Sunday, October 10, 2010

BILA CIKGU BERCERITA - Segalanya bermula disini (BAH 2)

"Murid-murid pun 'tension' juga.." katanya. "Apa tidaknya....bila balik dari sekolah, batang hidung makbapak tak nampak pula! Tidak merasa pula mereka kasih sayang, bimbingan akhlak pula menjadi tandatanya." "Itulah sebabnya, pelajar zaman sekarang biadap...haa...salah siapa?" tanyanya kepada saya.

"..belum lagi masuk bab kerja sekolah yang bertimbun-timbun ... buku kerja bukan main banyak...sampai hujung tahun pun masih ada yang tidak siap!.."Kesian juga mereka!

"Betul! Betul! Betul!.." kata saya bersetuju sambil mengangguk-anggukkan kepala bagaikan burung belatuk mematuk dahan pokok.

"Kadang-kadang guru pun ada yang menjadi mangsa, cikgu..." kata saya.

"Betul!" kata lelaki tinggi dan kurus itu.

"Dulu, kelas saya cuma mempunyai 35 orang, sekarang sampai 55 orang sekelas pun ada.." tambahnya. "Cucu saya tidak pula suka belajar sekarang..."

"Aikkk..mengapa cikgu..?" tanya saya lagi kepadanya.

"Bila cikgu suka berkata 'awak bodoh!' "memang tak pandai"...maka musnahlah semangatnya.. " katanya lagi.

"Tapi susah juga.. bila cikgu suruh menyiapkan latihan sekolah, tidak pula dibuatnya. Kecewa juga cikgu yang mengajar...Sekarang, guru pun tidak boleh merotan ..silap haribulan keluar masuk mahkamah....macamana pula dapat mengajar dengan baik?" dan pelajar pula ada yang pandai tunjuk perasaan..kereta beribu-ribu kepunyaan cikgu menjadi sasaran pula! tambahnya lagi.

"..inipun sebab musabab mengapa cikgu sekarang pun macam hilang semangat nak mengajar..mengapa tidak..marah tak boleh..nah...dibiarkan sajalah!

"Ada juga cikgu-cikgu yang dihantar ke pendalaman untuk mengajar..rasanya mereka patut diberi semangat dan insentif yang lebih berpatutan dan menariklah cikgu.." kata saya. "..kemudahan asas pun, ada yang tidak seberapa..." kata saya lagi.

"Memanglah patut diberi pujian"..kata cikgu lagi. Selepas itu kami berpindah ke topik lain pula. Hmm..seronok juga dapat berbual dengan bekas guru besar.

Saya rasa segalanya bermula disini. Bermula dari mana?

Hanya satu perkataan sahaja.. - SIKAP!

Hmmm....tepuk dada, tanyalah selera!

BILA CIKGU BERCERITA - Segalanya bermula disini (BAH 1)

Saya memanggilnya "cikgu" apabila mengetahui beliau adalah seorang guru besar yang pernah mengajar di sebuah sekolah di Melaka. Pesara yang berumur hampir 70 tahun itu memang seorang yang peramah.

Dari jauh, saya memang nampak karisma seorang guru. Tebakan saya mengenainya begitu tepat sekali apabila ditanya mengenai pekerjaannya, dia langsung memberitahu saya dengan bahasa Inggeris yang fasih bahawa dia adalah bekas seorang guru besar yang pernah mengajar di sebuah sekolah di Melaka. Dari segi percakapannya yang tegas dan penuh berhemah itu, membuatkan saya teringat akan guru-guru yang pernah mengajar saya di zaman bangku sekolah.

Sebenarnya telah lama saya ingin membuka entri begini tetapi saya rasa tidak berkelayakan mempersoalkan kredibiliti seorang guru tetapi hari ini saya bertanyakan kepadanya kerana saya berasa beliau tentu tahu kenapa dan mengapa terjadinya perbezaan guru dulu dan sekarang dan segala satu masalah yang begitu memeningkan kepala.

"Dulu....you start work after the last bell rings!" kata cikgu veteran yang berkopiah putih dan berbaju batik itu.

Saya terpinga -pinga juga sebentar. (Hehehe...mungkin minda belum begitu dapat menjana dengan baik gara-gara kurang tidur kelmarin).

"OOooooo...." kata saya sambil melopong dan mengangguk-anggukan kepala tanda faham akan maksudnya.

"Sekarang...semuanya wang...wang...wang....." katanya lagi. "Dulu kami hanya bekerja bergajikan beberapa ringgit..kenaikan gaji pula berapa sahaja..tetapi sekarang lain ... zaman telah berubah..."

"Dulu, kita diamanahkan untuk membimbing anak-anak murid kita.."..walaupun prestasi sekolah tidaklah begitu baik musim itu, tetapi cikgu-cikgu bersepakat membuat sesuatu dan atas gigih dan usaha dari semua, yakni cikgu dan ibubapa..dapat juga melihat kejayaan 2-3 orang pelajar mendapat 5A...

"Alhamdulillah...." katanya sambil menadah kedua-dua belah tangan dan berkata lagi "...inipun satu kejayaan dari tidak mendapat apa-apa.." tambahnya lagi.

"tapi sekarang zaman telah berubah...." Dulu, saya sendiri meluangkan masa mengajar anak lelaki saya pelajaran matematik...sekarang ibubapa sibuk pula bekerja...anak-anak pula ditinggalkan dan dijaga oleh orang gaji.." katanya lagi.

"Kadang - kadang bila ibubapa balik dari kerja..anak pula dah masuk tidur...bila anak ke sekolah, ibubapa belum lagi bangun..mana dapat bersua muka.... hanya hari Sabtu dan Ahad sahaja dapat bersua muka..itupun kalau ibubapa zaman moden ni tidak pergi "OutStation" pula.."

"Betul! Betul! Betul!" kata saya. Rancak pula kami bercerita.

"Tapi...susah juga! .. ibubapa sekarang terpaksa bekerja...barang-barang semakin mahal..rumah, makan, sekolah, kelas tambahan ini itu semuanya perlu berbayar pula.." katanya.

"Dulu, pekerjaan pun tidak begitu banyak, sekarang zaman IT pula..yang tua-tua macam saya baru terhegeh-hegeh nak belajar...".."Kalau tak belajar, ketinggalan pula.." katanya sambil ketawa.


.......................bersambung

Monday, October 4, 2010

Gendang gendut tali kecapi......

Sejak kebelakangan ini, saya memang agak sibuk. Teringat juga akan blog ini dan rakan-rakan semua yang selalu singgah dan membaca. Hari ini, saya membawakan sebuah cerita yang lain pula..yang kadang-kadang kita tidak berapa ambil kisah akannya. Maklumlah..zaman sekarang zaman.."Not my problem..". Tapi benarkah begitu?

"dik...ko belum tau lagi kelmarin ada satu sumandak ni...pelik betul dia ooo..." kata kakak angkat saya yang menjalankan perniagaan di sebuah cafe di ibukota.
"Apa yang pelik sangat ni kak..? kata saya sambil meneguk secawan Milo panas.

Kakak saya pun menceritakan kepada saya betapa anehnya perilaku perempuan cantik, cukup seksi dan ramping itu ketika makan malam ala buffet di tempatnya itu.
Semua orang beratur mengambil lauk masing-masing, cuma perempuan itu sahaja yang memotong barisan dan mengambil lauk.

"Oooo...itu biasalah kak.." kata saya sambil tersenyum-senyum.
"Orang di zaman sekarang sudah begitu kurang mengenali erti peradaban" ...tambah saya lagi.

Tetapi ini bukan perkara pelik yang ingin disampaikan oleh kakak. Kakak memberitahu bagaimana perempuan itu mengambil lauk ayam kari dengan menaikkan senduk setinggi 16cm dan kemudian menuangnya ke atas nasi di piringnya. Terlopong saya seketika...
Kakak pun berjalan ke arah perempuan itu dan mengajarnya bagaimana meletakkan lauk di atas piring dengan cara yang betul.

"Ehhh..kak...mana ada orang kita yang makan begitu..?" walaupun kadang-kadang ada di kalangan kita yang kurang bersopan..tapi bila sampai sesi makan minum ni, selain datang lambat, tidaklah pula orang kita makan 'gelojoh' dan errrkkkk....begitu..? kata saya dengan penuh kehairanan.

Kakak lantas ketawa. Kakak menceritakan kepada saya bagaimana, kuah kari di atas piring perempuan itu tumpah sepanjang lantai di premis itu dan orang sekeliling hanya memandangnya dengan mengeleng-gelengkan kepala sahaja. Kakak memerhatikannya sepanjang malam itu dan memberitahu saya, perempuan pelik itu juga berselera besar..dia telah memakan tiga piring penuh nasi dan lauk, sepiring besar buah-buahan segar dan beberapa gelas minuman...dan dia tidak pula membazir. "Licin piringnya..." tambah kakak lagi.

"arhahaha..." gelak saya seketika. "Baguslah begitu..."...ada sesetengah orang itu, bila makan ala-buffet' di luar, selalu sahaja membazir. Makanan yang diambil dengan begitu banyak tidak pula dihabiskan"..tambah saya lagi. "Sekurang-kurangnya...perempuan itu tidak membazirkan makanan..biarpun perilakunya bagaikan orang yang betul-betul kebuluran..!" tambah saya lagi.

Saya ketawa kecil pabila mengenangkan kisah yang disampaikan oleh kakak itu. Siapa sangka perempuan cantik, seksi, ramping dan mengancam itu membuatkan para lelaki yang pada mulanya ingin mencuba nasib....(pok-pok..dapatlah dijadikan buah hati...maklumlah..kan cantik orangnya..) kini rasa terancam pula! hehehe...

Aaaaaaaahhhh......................gendang gendut tali kecapi.....rasa-rasanya malam itu, mereka yang hadir dan makan, tidak kenyang perut pula rupanya!

Wednesday, September 8, 2010

July 16, 1990 - Sebuah Kisah Benar (Bah 2)

..."Mama.." ...airmata saya semakin deras mengalir. "Saya tidak jumpa adik..''..."Saya tidak jumpa adik.."

"Dia sudah mati.." ..Dia sudah mati..' kata mama sambil meratap kuat.

Kami hanya mampu berpelukan dan meratap nasib malang yang menimpa kami. Mama kehilangan seorang anak, dan saya seorang adik. Gegaran yang kuat membuatkan saya terlepas genggaman dengan adik yang berbadan kecil itu. Kegagalan menjaga adik dengan baik membuatkan saya tidak dapat memaafkan diri ini..dan kesengsaraan ini begitu sukar untuk dilalui. Cukup pedih saya rasa. Mengapa adik harus mati...mengapa tidak saya...

.......................................

Sebak terus saya rasa apabila rakan filipina saya ini menceritakan kisahnya kepada saya beberapa minggu yang lalu. Dari matanya, saya nampak akan kesengsaraan itu...dan kesedihan yang maha. Saya nampak dia menahan tangisan dari mengalir ke pipinya yang gebu. Saya menyentuh tangannya..

Tidak dapat saya bayangkan betapa sukarnya untuk perempuan yang berumur awal 30an itu melalui tragedi seperti ini. Mana mungkin dia dapat melupakan kejadian sebegitu.

"Kamu sangat bernasib baik" katanya kepada saya. "..tempat yang kamu tinggal ini tidak ada musibah sebegini.."

Saya hanya mampu mengangguk - anggukkan kepala tanda setuju biarpun pernah suatu ketika, empat belas tahun yang lalu, kejadian angin kuat 'Greg' pernah melanda ditempat kita. Kita juga tahu banyak kerosakan harta benda dan nyawa terkorban waktu itu. Terumbu-terumbu karang yang cantik di kepulauan Tunku Abdul Rahman juga banyak yang musnah dan rosak akibat fenomena itu.

Seperkara lagi, sebelum saya mengakhiri cerita ini, Grace memberitahu saya bahawa adik dan dua sahabatnya, sebenarnya terselamat dari bencana alam itu. Biarpun cedera, mereka dirawat dan pulih sepenuhnya beberapa minggu kemudian.

Bandar Baguio yang rosak teruk akibat gempa bumi itu telahpun di bangunkan semula tahun demi tahun secara berperingkat..dan adik lelakinya dan sahabat-sahabat Grace masih lagi bermaustatin di Filipina sehingga ke hari ini.

sekian.......

Monday, September 6, 2010

July 16, 1990 - Sebuah Kisah Benar (Bah 1)

Saya masih ingat, 16hb Julai, tahun itu, di Bandar Bagio, Philipina, saya, adik dan dua orang sahabat telah pergi menonton wayang. Kami membeli empat tiket di barisan tempat duduk ekonomi untuk menonton 'Magunaw Man Ang Mundo'.

Baru sahaja beberapa minit melabuhkan punggung di kerusi panggung itu, tetiba kedengaran bunyi yang cukup kuat..membingitkan dan seolah-olah menuju kearah kami semua dan kemudian dengan gegaran yang kuat dan ....segalanya malap.

Saya terus kebingungan. Selepas itu kedengaran pula suara orang menjerit-jerit..jeritan yang menakutkan dan dahsyat..dan dalam cahaya yang samar-samar itu, saya nampak orang yang duduk di bahagian atas tingkat satu yang condong sekarang, terjatuh ke lantai paras kami.

Ramai yang menangis dan meraung-raung. Saya juga menangis...anda tidak dapat membayangkan betapa takutnya perasaan saya ketika itu. Saya menangis teresak-esak. Adik dan sahabat-sahabat saya entah dimana.

Kawasan panggung yang sesak dan debu konkrit yang tebal membuat saya begitu sukar untuk bernafas. Kemudian saya terdengar suara orang menjerit kuat " jangan panik, jangan tolak...kalau kita bertolak-tolakan..kita semua akan mati.." katanya berulang-ulang kali.

Selepas berjaya berjalan keluar dari panggung wayang itu, saya amat terperanjat kerana kawasan di luar penuh dengan asap runtuhan bangunan. Mayat pula bergelimpangan. Saya seakan tidak tahu apa erti takut lagi...saya berjalan bagaikan mayat yang hidup. Di saat itu saya juga tidak tahu samada saya masih hidup atau telah mati..dan tempat itu kelihatan begitu dahsyat dengan mayat bergelimpangan disini sana dan darah......

Baru saya sedar bahawa tempat tanah tumpah darah saya ini telah dilanda gempa bumi yang dahsyat. Dengan gencangan sekuat 7.5 skala richter, bangunan-bangunan yang terdapat di tempat kami ini bagaikan kotak mancis yang telah dipijak ranap. Segalanya telah musnah dalam sekelip mata sahaja.

Saya berjalan pulang. Hari itu saya rasakan masa berlalu begitu panjang. Saya meratap sepanjang jalan...sekejap teresak...sekejap mengelap airmata di baju saya yang berlumuran darah. Saya menangis lagi apabila mengenangkan nasib adik dan dua sahabat saya yang entahkan hidup ataupun mati di kala itu.

Saya rasa itulah kali pertama saya menangis sepanjang jalan dan seolah-olah musibah yang menimpa ini tiada berpenghujung. Dimana-mana sahaja kedengaran orang meraung dan meratap kuat...Yang tidak pernah mengenali Tuhan pun sujud di lantai debu, memandang ke langit dan menangis.

Setibanya saya sampai ke jalan menuju ke rumah papan keluarga kami, saya nampak mama sedang duduk di bawah sepohon pokok.
Saya berkata kepadanya.......


..........bersambung....

Wednesday, September 1, 2010

Masih bernilaikah kenangan ini?

Kadang-kala saya pergi ke pasar besar Kota Kinabalu. Ramai orang berjualan..bermacam - macam gaya peniaga yang pernah saya temui dan kenali secara spontan tetapi ada seorang pakcik tua berbangsa melayu yang seringkali mendapat perhatian saya.

Pakcik itu mengingatkan saya kepada atuk. (entri ..Atuk, tapi bukan datuk saya!) Saya nampak sikap 'kekitaan' yang sama pada atuk dan ada pula dalam dirinya.

Pertama kali saya singgah di kedainya...dia berkata .."nak....cari apa nak..?" katanya lembut kepada saya. Dan pada hari-hari seterusnya, segalanya menjadi sejarah. Selalu sahaja saya akan singgah di gerainya biarpun cuma membeli seringgit dua bahan darinya.

"pakcik...." kata saya kepadanya yang sedang membongkok dan menyusun sayur-sayur kampung untuk dijual. Di kepalanya ada memakai songkok.

"..ya nak(anak) ?" katanya penuh santun.

" Saya beli dua ikat daun pisang aa..." kata saya sambil mengambil daun pisang yang ada di dalam karung plastik itu lantas menghulurkan dua ringgit kepadanya.

Sebenarnya, banyak gerai yang menjual bahan yang saya perlukan tetapi setiap kali saya ke pasar, dialah yang saya cari dahulu...biarpun terpaksa berjalan agak jauh untuk sampai ke gerainya tetapi saya tidak kisah kerana saya senang hati dengan layanannya yang ramah dan kata-katanya yang tidak membezakan akan dia dan saya.

Zaman berubah begitu cepat sekali. Dulu, iklan-iklan yang menonjolkan 'kekitaan' seringkali terpampang di televisyen. Saya masih ingat iklan dua sahabat zaman kanak-kanak yang berbeza agama bertemu semula sebagai jiran sebelah rumah...

Saya masih ingat, perempuan melayu itu memanggil sahabatnya yang bersari, "kakak" semasa mereka bersama-sama memasak kari di dapur...

Saya masih ingat, cerita Kak Uda tentang kisah Pati (nenek) - (Dari Diari Seorang Polis - Kasihnya pati...)

Saya masih ingat, sewaktu bangku sekolah rendah kami memujuk Siti yang menangis apabila jualan nasi lemaknya di ketahui pihak kantin sekolah...

Saya masih ingat akan Yatie yang terlantar sakit di hospital dan bukan main kepalang gembiranya apabila melihat kami membawakannya majalah hiburan dan mainan...

Saya masih ingat betapa kami menghalau monyet-monyet liar yang datang mencuri di kelas kami.....dan bermain bersama-sama di bawah pokok sena yang tua..dan menyelitkan kad-kad ucapan sambutan perayaan di celah-celah buku latihan ... dan hadiah harijadi yang tidak seberapa...dan...dan...dan...

Saya masih ingat akan itu....


Monday, August 23, 2010

Dia buat jugak....

Ada beberapa perkara yang saya ingin berkongsi dengan semua. Saya berpendapat anda tentu pernah melaluinya..mungkin bukan semua tetapi mungkin salah satu dari apa yang ingin saya sampaikan disini.

DIA BUAT JUGAK...
Saya paling tidak suka dengan orang yang membuka kasut dengan selamba di dalam pesawat. Bau yang datang dari kasutnya itu boleh sahaja membunuh selera sesiapa sahaja..malang sekali sekiranya ianya dilakukan sebelum makanan dihidang...Aiyaaaaa....kalau protes...tidak berani pula...Siapa sangka yang memberi ketidakselesaan itu adalah seorang lelaki berkemeja kemas, berjam mahal dan berkasut kulit berjenama?

DIA BUAT JUGAK...
Beberapa bulan yang lalu, sewaktu sedang menunggu makanan yang dipesan, saya terperanjat apabila ternampak sebuah keluarga yang duduk beberapa meja dari saya mengepit kuku. Selepas ibunya yang berbadan gempal mengepit kuku, dia memberikan pengepit kuku itu kepada anak-anaknya...lengkap satu pusingan. Ingin juga saya protes.....tidak berpelajarankah mereka itu...? Jangan salah sangka..anak-anaknya berpakaian seragam sekolah menengah..
Bila makanan telah sampai...........hilang terus selera saya. Tauke kedai tidak pula berbuat apa-apa..mungkin terlalu sibuk mengira duit!

DIA BUAT JUGAK...
Kita dilarang membuang sampah. Beberapa hari lalu sewaktu di lampu isyarat, saya nampak lelaki itu. Dengan selambanya, cik abang kita membuka pintu keretanya dan....PTuuiiiii di jalanraya. Jikalau membuang sampah kita didenda.....kalau PTUiiii......ada apa-apa tindakan ka bos?

DIA BUAT JUGAK...
Kita 'parking' kita bayar juga..yang hairannya, tauke yang buka kedai pembikinan kereta aksesori semacam berada di zon tidak berbayar. Kereta lima enam biji di lot letak kereta. Bila di perhati betul-betul..tidak ada pula kertas 'cukai'...berjam-jam pula lamanya.
Kadang-kadang kita tertanya-tanya juga.."Dia ni ada 'connection' ngan mafia mana-mana ka?..sampai si pemberi notis pun seakan takut dengannya atau......dah bagi 'makan' awal2..

DIA BUAT JUGAK...
Bila masuk kedai kasut, penjual memandang kasut kita...Bila masuk kedai baju, penjual memandang baju kita, Bila masuk kedai barang kemas, mereka mengadili segalanya.....
tapi dikatanya.."welcome'....mengapa ya, kita semacam terasa tidak di 'welcome'...kadang-kadang saya malas pula..Terus pula saya bertanya "Boleh saya melihat barang-barang disini?"
Terpaku terus kawan kita.
Selalu juga saya berperasan, sekiranya saya memakai pakaian mahal, mereka menyambut saya dengan ramah..tetapi jikalau saya memakai seluar jean dan berkemeja T..mereka tidak menyambut pula. Anda jangan salah sangka...dua corak layanan yang berbeza..di satu kedai yang sama. Sakittttt!

Banyak lagi yang saya boleh tulis disini......bermacam-macam ragam...tetapi mereka buat jugak! Dia buat jugak! Haiyaaaaaaaaaaaaaa...................