkata lagi “dan sekiranya, bapa kamu menjawab “..huh...kenapa kau cakap begitu ..” maka bapa kamulah yang akan memberikan kamu makan lada padi!“

Kemudian sayapun memerhatikan mereka satu persatu yang kelihatan agak bingung lantas bertanyakan lagi “Jadi?”

“kami makan lada padi cikgu” kata mereka, tertewas dengan perangkap sendiri.

Kesanggupan mereka didenda itu membuat saya terdiam seketika. Alahai....apa pula yang patut saya buat sekarang? Ini anak orang..bolehkah saya berikan mereka makan lada padi? Dan dimana pula saya dapat cari lada padi sekarang?..banyak benar persoalan yang bermain di minda saya masa itu.

Saya mati akal lagi.

“Ni pengetua...lada padi” kata seorang cikgu dan membawakan kotak kecil yang berisi lada itu. Cikgu-cikgu lain yang hadir, memberikan lapan pelajar itu lada padi setiap seorang. Pada masa itu ramai pelajar mengerumi kami dan menyaksikan peristiwa itu.

Belum lagi sempat kelapan-lapan pelajar itu memasukkan lada padi kemulut mereka ..saya berkata lagi “eehhhh...tunggu...tunggu...”

Saya pun berpaling kearah mereka yang datang dan bertanyakan kepada mereka dengan suara yang lantang ..

“Adakah saya memaksa mereka ambil lada padi?”

“TIDAK CIKGU!!”

“mereka ambil dengan sendirikan..?

“YA CIKGU!!”

“Jadi...ini bermakna mereka suka makan lada padi kan?”

“YA CIKGU!!”

Saya menoleh kearah lapan pelajar itu sekarang dan berkata “kamu semua boleh makan lada padi sekarang, gigit dan kunyah..jangan telan!”

Apalagi, sebaik sahaja mereka mengunyah lada yang sedia terkenal dengan kepedasannya itu maka pelajar-pelajar itupun ber’Huaa...” Huiisss” ...Shiisuihh..” kerana kepedasan dan ada yang sehingga mengalirkan airmata.

“Cikgu.. air...air....” kata mereka.

“nanti dulu.......enjoyyy...” kata saya tersenyum kambing. Rasa kesian pun ada. Pelajar-pelajar yang lain terpaku memerhatikan perkara yang terjadi di hadapan mereka. Buat pertama kalinya..dan untuk sekian lamanya, sungguh tidak terduga!

Terus terang saya katakan, saya amat bersyukur dengan kejadian pada tahun itu. Saya tidak menjangkakan peristiwa itu telah merubah situasi ‘persekitaran’ ...dari sebuah sekolah yang terkenal dengan kedajalannya, kini menjadi sebuah sekolah yang terbaik di kawasan itu.

Mana mungkin kita tahu... disebalik cabaran semua ini ..ada ‘keindahannya’?

T.A.M.A.T

(Specially dedicated to all teachers out there...and teachers who had taught me....about life, about kindness, about being strong and take courage, THANK YOU!..Jasamu dikenang! Thank you all for reading this blog. Have a wonderful weekend-cerita ini adalah cerita yang disampaikan melalui sebuah pita hadiah seorang sahabat kepada saya. Harap Maklum)

Monday, July 25, 2011

DARI DIARI SEORANG GURU - Lada (Bah 2)

(Pelajar itu datang dari sekolah dimana pembelajarannya adalah dalam bahasa Cina. Jadi mereka yang datang ke sekolah menengah biasanya lemah penguasaan dalam bahasa lain selain dari bahasa ibunda yang telah dipelajarinya. Oleh kerana itu, pelajar-pelajar ini ditempatkan ke kelas peralihan selama setahun sebelum masuk ke tingkatan satu.)

“Kenapa dengan murid ini? Sila bawa dia berjumpa dengan saya..”

“Susah betul pelajar ini pengetua...dia datang sekejap sahaja,.. lepas itu entah kemana dia menghilang..langsung .tidak nampak kelibatnya..”

“..ada kamu memberitahu keluarganya..?”

“dah telefon, tapi setiap kali saya hubungi mereka, mereka hanya menjawab iya iya sahaja..tapi tidak pula berbuat apa-apa dengan keadaan itu..”..

“Baiklah, jika dia hadir ke kelas, bawa dia berjumpa dengan saya..” tambah saya lagi.

Jadi pada suatu hari itu, maka cikgu kelas membawanya berjumpa dengan saya. Budak yang berbadan kecil itu kelihatan sedikit gementar, mungkin takut kerana terpaksa berdepan dengan saya. Saya telah mengajukan beberapa soalan kepadanya dalam bahasa Inggeris tetapi dia gagal memahami soalan saya.

Biarpun saya berbangsa Cina tetapi saya tidak mahu berkomunikasi dengannya dalam bahasa ibunda kerana saya berpendapat adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang guru, menolongnya menguasai bahasa-bahasa lain selain dari bahasa yang pernah dipelajarinya di sekolah jenis kebangsaan Cina.

Jadi, sayapun bertanyakan lagi kepadanya dalam Bahasa Melayu.

”Keluarga?...Keluarga brapa?’..

“haaa..haa...haa....’ kali ini dia faham dan menunjukkan reaksi empat jari kepada saya.

Maka saya pun terus bertanyakan kepadanya lagi sambil memperlihatkan jari demi jari mengikut susunan.

”ini sapa?’

“ini saya punya bapak’

“Ini sapa?’

“Ini besar abang...

“Ini sapa?” tanya saya lagi

“Ini saya”

“Ini sapa?”

“Ini kecik punya adik..” katanya.

Saya memandangnya kehairanan dan bertanyakan kepadanya ... “Mak mana..?”..”mana mak?”
Sebaik sahaja saya bertanyakan perihal ibunya, dia langsung menangis. “Mak sudah mati..”

Terdiam saya sejenak kerana agak terperanjat. Jawapan yang tidak terduga itu bagaikan sentapan kuat di hati ini. Saya tidak dapat menggambarkan kesunyian yang dilaluinya, kesengsaraan yang dihadapinya dan malam yang mungkin terasa begitu sunyi dan panjang.

Tiada sepatah perkataanpun yang dapat saya ucapkan saat itu dan tiada pula perkataan yang boleh saya gambarkan tentang kesedihannya. Saya mendakapnya dan waktu itu terasa begitu payah dan sukar saya lalui. Anak itu menangis dan menangis dan terus menangis di atas bahu saya..tangisan yang akan menghancurkan hati sesiapapun yang mendengarnya.

Apa yang paling menyedihkan saya pada hari ini adalah kerana saya tidak sempat ‘mencorakkan’ hidupnya dengan baik. Sebagai seorang pengajar, saya rasa telah gagal melakukan sesuatu untuk menolongnya. Bagi saya, anak-anak bagaikan simen basah, para gurulah yang berpeluang mencorakkan ‘simen’ dalam hidup mereka. Tetapi saya telah gagal berbuat begitu kerana sejak kejadian pagi itu, dia tidak pernah lagi hadir kesekolah. Dan kehilangannya adalah satu kehilangan yang amat besar bagi saya. Sudah lebih dari 30 tahun perkara ini berlalu...dan perkara ini telah banyak mengubah persepsi saya tentang bidang perguruan.

Dan cabaran ini tidak berakhir disini sahaja dan sesungguhnya bukan mudah bagi saya sebagai seorang pengetua sekolah yang baru pada masa itu mengendalikan sebuah sekolah yang dianggap paling terkenal dengan kedajalannya.

Rata-rata bahasa yang digunakan oleh pelajar-pelajar di sekolah itu adalah bahasa-bahasa kesat, kasar dan bermacam-macam perkataan yang ‘berwarna-warni ‘ dan sukar digambarkan. Saya pun tidak tahu apa yang harus dibuat sehinggalah pada suatu hari semasa sesi perhimpunan sekolah, dan dihadapan semua guru-guru dan pelajar-pelajar disekolah itu, saya telah membuat satu pengumuman .........

BERSAMBUNG (Bahagian terakhir)

Friday, July 22, 2011

DARI DIARI SEORANG GURU - Lada (Bah 1)

(Seringkali sahaja kita dipaparkan dengan cerita-cerita yang tidak begitu sedap didengar sejak kebelakangan ini berkenaan dengan profession perguruan. Iyalah..bak kata orang ‘nila setitik..rosak susu sebelanga’. Jadi hari ini saya akan memaparkan sebuah kisah benar yang disampaikan oleh seorang bekas pengetua yang pernah mengajar disebuah sekolah menengah di Semenanjung. Cerita ini disampaikan melalui pita yang dihadiahkan oleh seorang sahabat kepada saya baru-baru ini. Setelah mendengarnya, saya berpendapat cerita ceritanya harus diketengahkan supaya kita sedar, tanpa mereka yang bernama guru...kita bukanlah sesiapa hari ini. Saya juga mengalu-alukan pendapat dan komentari dari pihak guru yang singgah membaca di blog ini. Salam Sejahtera)

Dulu, sewaktu saya dihantar mengajar kesebuah sekolah yang baru, saya tidak sangka saya dihantar mengajar disebuah kelas yang begitu dajal. Pengetua sekolah hanya memberitahu
“ kamu mengajar kelas XX.......kelas yang bagus..’' katanya dengan tegas.

Apabila rakan-rakan seperjuangan menanyakan kepada saya, “ cikgu ajar kelas apa?”
Saya pun memberitahu mereka kelas yang dikatakan “bagus’ oleh pengetua.
“Huh...kelas itu....susah kelas tu....banyak masalah...”
“..tapi ..pengetua cakap kelas bagus.....”
kata saya kehairanan.

Apabila saya melangkah masuk ke kelas itu, ternyata kelas itu adalah seperti yang digambarkan. Bagi sayalah, sekiranya semua orang beranggapan sukar untuk mengendalikan sesuatu yang bermasalah, bagaimana pula kita dapat menolong mereka? Saya menganggap semua ini sebagai satu cabaran yang perlu saya tempuhi.

Kadang-kadang kita hanya melihat dari sudut perspektif kita. Kadang-kadang kita tidak sedar, anak-anak yang datang belajar ini mungkin datang dengan hati yang terluka, yang mempunyai seribu-satu masalah yang lama tersembunyi dan sukar diceritakan kepada sesiapapun. Begitu juga saya, hanya manusia biasa dan ada tahap kesabarannya. Saya masih ingat kejadian 30tahun yang lalu.

Saya telah melakukan kesilapan. Saya tidak dapat menahan kesabaran dengan tingkah laku Siva(bukan nama sebenar) yang begitu dajal dan menyakitkan hati. Tangan saya terlepas. Siva tidak berkata apa-apa, langsung duduk diam di tempatnya. Kemudian pada masa waktu rehat dua orang pelajar lain datang kepada saya dan memberitahu..”Cikgu, bukan Siva yang buat...”..”bukan dia cikgu”..kata mereka. “Aaahh..peduli” kata saya didalam hati yang ego.

Tapi malam itu, saya tidak dapat tidur. Perkataan itu “Bukan dia...bukan dia...bukan dia..” datang menerjah dalam minda saya. Bukan kepalang menyesal saya rasa. Malulah saya sebagai seorang guru meminta maaf, jatuhlah airmuka saya. Tetapi perkataan itu bagaikan terngiang-ngiang di cuping telinga “bukan dia..bukan dia...bukan dia..”

Keesokkan paginya saya juga telah meminta nasihat daripada beberapa rakan sekerja. Kata mereka ”..aaaa....budak tu...peduli dia...tak makan nasihat langsung...degil...menyusahkan orang” lupakanlah semua tu cikgu..."

Tetapi hari itu, setelah berfikir panjang, saya rasa saya patut melakukan apa yang betul. Saya benar-benar malu tetapi saya telah melakukan kesilapan. Setiap langkah kaki saya ke kelas Siva bagaikan langkahan orang yang mati. Sekali jalan..sekali itulah jiwa saya mati. Hari itu juga terasa amat panjang...

Setelah saya sampai ke kelas Siva, saya memanggilnya..”Siva...mari sini...”
“oh..no ..no ...”
katanya gentar.
“Mari sini...”
Siva pun mampir dan saya pun memegang tangannya. Saya memberitahu pelajar di kelas “Cikgu telah melakukan kesalahan terhadap Siva semalam.. oleh itu Cikgu ingin meminta maaf dengan Siva.

Siva...saya minta maaf kerana menampar kamu..apa yang saya buat semalam adalah salah..saya benar-benar menyesal...maafkan cikgu..’ kata saya memandangnya.

“eeh cikgu....okay cikgu...okay..okay..” kata Siva langsung lari kearah tempat duduknya.

Semua pelajar hanya terdiam. Mereka memandang kearah saya. Hati saya penuh dengan penyesalan. Tetapi selepas satu minggu, kelas itu bukan lagi kelas yang sedia kenal dengan kedajalannya. Kelas yang tidak disenangi guru-guru lain...kelas yang dianggap “tiada harapan”..kini sudah bertukar arah.

“Apa yang cikgu dah buat dengan mereka...baik benar sekarang..” kata rakan-rakan seperjuangan saya yang lain.

Saya tidak menjawab soalan mereka dan saya rasa tidak perlu menjawab soalan mereka. Hanya saya dan pelajar-pelajar dikelas itu sahaja yang tahu. Siva juga telah berkelakuan baik sejak hari itu.

Selepas saya ditukarkan ke sebuah sekolah yang lain pula sebagai pengetua, saya tidak menjangka akan berhadapan dengan seorang pelajar yang lain yang telah membuat saya berfikir sekaligus menyedarkan saya betapa pentingnya profession ini...

Pelajar tahun tingkatan satu kelas peralihan yang telah membuat saya menangis setiap kali mengenangkannya....

bersambung....