Friday, May 14, 2010

Kisah TIDAK BENAR...

Pagi itu, saya tiba agak lewat ke pejabat. Walaupun kereta Ferrari yang saya pandu agak laju...saya tetap lewat tiba. Maklumlah, jalan-jalan di Kota Kinabalu semakin sesak setiap hari...Terutama jalan dari Jalan Penampang kearah pusat bandar Kota-Kinabalu.

(Kereta Ferrari yang saya beli baru-baru ini selepas memenangi hadiah berupa beberapa juta USD seperti yang dimaklumkan oleh pesanan emel..hehehe...)

Setibanya saya di pejabat, saya ternampak jambangan bunga ini di atas meja. Hati saya terus berdebar-debar .."gerangan siapakah yang memberikan jambangan bunga ini...?"..hehehe maklumlah, zaman IT sekarang, jarang sudah ada lelaki yang begitu romantik..paling-paling pun hantar kad ucapan via emel..

(Bunga yang saya terima pagi itu.....)

Rupa-rupanya bukan jambangan bunga yang cantik itu sahaja tetapi di tepinya ada pula sebuah bungkusan lain dan sekeping surat.


Kali ini, hati saya mulai tidak keruan. Saya membukanya perlahan-lahan dan penuh teliti..hmmm...Didalam bungkusan itu ada sehelai baju gaun berwarna biru yang cantik dan sebotol minyak wangi berjenama NinaRicci yang tersimpan cantik didalam sebuah kotak yang kecil.

..dan di dalam sampul surat itu terkandung sekeping tiket penerbangan ke Kota Singa.



..dan juga jemputan kad ini yang mengatakan:-

'Dear Ms 'Honeybuzz', I would be very happy if you would honour me with your lovely presence to a dinner date. Date: May 22nd, 2010. Venue: Singapore Raffles Hotel
Time 7.15PM. Dress formal. Attached a same day return Air Ticket, last flight 11.00pm.

'Honeybuzz...I have selected the enclosed evening cocktail dress specially for you. As well a L'air du tempe, Nina Ricci perfume to go with it.

The above with my compliments. In anticipation, As Always, Lee.

"Ohhh.....rupa-rupanya Uncle Lee, blogger yang saya kenali di blog ini..http://moonlightnightsstarryskies.blogspot.com/

Dia rupanya....! wahhh....saya cukup teruja! (hahaha......)

Dipendekkan cerita yang panjang, (hehe) pada hari yang ditetapkan saya telah menemuinya dan memakai baju gaun yang bergemerlipan itu. Terasa pula bagaikan seorang artis Hollywood yang sedang menempa nama.

Saya membawa sekali pembantu peribadi saya, Mr Bad Pitt untuk menemuinya malam itu. Lee sudah sedia menyambut saya dengan memakai pakaian Tudexo berwarna kelabu dan memegang sekuntum bunga mawar yang cantik. Wow.....saya memang sedang bermimpi.

"Honey.." katanya sambil mengambil tangan kanan saya sambil menciumnya lembut. Kalaulah saya sebatang lilin, saya mungkin akan cair terus...sentuhan itu lebih panas dari api dapur gas.
Dia juga menjeling-jeling kearah pembantu peribadi saya yang sememangnya agak kacak. Dari reaksinya itu, saya dapat merasakan betapa Lee tidak begitu selesa dengan kehadiran Bad Pitt, pembantu peribadi saya yang kacak dan macho itu. Untuk pengetahuan semua, saya telah mengupah pembantu peribadi saya itu selepas memenangi hadiah wang yang berjuta itu..maklumlah...dunia semakin kejam...susah juga 'low profile' kalau sudah kaya-raya)




(Mr Bad Pitt)

..dan maaf ya, saya tidak berhasrat untuk memaparkan gambarnya begitu besar, manalah tahu, ada pula yang jatuh hati kepadanya. Lebih parah lagi kalau sampai mandi pun tak basah....

Secara terus terang malam itu, pada mulanya saya agak hairan juga mengapa meja-meja lain kosong belaka, rupa-rupanya Lee telah sedia menempah seluruh 'ballroom' itu untuk kami berdua. Dan selepas makan, dia mempelawa saya untuk menari pula. Malam itu Lee tidak nampak dua bulan, Lee hanya perasan dua biji mata kepunyaan Mr Bad Pitt sedang mengawasi pergerakkannya. (Hahaha)

Lee yang kelihatan cukup segak malam itu, seakan tidak dapat melepaskan pandangannya dari saya. Saya hanya melirik kearahnya sekali sekala.... Banyak juga persoalan yang bermain di fikiran saya....seperti..hmmmm......

Malam yang indah itu terasa begitu cepat berlalu apabila saya diberikan tanda isyarat tangan oleh Mr Bad Pitt bahawa masa tidak begitu mengizinkan lagi untuk terus berada disana. Penerbangan saya adalah pada pukul 11 malam.

Lee, sememangnya seorang budiawan telah menghantar saya ke pintu kereta 'Limousine' sewa saya malam itu dan memberitahu saya betapa dia begitu teruja mengenali saya.

Lee,
Saya sungguh gembira bertemu dengan saudara. Terimakasih kerana melayan saya bagaikan seorang puteri malam itu. Saya berharap kita akan terus menjadi sahabat yang baik. Akhir kata, salam sayang dari saya.

-Honeybuzz.

(Hehehe..)

Tuesday, May 11, 2010

Saya dan H1N1...

Minggu ini adalah minggu yang ketiga saya berasa kurang sihat. Musim batuk-batuk dan bersin! Sudah dua kali saya menemui doktor itu.

"hmmm...tekak dalaman kelihatan merah ya..." "Cuba batuk sekejap...hmmm....tarik nafas...hembus nafas...." dan si doktor kita pun mencatat sesuatu di sekeping kertas.
Selepas itu dia pun memeriksa telinga saya, hidung saya yang basah dan ...ahhh...iyalah...tanda-tanda orang sakit. (Kalau tidak sakit buat apa pi jumpa doktor kan?)

"ubat ini...ambil 2 kali sehari selepas makan....yang ini, bila perlu sahaja dan beberapa ayat 'rewind' yang biasa kita dengar dimana-mana klinik.

"Semuanya RM150.00..." kata misi yang tersenyum panjang itu. Teringat pula lagu iklan tu..."Senyum seindah suria..membawa cahaya..."
Saya menjeling-jeling juga kearah ubat-ubatan itu..hmmm...doktor bagi ubat yang mahal! Tidak apalah, bisik hati saya.

Kelmarin, saya terpaksa pergi 'review' lagi. Saya hairan benar, mengapa saya masih tidak sihat.
Ubat pun hampir habis saya makan tetapi saya masih juga tidak sihat.

"Saya dijangkiti H1N1 ka Doktor?" tanya saya sedikit risau.

"Ohh..tidaklah...." lepas itu dia pun memulakan sekali lagi 'rewinding episode' minggu sebelumnya. Diperiksa ini dan itu....dan dia mengatakan ini kepada saya "...kamu demam ya..."
Seperti biasa saya cuma mengangguk-anggukkan kepala seperti seorang pelajar darjah satu yang mendengar dengan teliti penjelasan cikgunya.

Bila saya berada didalam kereta, Hannah bertanyakan kepada saya..." Jadi....?"

"..doktor cakap demam..."

"..Tidak tanya napa tidak baik...?' kata Hannah, rakan sekolej saya dari semenanjung.

"..dia tukar antibiotik lain.." kata saya tidak berpuas hati.

"Kau cuba tengok muka aku betul-betul...." kata saya.

"Napa?....

"Kau tengok jer..." kata saya mendengus macam karabau (kerbau)Tamparuli...

"Nothing arr...." kata Hannah

"Dia 'charge' aku RM170.00 kali ni..".. Pasal batuk-batuk, sakit tekak dan demam...sengsara poket aku tau!" kata saya meradang. "Muka aku ni ada cap Bank Negara ka?"

Hannah cuma tersenyum panjang......

(Napa p klinik mahal betul arrr...? Bukan tidak mao pi klinik/hospital kerajaan..kadang-kadang beratur ambil nombor pun lama betul ooo....kalau ada kecemasan..apa macam itu arr...hmmm..)

Sunday, May 9, 2010

Bila hati berkata.....

Ketenangan alam.....

Sudah beberapa ketika saya tidak menegurnya. Saya berasa cukup malas melayan karenah orang yang suka berprasangka buruk, irihati dan dengki.

Tapi hari ini, dia telah meminta maaf dengan saya.

"Tunggu dulu..." katanya kepada saya.

"..napa? kata saya memandangnya penuh tanda tanya.

"Selamat Hari Jadi" (5.5.2010) katanya sambil menghulurkan bungkusan kecil berupa hadiah kepada saya.
"Saya minta maaf" katanya. Saya nampak keikhlasan dalam nadanya.

Saya tidak perlu berkata-kata lagi. Saya terus memeluknya.

Sebenarnya saya adalah seorang yang suka berkawan. Saya cintakan kedamaian. Mungkin kerana sewaktu kecil, kami telah dibimbing oleh mama dan papa yang selalu menekankan betapa pentingnya erti kedamaian itu.

Dulu, semasa abang memberitahu kami bahawa dia ingin menikahi seorang gadis berketurunan melayu, mama dan papa tidak membantah. Walaupun terdapat banyak persoalan seperti..."bagaimana pula persepsi masyarakat...", ".. bolehkah abang diterima oleh keluarga yang berbangsa asing dari kami..?" " ...dan bolehkah masyarakat menerima seorang muallaf seperti abang?" "... Bolehkah abang membiasakan diri dengan adat dan budaya mereka..." "..pemakanannya pula bagaimana.." "...bahagiakah mereka nanti...." dan seribu satu persoalan yang membuat mama dan papa begitu sukar untuk melelapkan mata di waktu malam.

Saya gembira hari ini. Pesanan mama dan papa...pesanan 'atuk' (sila baca - http://honeybuzzin.blogspot.com/2008/12/atuktapi-bukan-datuk-saya.html ) yang paling berharga dalam hidup saya.

Kadang-kadang kita dibenci tanpa sebab..kadang-kadang kita mungkin tidak dihargai...dan kadang-kadang kita mungkin dipandang serong oleh mereka mereka yang suka mencari masalah. Saya faham benar akan perasaan itu.

Dulu, saya berasa cukup geram dan kecil hati juga. Sukar untuk saya menahan kesabaran ini. Seringkali juga saya memujuk diri ini untuk tidak berkata apa-apa...diam, bertenang dan menjauhi orang seperti dia adalah solusi yang terbaik.

Bagi saya berdiam diri bukan bermakna salah...tetapi saya fikir lebih baik orang yang suka mencari masalah dengan kita dibiarkan begitu sahaja. Dengarlah kata hati kita....mungkin payah untuk kita mengapai awan yang tinggi, tapi tidak mustahil akan dapat menyulam pelangi di hati.

Saturday, May 8, 2010

Majalah Humor Pertama Sabah?

Saya tidak percaya pada mulanya, tetapi sahabat saya telah memperkenalkan majalah itu kepada saya.

"wah...this is very nice!...betulkah majalah kita ini..." kata saya sambil membelek-belek majalah yang cantik itu.

Saya cuba membaca majalah itu...tetapi....adesshhhh....semuanya ditulis pula dalam bahasa ibunda KadazanDusun.

"Aishhh...macamana juga sia mao baca ini..." kata saya penuh kecewa kepada rakan saya yang tinggi lampai dan agak tampan itu. (hehehe..jan ko perasan arr..)

"...nantila....majalah ini cuma edisi percubaan sahaja.."katanya sambil tersenyum kambing.

Saya tidak membelinya kerana saya tidak faham sepatah pun artikel yang ditulis di dalam majalah itu. Lukisan-lukisan kartunnya juga sangat mantap dan patut diberi pujian. Saya sungguh berharap pihak penerbit dapat menterjemahkannya ke dalam Bahasa Malaysia dan sekaligus menaikkan semula semangat 'suka membaca' dikalangan penduduk Negeri dibawah Bayu ini. (Baca sambil ketawa...hehehe...maklumlah..majalah humor...)

Saya rasa inilah hadiah yang terbaik bagi penduduk di Negeri kita.

Akhir kata, Salam sejahtera dan Selamat Hari Kaamatan 2010.

Buzzzzzzzzzzzing Out

(State Library...u need to see this "The very first humor magazine in KadazanDusun Etnic Language"...What an achievement! Bravo guys)

Thursday, April 22, 2010

SAYA BETUL!

"..saya bingung...cukup bingung memikirkan ini...dan saya ingin bertanyakan kepada kamu, pernahkah kamu merasakan susah benar untuk membuat sesuatu keputusan terutama melibatkan soal kerja..?

Diatas adalah soalan yang dikemukan oleh Megan semasa kami berhubungan melalui telefon petang kelmarin. Apa tidaknya...fikir saya. Ada ramai rakan-rakan blogger yang saya kunjungi mengalami situasi yang sebegitu. Dilema untuk berhenti kerja.

"kenapa ni..?" tanya saya kepadanya.

Megan menceritakan kepada saya betapa susah hatinya apabila dia ingin mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Katanya, "....Penat saya memikirkannya...saya 'malas' dengan situasi kerja disini..tapi saya teringat pula, kalau saya berhenti kerja, banyak pula bil-bil yang terpaksa saya bayar dan tanggungjawab lain yang masih perlu saya pikul..

"ya' kata saya kepadanya. Saya juga pernah mengalami situasi begitu. Saya masih ingat pagi itu sewaktu tiba di perkarangan letak kereta di tempat kerja dulu, saya tidak keluar dari kereta.
Lama saya duduk didalamnya.

Kaki saya terasa begitu berat sekali untuk melangkah keluar dari kereta. Ingin sahaja saya pulang..tetapi saya memikirkan akan tanggungjawab di pejabat dan betapa perlunya menyelesaikan beberapa perkara penting yang memerlukan pemerhatian saya.

Tetapi nasib menyebelahi saya pagi itu kerana seorang sahabat menawarkan pekerjaan kepada saya dengan insentif yang menarik lagi. Apalagi, pagi itu juga saya telah memberikan surat notis sebulan berhenti kerja.

Saya tidak pernah menyesal dengan mengambil keputusan sedemikian. Kadang-kala bukan kerana kerja mencabar yang melemahkan semangat kita, sikap majikan yang kurang prihatin, terlalu sempurna, dan mempunyai sikap "SAYA BETUL" mungkin menjadi punca masalah seseorang pekerja patah semangat untuk bekerja dibawah pengurusannya.

Hmmm......anda tentu pernah mengalami ini semua!

Saturday, April 17, 2010

Sehijau tanah seberang...

Saya pura-pura tidak begitu memerhatikan dia. Perempuan yang berambut kasar kerinting dan diikat itu kelihatan sekali sekala mengesat airmata. "Ting" bunyi lif terbuka, dan kami keluar dari situ.

Saya tidak dapat melupakan wajah itu. Wajah yang begitu sedih dan sukar untuk digambarkan. Apakah kesedihan atau malang yang menghantui hidup perempuan yang ketinggiannya 5 kaki itu? Hmmm....*mengeluh*

Dalam satu minggu sahaja saya telah diketemukan bukan sahaja dengan satu perempuan yang menangis tetapi dua sekaligus. Satu lagi semasa saya menjemput Lis (bukan nama sebenar) datang ke rumah saya.

Saya hanya mendengar cerita Lis. Dia juga tidak dapat menahan sebakan. Saya sebenarnya hanya mengenali Lis di sebuah salun kecantikan dua tahun yang lalu. Lis sudahpun berumahtangga dan mempunyai beberapa orang anak yang masih kecil. Dan hari itu saya terperanjat melihatnya berbadan dua lagi. " Anak kembar" kata Lis.

Saya tidak tahu mengapa saya menulis entri yang begini kerana saya rasa begitu sukar untuk menyelami masalah mereka. Sebenarnya Lis yang berhempas pulas bekerja mencari nafkah siang malam untuk menyara anak-anaknya yang masih kecil. Suaminya pula tidak suka bekerja dan saban malam berjudi dan lebih gemar menghabiskan waktu di warung warung kopi bersama rakan sekamcingnya. (Aiishhh...susahlah kalau ini maciem...)

Hidup manusia ini memang penuh dengan berbagai ragam dan cabaran. Ada kalanya kita berasa sedikit cemburu atau irihati melihat orang lain bahagia dan seolah begitu sempurna hidup mereka. Kita selalu mengandaikan..."alangkah bahagianya mereka itu.."

Iyalah...macam kata pepatah Inggeris..."the other side of the field is greener"....tapi pabila meninjau dengan lebih dekat...aahhh...rupa-rupanya kehijauan yang kelihatan subur dan cantik di tanah seberang rupanya penuh dengan lalang pula. Begitulah silapnya penilaian kita!

Hmmmm....

Thursday, April 8, 2010

Anak seorang penoreh getah...

Sebelum abang berangkat ke luar negeri, dia pernah menceritakan kepada saya zaman-zamannya yang lalu sewaktu dia masih seorang guru sekolah rendah.
Saya masih ingat suatu petang di bulan June itu, abang berkongsi cerita dengan saya dimana kelas yang diterajuinya mengadakan hari perpisahan untuknya. Anak-anak kecil (saya tidak ingat darjah berapa..) memberikan hadiah untuknya.

Kata abang tersenyum, "Kadang-kadang abang rasa lucu bila teringatkan ragam anak-anak ini.."
Abang pernah dapat pensel yang dibalut dengan suratkhabar..."

"hahaha.." saya tergelak. "Tidak apalah...hadiah yang ikhlas...walaupun sebatang pensel.." kata saya tersenyum lagi.

Cerita abang ini telah mengingatkan saya akan sebuah lagi kisah pengalaman yang pernah diceritakan oleh guru besar sekolah rendah saya.

Katanya, semasa Hari Guru, beliau telah diberikan hadiah oleh hampir setiap murid-muridnya. Bermacam-macam hadiah telah dibuka olehnya di depan anak-anak muridnya. Reaksi mereka penuh dengan teriakan ...Huuuu.....wowww....dan tepukan tangan gembira. Tapi ada satu kesilapan yang dilakukannya secara tidak sengaja.

Saya masih ingat pagi itu, kami telah mendengar dengan penuh minat akan cerita guru kesayangan kami itu.

Katanya lagi...

" Saya telah membuka hadiah yang diberikan oleh gadis berketurunan India ini.." Hadiahnya yang berupa sekeping cikolet yang berharga RM1 (mahal di zaman itu..) membuatkan seluruh kelas mengetawakannya.

"Saya berasa cukup menyesal...anak itu hanya tunduk memandang lantai sahaja" kata guru besar sambil memandang jauh. Saat itu kami ternampak ada sedikit airmata bergelinang dimatanya.

Selepas sesi sekolah tamat, beliau telah menyuruh anak kecil itu ke pejabatnya. Katanya kepada murid yang bertocang itu.

"Dimana kamu dapat wang membeli cikolet ini untuk cikgu?"

"Saya kumpul duit...mama bagi saya duit belanja sekolah setiap hari.."

Guru Besar yang berbangsa Inggeris itu terus memeluk anak kecil itu. Anak seorang pekerja ladang getah. Dia tidak tahu anak kecil yang miskin itu telah mengumpul wang belanja sekolahnya setiap hari hanya untuk membelikan sebuah hadiah untuknya.

Dia memberitahu kami, selepas kejadian itu, dan pada setiap kali menjelangnya Hari Guru, beliau pasti akan meminta izin terlebih dahulu sebelum membuka hadiah agar tidak mengulangi kesilapan itu.

Kata guru besar, hadiah sekeping cikolet pemberian anak kecil itu adalah hadiah terbaik dikalangan hadiah hadiah yang lain yang pernah diterimanya.

Dulu, saya tidak begitu memahami maksudnya tetapi sekarang apabila sudah dewasa, saya telah memahami segalanya. Inilah pemberian yang terbaik buatnya..mengapa tidak? Mana mungkin ada penghargaan yang lebih baik selain penghargaan sebegini?

Hmmm...