Wednesday, September 8, 2010

July 16, 1990 - Sebuah Kisah Benar (Bah 2)

..."Mama.." ...airmata saya semakin deras mengalir. "Saya tidak jumpa adik..''..."Saya tidak jumpa adik.."

"Dia sudah mati.." ..Dia sudah mati..' kata mama sambil meratap kuat.

Kami hanya mampu berpelukan dan meratap nasib malang yang menimpa kami. Mama kehilangan seorang anak, dan saya seorang adik. Gegaran yang kuat membuatkan saya terlepas genggaman dengan adik yang berbadan kecil itu. Kegagalan menjaga adik dengan baik membuatkan saya tidak dapat memaafkan diri ini..dan kesengsaraan ini begitu sukar untuk dilalui. Cukup pedih saya rasa. Mengapa adik harus mati...mengapa tidak saya...

.......................................

Sebak terus saya rasa apabila rakan filipina saya ini menceritakan kisahnya kepada saya beberapa minggu yang lalu. Dari matanya, saya nampak akan kesengsaraan itu...dan kesedihan yang maha. Saya nampak dia menahan tangisan dari mengalir ke pipinya yang gebu. Saya menyentuh tangannya..

Tidak dapat saya bayangkan betapa sukarnya untuk perempuan yang berumur awal 30an itu melalui tragedi seperti ini. Mana mungkin dia dapat melupakan kejadian sebegitu.

"Kamu sangat bernasib baik" katanya kepada saya. "..tempat yang kamu tinggal ini tidak ada musibah sebegini.."

Saya hanya mampu mengangguk - anggukkan kepala tanda setuju biarpun pernah suatu ketika, empat belas tahun yang lalu, kejadian angin kuat 'Greg' pernah melanda ditempat kita. Kita juga tahu banyak kerosakan harta benda dan nyawa terkorban waktu itu. Terumbu-terumbu karang yang cantik di kepulauan Tunku Abdul Rahman juga banyak yang musnah dan rosak akibat fenomena itu.

Seperkara lagi, sebelum saya mengakhiri cerita ini, Grace memberitahu saya bahawa adik dan dua sahabatnya, sebenarnya terselamat dari bencana alam itu. Biarpun cedera, mereka dirawat dan pulih sepenuhnya beberapa minggu kemudian.

Bandar Baguio yang rosak teruk akibat gempa bumi itu telahpun di bangunkan semula tahun demi tahun secara berperingkat..dan adik lelakinya dan sahabat-sahabat Grace masih lagi bermaustatin di Filipina sehingga ke hari ini.

sekian.......

Monday, September 6, 2010

July 16, 1990 - Sebuah Kisah Benar (Bah 1)

Saya masih ingat, 16hb Julai, tahun itu, di Bandar Bagio, Philipina, saya, adik dan dua orang sahabat telah pergi menonton wayang. Kami membeli empat tiket di barisan tempat duduk ekonomi untuk menonton 'Magunaw Man Ang Mundo'.

Baru sahaja beberapa minit melabuhkan punggung di kerusi panggung itu, tetiba kedengaran bunyi yang cukup kuat..membingitkan dan seolah-olah menuju kearah kami semua dan kemudian dengan gegaran yang kuat dan ....segalanya malap.

Saya terus kebingungan. Selepas itu kedengaran pula suara orang menjerit-jerit..jeritan yang menakutkan dan dahsyat..dan dalam cahaya yang samar-samar itu, saya nampak orang yang duduk di bahagian atas tingkat satu yang condong sekarang, terjatuh ke lantai paras kami.

Ramai yang menangis dan meraung-raung. Saya juga menangis...anda tidak dapat membayangkan betapa takutnya perasaan saya ketika itu. Saya menangis teresak-esak. Adik dan sahabat-sahabat saya entah dimana.

Kawasan panggung yang sesak dan debu konkrit yang tebal membuat saya begitu sukar untuk bernafas. Kemudian saya terdengar suara orang menjerit kuat " jangan panik, jangan tolak...kalau kita bertolak-tolakan..kita semua akan mati.." katanya berulang-ulang kali.

Selepas berjaya berjalan keluar dari panggung wayang itu, saya amat terperanjat kerana kawasan di luar penuh dengan asap runtuhan bangunan. Mayat pula bergelimpangan. Saya seakan tidak tahu apa erti takut lagi...saya berjalan bagaikan mayat yang hidup. Di saat itu saya juga tidak tahu samada saya masih hidup atau telah mati..dan tempat itu kelihatan begitu dahsyat dengan mayat bergelimpangan disini sana dan darah......

Baru saya sedar bahawa tempat tanah tumpah darah saya ini telah dilanda gempa bumi yang dahsyat. Dengan gencangan sekuat 7.5 skala richter, bangunan-bangunan yang terdapat di tempat kami ini bagaikan kotak mancis yang telah dipijak ranap. Segalanya telah musnah dalam sekelip mata sahaja.

Saya berjalan pulang. Hari itu saya rasakan masa berlalu begitu panjang. Saya meratap sepanjang jalan...sekejap teresak...sekejap mengelap airmata di baju saya yang berlumuran darah. Saya menangis lagi apabila mengenangkan nasib adik dan dua sahabat saya yang entahkan hidup ataupun mati di kala itu.

Saya rasa itulah kali pertama saya menangis sepanjang jalan dan seolah-olah musibah yang menimpa ini tiada berpenghujung. Dimana-mana sahaja kedengaran orang meraung dan meratap kuat...Yang tidak pernah mengenali Tuhan pun sujud di lantai debu, memandang ke langit dan menangis.

Setibanya saya sampai ke jalan menuju ke rumah papan keluarga kami, saya nampak mama sedang duduk di bawah sepohon pokok.
Saya berkata kepadanya.......


..........bersambung....

Wednesday, September 1, 2010

Masih bernilaikah kenangan ini?

Kadang-kala saya pergi ke pasar besar Kota Kinabalu. Ramai orang berjualan..bermacam - macam gaya peniaga yang pernah saya temui dan kenali secara spontan tetapi ada seorang pakcik tua berbangsa melayu yang seringkali mendapat perhatian saya.

Pakcik itu mengingatkan saya kepada atuk. (entri ..Atuk, tapi bukan datuk saya!) Saya nampak sikap 'kekitaan' yang sama pada atuk dan ada pula dalam dirinya.

Pertama kali saya singgah di kedainya...dia berkata .."nak....cari apa nak..?" katanya lembut kepada saya. Dan pada hari-hari seterusnya, segalanya menjadi sejarah. Selalu sahaja saya akan singgah di gerainya biarpun cuma membeli seringgit dua bahan darinya.

"pakcik...." kata saya kepadanya yang sedang membongkok dan menyusun sayur-sayur kampung untuk dijual. Di kepalanya ada memakai songkok.

"..ya nak(anak) ?" katanya penuh santun.

" Saya beli dua ikat daun pisang aa..." kata saya sambil mengambil daun pisang yang ada di dalam karung plastik itu lantas menghulurkan dua ringgit kepadanya.

Sebenarnya, banyak gerai yang menjual bahan yang saya perlukan tetapi setiap kali saya ke pasar, dialah yang saya cari dahulu...biarpun terpaksa berjalan agak jauh untuk sampai ke gerainya tetapi saya tidak kisah kerana saya senang hati dengan layanannya yang ramah dan kata-katanya yang tidak membezakan akan dia dan saya.

Zaman berubah begitu cepat sekali. Dulu, iklan-iklan yang menonjolkan 'kekitaan' seringkali terpampang di televisyen. Saya masih ingat iklan dua sahabat zaman kanak-kanak yang berbeza agama bertemu semula sebagai jiran sebelah rumah...

Saya masih ingat, perempuan melayu itu memanggil sahabatnya yang bersari, "kakak" semasa mereka bersama-sama memasak kari di dapur...

Saya masih ingat, cerita Kak Uda tentang kisah Pati (nenek) - (Dari Diari Seorang Polis - Kasihnya pati...)

Saya masih ingat, sewaktu bangku sekolah rendah kami memujuk Siti yang menangis apabila jualan nasi lemaknya di ketahui pihak kantin sekolah...

Saya masih ingat akan Yatie yang terlantar sakit di hospital dan bukan main kepalang gembiranya apabila melihat kami membawakannya majalah hiburan dan mainan...

Saya masih ingat betapa kami menghalau monyet-monyet liar yang datang mencuri di kelas kami.....dan bermain bersama-sama di bawah pokok sena yang tua..dan menyelitkan kad-kad ucapan sambutan perayaan di celah-celah buku latihan ... dan hadiah harijadi yang tidak seberapa...dan...dan...dan...

Saya masih ingat akan itu....