Monday, April 30, 2012

Bila tiada sudah keadilan...

Hari itu semasa saya melintasi kawasan itu dengan Sue, kami singgah sebentar membeli gula-gula kapas yang dibalut berpusing-pusing sehingga menjadi bentuk kon. Sudah lama saya tidak makan gula-gula itu dan kebetulan hari itu kami ternampak gula-gula kapas lembut berwarna merah muda.

Selepas menghulurkan wang kepada penjual yang berbadan gempal itu, saya bertanyakan kepadanya, "kamu pandai masak ka..? Saya bertanyakan kepadanya soalan itu kerana secara kebetulan ada rakan saya yang membuka restoran dan menyuruh saya menolong mencarinya tukang masak.

"Boleh"..kata lelaki itu. "Saya pandai masakan Jipun" tambahnya lagi.

"waa....bagus ..bagus.." kata saya. "Tapi mengapa kamu buka bisnes ini?"..bagus kamu kerja di restoran la." kata saya yang memang agak peramah.

"tidak boleh lagi..."

"napa"

"kana blacklist suda sia ini.." (saya di blacklist) katanya terus terang.

"Hah..kenapa...apa sebab?" tanya saya.

"Saya bakar kadai"..mana-mana pun tidak mau ambil saya karja lagi.." katanya kepada saya. Kemudian diapun menceritakan kepada saya betapa majikan lamanya itu tidak membayar gaji kepadanya selama 2 bulan. Disebabkan tekanan emosilah maka dia mengambil keputusan drastik dengan membakar kedai majikan lamanya itu.

Terperanjat saya sebentar. Sue dan saya berpandangan tanpa mengeluarkan sebarang kata. Mungkin teramat terkejut. Pada masa itu saya tidak lagi berseloroh lagi dengan pemuda gempal yang kelihatan lewat 20an itu.

Saya kemudian mengatakan kepadanya "Tidak perlu kamu bakar kadai bha.....kasi repot saja sama 'labour' sana.."

Sedih pula saya rasa sebaik sahaja berlalu dari situ. Rasa kasihan pada si penjual tu pun ada..begitu juga rasa gerun. Aduuiiiii...........

Sunday, April 15, 2012

...yang pelik dan tiga suku...

Lama benar tidak bercerita ..sebenarnya saya bukannya tidak sibuk lagi tapi tersangatlah sibuk tetapi ada sesuatu yang teringin sangat saya kongsikan bersama. Cerita kali ini adalah berkenaan dengan hal temuduga.

Kebanyakkan kerjaya saya yang pernah saya sandang melibatkan saya menjalankan sesi temuduga. Kali ini saya ingin berkongsi dengan semua apakah kesilapan-kesilapan yang seringkali berlaku semasa dan sebelum temuduga yang jarang-jarang diambil kira. Saya berharap dengan menulis perihal ini, kawan kawan dan rakan pembaca mendapat tips melalui cerita ini.

TIPS 1
Data Peribadi dan Kelayakan (RESUME)
Anda disarankan menulis secara ringkas mengenai data peribadi seringkas mungkin dan disertakan sekeping gambar. Yang penting untuk si penemuduga adalah pengalaman bersertakan tahap pencapaian akademik. Elakkan karangan yang berjela-jela.

'Resume' yang baik dan lengkap disarankan tidak melebihi 3 mukasurat. Saya pernah mendapat resume melalui email sebanyak 13 mukasurat tetapi tanpa nombor telefon.
Dia GAGAL!

TIPS 2
Masa dan Hari Temuduga
Sekiranya anda telah dipanggil untuk sesi temuduga, jangan sekali-kali memberi alasan bahawa anda tidak dapat hadir pada hari tersebut dan alasan-alasan lain. Orang yang menemuduga anda itu bukanlah sahabat anda. Mereka adalah orang yang menentukan nasib anda samada dipilih untuk bekerja di syarikat atau tidak.

Sikap anda yang memberi alasan ini dan itu menjadi penentu kegagalan anda secara langsung. Anda tidak sedar, sikap sebegitu membuatkan para penemuduga membuat kesimpulan bahawa anda adalah seorang yang tidak bertanggungjawab, berdisiplin dan kurang minat.

TIPS 3
Kelayakan
Saya pernah bertanyakan kepada seorang pemohon melalui telefon, mengapa dia ingin bekerja di kawasan itu? Dia memberitahu saya secara ringkas "Bini (isteri) saya ada disana" .
Jawapannya itu sangat membingungkan saya! Alasan seperti itu tidak boleh melayakkan anda untuk diambil kerja. Harap Maklum!

TIPS 4
Cara Pemakaian
Majoriti pemohon yang pernah datang dalam sesi temuduga yang pernah dikendalikan saya itu ternyata tidak begitu mengambil kira dari segi pemakaian. Anda haruslah ingat, sekiranya anda ingin diambil kerja, anda harus memberikan keyakinan kepada para penemuduga, dan perkara ini tidak hanya melibatkan kerjaya professional sahaja, pemakaian adalah lambang siapa diri anda secara mata kasar.

Pemohon lelaki disarankan memotong rambut sekiranya rambut anda panjang dan tidak teratur.
Pemohon perempuan pula ditegah memakai 'skinny jeans' ataupun memakai 'aksesori' yang keterlampauan. Badan yang berbau dan mengunyah gula-gula getah juga tidak akan melayakkan anda untuk diterima bekerja. It's not cool!

TIPS 5
Mengutuk 'boss' lama
Hah! Jangan sekali-kali mengutuk majikan lama anda. Beritahu sahaja secara terus terang bahawa anda tidak gembira bekerja di sana. Sekiranya didesak untuk memberitahu keadaan sebenar..katakan sahaja kepada penemuduga anda bahawa anda tidak begitu selesa untuk menceritakan perihal syarikat/majikan dulu dan anda tidak mahu dia (penemuduga) memberi gambaran yang salah dengan membuka keburukan orang lain.

Saya pernah dengar bermacam-macam cerita kutukan mengenai majikan lama oleh si pemohon.
Kalau boleh..jangan dikutuk. Jawapan seperti "saya kira..kerja itu tidak begitu sesuai dengan saya" mungkin dapat diterima dengan baik.

TIPS 6
Gaji
Kebanyakkan pemohon memohon gaji yang terlalu tinggi, kelayakan dan pengalaman kurang pula. Huh!! Bayangkan anda diminta membayar sekeping roti canai dengan harga RM7? Faham maksud saya?

TIPS 7
Tempat Tinggal
Pohonlah pekerjaan yang tidak begitu jauh dari tempat anda tinggal dan mempunyai kemudahan awam untuk berulang-alik dari tempat kerja. Tempat tinggal anda yang jauhnya "hujung dunia' akan menggagalkan sesi temuduga anda meskipun anda layak menyandangnya kecuali anda mempunyai kenderaan sendiri dan bersungguh-sungguh dalam permohonan anda.

TIPS 8
Alamat Email.
Elakkan dari memberikan alamat email yang kreatif seperti sugarbabe, honeybuzzin, matrempit123, dan lain-lain. Sekiranya kerja yang anda sandang memerlukan anda memberikan alamat emel, ciptalah satu khas untuk hal-hal bersangkut paut dengan kerja. Alamat emel dengan nama-nama kreatif adalah tidak sesuai dipakai. Saya pernah mendapat alamat emel ini..
jamesbond@.... Wahhh! hebat!

Saya rasa ini saja yang dapat saya huraikan buat masa ini. Saya berharap para blogger dan pembaca-pembaca sekalian sudi memberikan komentar supaya kita dapat belajar dari satu sama lain.

Jumpa lagi di entri baru nanti. Salam sejahtera.

Thursday, February 9, 2012

Pesanan buat semua..

Buat semua pembaca-pembaca setia blog ini, saya ingin memberitahu bahawa saya tidak dapat update blog ini buat sementara waktu. Saya terlalu sibuk buat masa ini.
Terimakasih kerana sudi membaca disini dan paling menggembirakan saya ialah ada komentar komentar dari pembaca semua.

Minta maaf banyak-banyak...hati ini teringin sangat menulis cerita baru tetapi masa benar-benar suntuk buat saya untuk menyelesaikan sesuatu. Saya harap semua akan terus berblogging dan akhir sekali, Take Care.

Will miss you all so much!

Your Cyber Friend,
Honeybuzzin

Thursday, February 2, 2012

Buat baik pun susah!

Cerita di suratkhabar Harian Metro edisi Sabah hari ini mengenai seorang lelaki (tempatan)yang menolong mengalihkan motosikal yang menghalang jalan keluar kereta kepunyaan seorang pengid telah menarik perhatian saya.

Lelaki yang berbuat baik itu tidak menerima ucapan "terimakasih", sebaliknya dimarahi dan dimaki pula di khayalak ramai oleh minah pengkid yang menyangka motosikal yang menghalangnya itu adalah kepunyaan lelaki itu. Walaupun telah dijelaskan bahawa dia cuma menolongnya untuk mengalihkan motosikal itu tetapi pengkid itu masih juga menghamburkan kata-kata kesat kepadanya malah pakaian adik perempuan lelaki itu ditarik sehingga menampakkan payudara apabila dia cuba meleraikan perbalahan mereka.

Hah! Nampaknya semakin hari semakin gila dunia kita ini. Berbuat baik pun salah, tidak berbuat baik pun salah! Kisah ini mengingatkan saya akan sebuah lagi cerita yang berlaku seminggu sebelum Tahun Baru Cina.

Pada tengahari itu, teman lelaki saya telah pergi ke sebuah bank (Standard Chartered) di Kota Kinabalu untuk membuat pengeluaran wang. Selepas sahaja urusannya selesai dan hendak beredar dari situ, seorang perempuan telah mengetuk cermin pintunya dan berteriak “..tolong! tolong!”

Teman saya hanya menurunkan sedikit cermin keretanya lalu menyuruh perempuan itu supaya segera melaporkan apa-apa kesulitan yang dihadapinya di Balai Polis. Dia kemudian memandu pergi dari situ. Saya diberitahu akan kejadian itu didalam telefon.

Dulu, masalah-masalah penipuan tidak begitu berat seperti hari ini. Zaman telah berubah, bermacam-macam taktik penipuan berlaku dimana-mana sahaja. Kebanyakkan cerita yang kita dengar seringkali berpunca dari sikap 'berbuat baik'. Tidakkah anda rasa 'pelik' dengan fenomena ini? - Bila kebaikan seseorang itu dibalas pula dengan berbagai-bagai penipuan yang tidak sepatutnya.

Saya cukup bersetuju dengan reaksi teman saya terhadap situasi yang dialaminya hari itu.

Bayangkanlah sekiranya ini pula yang berlaku...

Sebaik sahaja pintu kereta teman saya dibuka, beberapa orang lelaki telah masuk kedalam kereta. Seorang darinya telah menghunuskan pisau kearah perutnya dan merampas wang yang baru dikeluarkannya itu........dan.......

Huh!

..dan amatlah menyedihkan sekiranya perempuan itu benar-benar seorang mangsa yang mengalami kesulitan. Bukan kerana kita tidak mahu memberikan bantuan, tetapi kita 'takut' menghulurkan sebarang bantuan!

Anda tentu ada cerita sendiri!

Tuesday, January 31, 2012

Misteri disebalik bunyi itu...

Kalau anda bertanyakan kepada saya bagaimana bunyi itu? Saya tidak dapat memberitahu...aneh dan begitu menakutkan! Sepanjang beberapa bulan tahun lalu, itulah kali ketiga saya mendengarnya. Bunyinya amat kuat, 'sesuatu' yang 'besar' bertenggek di atap zink pejabat tahun lalu. Sehingga ke hari ini, suara itu masih lagi terngiang-ngiang di telinga saya. Saya masih ingat dengan jelas, ketiga-tiga kali itu juga ia datang bertenggek di waktu senja. Saya cukup yakin kerana saya memandang kearah jam dikala ia tiba. Keadaan diluar sudahpun gelap.

Saya memberitahu rakan sekerja beberapa hari kemudian mengenai perkara ini. Agak sukar bagi saya untuk memberitahunya kerana saya tidak mahu ditertawakannya.

"Hari Khamis.. saya telah mendengar sesuatu yang amat nyaring, membingitkan telinga..dan suaranya amat menakutkan, bos pula di dalam bilik kala itu..dan saya dapat mendengarnya dengan begitu jelas"..bunyi itu cukup menakutkan...membingitkan."

"Mungkin bunyi eksos motor.. tidakpun televisyen...mungkin juga bunyi burung..maklumlah, tempat kita inikan berdekatan dengan tasik dan tempat penghijrahan burung-burung.." katanya cuba untuk menenangkan saya.

"BURUNG" perkataan ini terjah masuk kedalam minda saya, dan selepas hari itu, saya telah membuat sedikit penyelidikan 'online' di youtube dan mencari bunyi burung yang menyamai bunyi/suara yang saya dengar tetapi gagal. Saya juga mengetahui terdapat hampir 500 spesies burung di tempat kita dan....saya bingung! Apakah jenis burung yang berbunyi sekuat trumpet..ataupun senyaring hilaian..dan dapat didengari pula arah terbangannya yang begitu gagah!

Yang peliknya...sekiranya terdapat burung yang begitu besar...mustahil tiada seorang pun yang nampak akannya..kemanakah ia pergi dan bersembunyi? Mana mungkin kita tidak ketahui akan kehadirannya...kecuali ia bersembunyi di gua....dan saya masih terus mencari misteri ini sehingga ke hari ini.

Burungkah yang saya cari atau 'makhluk' lain?

Saya tidak berani bertanyakan bos perihal bunyi yang menakutkan ini..mungkin juga dia pernah mendengarnya dan tidak mahu bercerita akannya. Saya berasa gerun setiap kali mengingatkannya. Pernahkah anda mendengar bunyi sepelik yang saya dengar ini? Pernahkah anda mengalami sesuatu yang seperti itu?

Saya benar-benar ingin tahu....

Sunday, January 22, 2012

Salun di pekan itu...

Saya ingin berkongsi sebuah cerita lagi hari ini. Sebenarnya saya tidak berapa ingat akan cerita ini sehinggalah saya blog buzzing di tempat blogger APPLE a.k.a Ryuzaki L Kid di BWERKhttp://bwerking.blogspot.com/

Tulisnya di entri "Aku NAK buka Cyber Cafe 2"....."daerah kecil pun ada salun"...AHA! ayat ini yang menjana terus minda saya untuk membuka entri baru.

Begini ceritanya. Semasa saya berada di sebuah tempat(bukan di Sabah) adik lelaki saya telah menghantar saya ke salun kecantikan di sebuah pekan kecil berhampiran dengan rumahnya. "Kak..salun Ai-Ling buka hari ni..tapi di tingkat atas la" kata adik saya yang gempal itu. "kalau akak dah siap 'torture' rambut, call adik nanti" tambahnya lagi.

Saya menganggukkan kepala tanda faham dan terus naik ke tingkat satu bangunan rumah kedai lama itu. Sesampainya saya disana, saya telah disambut ramah oleh seorang wanita muda lingkungan awal 40an.

Sebaik sahaja saya melangkah masuk ke salun itu, saya merasakan seolah-olah telah memasuki ke era zaman yang lama. Salun lama yang sederhana itu menempatkan beberapa sofa lama, peti sejuk dan juga gas dapur untuk memasak. Pelik saya rasa tetapi kerana ini salun di pekan, maka saya pun mendiamkan diri. Kata orang "masuk kandang kambing, mengembek.." "masuk kandang harimau....." .

Cermin-cermin lama juga kelihatan disangkut berbaris. Ada beberapa poster lama artis-artis cina menghiasi dinding salun itu. Saya benar-benar kurang selesa dan terus terang saya katakan disini, saya berasa agak takut hari itu. Dan ketakutan itu bertambah-tambah apabila hanya saya sahaja pelanggannya.

Sepanjang saya disana, mulut saya tidak berhenti berbual-bual dengannya mungkin kerana saya ingin melupakan perasaan takut itu. Saya bertanya kepadanya 'lama sudah ka ini salun?"

"lama.. 25 tahun pun ada.."
katanya dengan senyuman yang menunjukkan giginya.

"ALAMAKKK..." perempuan ini bertaring dua...kiri dan kanan pula tu...alala..bisik saya dalam hati. "Matilah saya kali ini....mungkin ini drakula perempuan..cuma tunggu masa ja menjamah sama...mati di tempat ini pun tiada yang tahu! Saya benar-benar takut! Serius! Selama ini saya pernah nampak orang memiliki gigi yang bertaring, cuma satu sahaja. Tetapi perempuan ini mempunyai dua taring....aduiiiiiiii....

"cuba kau teka, brapa umur saya" katanya lagi. Dengan mukanya yang masih lawa, rambut hitam yang tidak menunjukkan uban, saya pun berseloroh dengannya lagi lalu berkata " saya nampak masih muda aaa....mungkin 40 tahun la.." kata saya sambil ketawa kecil yang dibuat-buat.

"Hahaha...saya sudah 60tahun.." katanya sambil tergelak. Jawapannya itu membuatkan saya semakin berasa takut. Meskipun begitu, saya tetap 'cool'. Nampak jelas gigi taringnya semasa perempuan itu ketawa. Masa itulah saya teringatkan semua orang yang saya sayangi, apalah yang akan terjadi sekarang....matilah saya...tidak dapatlah saya menyelamatkan diri.


" Sahlah perempuan ini hantu! kata saya dalam hati yang sudah sekian takut dari tadi.

Saya terus mencapai talipon lalu menalifon adik saya supaya segera kesini. "Aikkk...kakak nak adik temankan ker...?" ketawanya.

Tidak lama selepas itu adik pun sampai ke salun itu. Barulah terasa lega hati saya. Didalam keretanya saya pun menceritakan kepadanya betapa takutnya saya disalun itu. "Perempuan itu bertaring tau ...kedainya pun lama..macam zaman kita belum lahir..." kata saya dengan adik. Adik saya hanya ketawa sahaja sepanjang penjelasan saya yang tidak masuk akal itu. Selepas kejadian itu, saya berjanji kepada diri saya bahawa saya tidak akan lagi masuk ke mana-mana salun pekan terutama di tingkat atas! Cukuplah sekali itu sahaja pengalaman saya.

Penakut betul saya ini...haizzzzzzzzzz........

Huh! (lap peluh)

Tuesday, January 17, 2012

Kerja kuli seperti kita.......

Semasa saya 'blog buzzing', seringkali juga saya terbaca penulisan blogger yang meluahkan perasaan akan keresahan mereka tentang kerjaya yang dipilih. Saya juga turut berasa simpati kerana saya memahami keadaan mereka.

Saya juga pernah bekerja dan berhenti kerja. Saya juga tahu betapa payahnya untuk seseorang itu mencari kerja jikalau tiada sijil kelayakan ataupun kehilangan sijil kelayakan seperti saya. (Cisss...gara-gara pindah rumah...saya tidak tahu bagaimana melalui sesi temuduga!) Kuli atau tidak...kedua-dua kelayakan ini pun pernah saya sandang!

Jadi hari ini, saya menulis entri ini khas untuk semua yang bergelar bos..tidak kiralah bos besar ka? bos kecil ka?...ataupun yang berpangkat! Mungkin anda juga pernah melaluinya atau sedang mengalaminya...

1) KERJA KULI SEPERTI KITA...."kelayakan"
Kita memohon kerja "A" tetapi lama-kelamaan kerja itu bertambah kepada "B" , "C", "D" dan "E" Situasi beginilah yang sangat membingungkan sesetengah pekerja. Kerja-kerja sampingan lain yang tidak ada kena mengena dengan kerja yang kita pilih! Selalunya begitu! Pelik tapi benar..apa bukan?

2) KERJA KULI SEPERTI KITA...." gaji"
Sikap positif yang ada dalam diri seseorang memungkinkan seseorang itu tidak begitu berkira dengan majikan mereka, slogan-slogan yang memberikan motivasi seringkali dilihat tertampal didinding...tetapi yang kurang diberikan tumpuan oleh majikan diatas dedikasi terhadap kerja ialah kenaikan gaji, kenaikan pangkat atupun kedua-duanya sekali. HUH!

3) KERJA KULI SEPERTI KITA...."pilih kasih"
Ni lah yang sukar untuk dihuraikan. Kita pun tidak tahu mengapa sesetengah pekerja itu diberikan kelonggaran..ada yang ketara tidak membuat kerja tetapi majikan kita tidak mahu berbuat apa-apa! Sungguh tidak adil, apa bukan! Saya bukanlah ingin mengatakan bahawa semua majikan itu begitu adanya, tetapi kebanyakkannya begitu. Mungkin ingin memberi peluang kedua kali..tetapi kalau sampai berkali-kali, perlu diingat... motivasi pekerja bawahan lain akan turun ke tahap beku!

4) KERJA KULI SEPERTI KITA .." kedekut"
Ada sesetengah majikan itu teramatlah kedekut. Susah benar bekerja dengan majikan seperti itu.
Segala perbelanjaan pejabat dikira dengan penuh teliti. Mesin faks yang hampir nyawa-nyawa ikan itu jugalah yang masih " dipertahankan" ... Apabila dokumen penting yang dihantar atau tidak dapat diterima dengan baik, kita pula yang susah!

5) KERJA KULI SEPERTI KITA.." kurang penghargaan"
Bayangkanlah jika anda adalah pekerja yang melalui situasi A dan B tetapi tidak diberikan penghargaan sebaiknya...bagaimana perasaan anda?

6) KERJA KULI SEPERTI KITA.."terlalu sempurna"
Majikan didalam kategori inilah yang dilihat paling tidak popular dikalangan pekerja. Secara terus terang, sikap beginilah yang selalunya menghancurkan motivasi seorang pekerja yang bersungguh-sungguh bekerja dengan tekun. Apa tidaknya..? segala-galanya yang dibuat oleh pekerja itu tidak akan pernah sempurna dimata majikan yang mempunyai minda yang cetek seperti ini

7) KERJA KULI SEPERTI KITA.."bersikap biadap dan kasar"
Saya pernah mendengar sebuah cerita yang disampaikan oleh teman saya berkenaan dengan pekerja perempuan ini. Hanya dengan perkataan " F_ _ K" sahaja yang dikatakan kepadanya oleh majikan yang berang atas sesuatu perkara, dia memberikan notis 24jam. Katanya "saya berasa cukup terhina!" Majikan yang bukan calang-calang orangnya ini terpaksa mencari dua orang pekerja lain untuk menggantikannya. Bukan semua pekerja itu 'multi tasking'! Rugi Besar!

Ini hanyalah 7 perkara yang sempat saya sampaikan....inilah keluhan yang seringkali tidak dapat difahami oleh majikan diluar sana. Kalau saya berkesempatan lagi, dilain masa pula, saya akan menulis dari sudut pandangan seorang majikan pula. Apa kata anda? Mari kita berkongsi cerita!

Selamat Bercuti. Gong Xi Fa Cai!